Thursday, February 2, 2012

Melodi, vokal Awan Nano kuat

Oleh ABD. AZIZ ITAR dan MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANUAR
aziz.itar@utusan.com.my

Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH, ABDUL RAZAK LATIF, MOHD. ASRI SAIFUDDIN dan ALI ISKANDAR

PENYANYI awan nano, hafiz, bakal dikenang dalam sejarah sebagai juara dengan penampilan paling sempoi di pentas ajl.


ANUGERAH Juara Lagu (AJL) merupakan acara berprestij yang mempertandingkan lagu dan lirik sekali gus mengangkat martabat golongan komposer, penulis lirik serta penyanyi anjuran stesen TV3 yang kini telah memasuki edisi ke-26.

Pada final AJL26 Ahad lalu, lagu gubahan Datuk M. Nasir berjudul Awan Nano dan lirik hasil nukilan Budi Hekayat diangkat sebagai juara pertandingan itu dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM35,000 serta trofi.

Ia bukan satu kemenangan yang mengejutkan memandangkan Awan Nano adalah sebuah lagu yang mempunyai perisa kehebatan tersendiri, selain muncul antara lagu popular sepanjang 2011.

Ketua Juri AJL26, Azmeer sendiri mengakui, kesemua 20 juri yang terbabit sepakat memilih Awan Nano sebagai juara pertandingan itu kerana kekuatan melodi, vokal dan liriknya berbanding 11 lagu lain.

"Saya yakin para juri memilih Awan Nano berdasarkan melodi dan keindahannya. Vokal dan lagu itu layak menang dimana liriknya juga bersesuaian kerana ia menggunakan gaya bahasa yang baik," komennya tentang Awan Nano.

Pada sidang akhbar selepas berakhirnya AJL26 itu, Azmeer berkata kaedah penjurian tahun ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana tidak dilakukan pada malam berlangsungnya anugerah tersebut.

Sebaliknya, selain menilai persembahan para peserta di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur tempat berlangsungnya final AJL26, pra-penjurian turut diadakan di lokasi luar sebelum malam kemuncak anugerah.

"Terdapat 20 sesi penjurian dengan hampir 20 juri di mana 80 markah diberi berdasarkan lagu. Manakala 10 juri daripada keseluruhannya ditugaskan untuk memberi 20 markah untuk persembahan para peserta terbabit.

"Sebelum malam final ini, kami telah mengadakan pra-penjurian. Kalau 100 peratus penjurian dilakukan pada malam kemuncak ini mereka tidak cukup masa.

"Kami melakukan penjurian dengan telus, ikhlas dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Kami tidak akan menidakkan kemenangan sesiapa. Semua memberi markah seolah-olah sedang menikmati lagu yang mereka adili," ujarnya.

Jelas Azmeer, di kalangan juri yang dilantik oleh TV3 pada AJL26, mereka terdiri daripada pelbagai latarbelakang yang berbeza seperti komposer lama dan baru, pengamal media dan penerbit eksekutif rancangan televisyen.

Malah, beliau yang juga seorang komposer menambah, para juri yang bukan terdiri daripada kalangan komposer juga tidak boleh dipertikaikan kerana mereka secara tidak langsung mewakili masyarakat luar.

"Saya sudah 20 tahun dalam industri muzik di negara ini di mana hampir kesemua juri terutamanya komposer faham akan kekuatan sesebuah lagu bergantung kepada keindahan melodi dan lirik serta vokal penyanyinya.

"Itu yang membuatkan sesebuah lagu berbeza dan menjadi sebab utama untuk diangkat sebagai juara yang kami cari," jelasnya.

Bukan setakat para juri, malah Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar turut mengakui kekuatan melodi, lirik dan vokal yang dipersembahakan dalam Awan Nano.

"Sebagai penggiat stesen televisyen dan pencinta muzik, saya akui lagu Awan Nano bagus. Tujuh nota muzik pertama lagu itu sudah menangkap melodinya, manakala empat nota pada korusnya sudah menaikkan semangat pendengar seperti saya," komennya.

Selain anugerah utama itu, komposer Edry Abdul Halim dipilih memenangi anugerah Juara Mobile Celcom menerusi lagu Sedetik Lebih yang disampaikan Jacklyn Victor.

Sukses mencapai emosi



DEMI mempertahankan kemenangan kategori vokal terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) ini, juara program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh ini, telah membuat persiapan sebulan awal termasuk dua minggu menghadiri latihan kelas vokal.

Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau nama pentasnya, Hafiz menceritakan, sememangnya dia tidak menjangkakan kemenangan kali kedua berturut-turut ini di atas pentas AJL26 kerana bagi dirinya, kesemua finalis yang terpilih memberikan persaingan hebat pada malam tersebut.

"Saya tidak jangkakan kemenangan ini tapi memang saya berusaha untuk ke arah itu. Tapi saya memang mahukan perkara tersebut, saya berusaha ke arahnya, dan Alhamdulillah, saya berjaya dapatkan kemenangan yang saya ingin pertahankan itu.

"Sama juga dengan kemenangan saya mendapat juara keseluruhan. Tipu jika saya katakan saya tidak menyimpan hasrat untuk menang. Menang atau kalah tidak menjadi ukuran, apa yang saya lakukan ialah, saya telah berikan yang terbaik malah lebih daripada 100 peratus. Jika kalah pun, saya masih akan berjuang dan tidak mahu menghampakan sesiapa," ujar Hafiz yang mengatakan dia memilih memakai kemeja -T dan track bottom kerana ingin beri kejutan kepada penonton.

Tambahnya lagi, sebelum ini dia pernah memberitahu mengenai elemen kejutan yang ingin dibuatnya kali ini merupakan suatu perkara yang tidak disangka oleh penonton. Memakai pakaian bergaya adalah perkara biasa dan konsep itu sebenarnya merupakan kesinambungan daripada klip video Awan Nano.


ANAK muda ini mempunyai masa depan yang amat cerah susulan kejayaan pada AJL kali ini.
Namun, ujar pemuda yang berusia 22 tahun ini, cabaran buat dirinya ketika menyampaikan lagu Awan Nano ialah untuk mencapai emosi kerana bagi dirinya, jika hanya bersandarkan pada vokal baik, maka ia menjadi perkara yang tidak seimbang dan mungkin tidak dapat memberi impak kepada penonton mahupun pendengar.

Selain itu juga, bagi Hafiz, selain paduan vokal yang baik dan emosi dalaman, lirik juga harus memainkan peranan penting dalam sesebuah lagu: "Saya mendapat penulis lirik dan komposer yang hebat iaitu sifu Datuk M. Nasir sendiri. Mana mungkin saya sia-siakan begitu sahaja.

"Apa yang saya boleh buat ialah berusaha menjadi yang terbaik kerana minat dan jiwa saya ke arah muzik. Apa sahaja yang saya dapat, akan saya usahakan bersungguh-sungguh dan terbaik kepada diri sendiri juga.

Mungkin menjadi kelebihan kepada Hafiz kerana mempunyai kekuatan lirik oleh Budi Hidayat dan lagunya pula digubah oleh komposer terkenal, Datuk M. Nasir.

Ditebak persoalan adakah Hafiz berasa selesa kerana mendapat gabungan komposer dan penulis lirik hebat ketika berentap di pentas AJL26, Hafiz ada jawapan tersendiri.
GABUNGAN mantap (dari kiri), M. Nasir, Budi dan Hafiz untuk lagu Awan Nano yang berjaya menguasai AJL 26.

Jelas Hafiz, sememangnya dia beruntung mendapat khidmat begitu terutamanya sifu M. Nasir yang sememangnya terkenal dengan kehebatannya di arena muzik tempatan.

Bagaimanapun bagi Hafiz, dia tidak mahu terlalu yakin dan selesa oleh sebab perkara tersebut. Walau apapun, penyanyi harus memberi yang terbaik semasa mempersembahkan lagu tersebut.

"Saya tidak kata diri saya bagus, namun saya berusaha ke arah bagus itu. Bagi saya ia merupakan cabaran yang besar dengan membawakan lagu yang dibuat oleh sifu M. Nasir.

Saya juga tidak mahu menghampakan penyokong dan peminat yang selama ini menyokong saya. Jadi saya teruskan mengerah tenaga saya. Tidak kira walaupun apapun terjadi kepada saya, saya tetap akan hadir dan berikan sebaik mana yang mungkin," akhiri Hafiz yang telah memenangi sebuah trofi dan wang tunai sebanyak RM35,000.
Source : kosmo

Hafiz masih jumpa guru vokal

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
DATUK M Nasir tetap unggul. Jarang sekali dia pulang dengan tangan kosong kalau masuk bertanding. Bukti yang terbaru melalui Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang berakhir di Stadium Putra, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Awan Nano yang seni katanya karangan Budi Hekayat dan dinyanyikan Hafiz Suip, akhirnya berjaya dijulang sebagai juara. Dengan kemenangan itu, mereka bertiga berkongsi wang RM35,000.

Dengan hanya pakaian lusuh dan berkaki ayam, Hafiz tetap berjaya mencuri tumpuan juri sehingga meraih trofi Vokal Terbaik. Anak muda berasal dari Sarawak itu turut meraih kejayaan berganda seperti AJL25 bagi kategori itu dengan wang tunai RM10,000. Ia turut dibantu penyanyi 1980-an, Herman Tino yang berlakon sebagai ayah Hafiz melalui muzik video mereka.

Tempat kedua menjadi milik 3 Suara - Ning Baizura, Shila Amzah & Jaclyn Victor - dengan lagu mereka, Beribu Sesalan, karya Kevin dan lirik oleh Tinta. Lagu Karma nyanyian Faizal Tahir membolot tempat ketiga. Masing-masing menerima wang tunai RM15,000 dan RM12,000 serta trofi.

Persembahan mantap Alyah persis patung di atas satu kotak muzik yang berpusing pula melayakkannya menang Persembahan Terbaik (RM10,000).

Bagi Hafiz, kemenangannya itu membuatkan dia menadah tangan mengucapkan kesyukuran terhadap Ilahi.

“Alhamdulillah, lagu Awan Nano berjaya menjadi juara dan sekali lagi saya menang Vokal Terbaik. Apabila lagu ini layak ke peringkat akhir AJL26, ini naikkan lagi semangat saya kerana saya tak mahu mempersiakan karya Datuk M Nasir ini.

“Selepas keluar AF (Akademi Fantasia 7), saya masih belajar vokal dengan Cikgu Syafi (Syafizawati Sharif). Bagaimanapun, dua minggu sebelum berlangsungnya AJL26, saya giat berlatih vokal dengannya. Hampir setiap hari saya ke kelas Cikgu Syafi.

“Saya juga berlatih persembahan dan penghayatan dengan pengarah kreatif, Izwan. Kejayaan saya pada malam ini juga kerana doa ibu bapa dan peminat yang tak henti memberikan sokongan,” katanya yang ditemui selepas berakhirnya pertandingan.

Walaupun ramai yang kata lagu itu sangat ‘berat’ dan susah untuk dinyanyikan, Hafiz tidak pula mengambil pendapat ramai itu sebagai tekanan, sebaliknya dia mengambilnya sebagai cabaran buat dirinya bagi mempersembahkan yang terbaik.

“Baik atau buruknya sesuatu perkara itu, ia adalah cabaran buat saya. Memang benar, sukar untuk menyanyikan lagu ini dan tidak boleh bergantung kepada kehebatan vokal semata-mata kerana Awan Nano padat dengan emosi. Apabila menyanyikan lagu ini ia seperti bercerita kisah hidup kita.

“Seni katanya menyentuh jiwa dan untuk melahirkan emosi. Saya bayangkan walau apa pun berlaku, kita mesti menyayangi dan menghargai ibu bapa kita,” tegasnya.

Apabila sudah dinobatkan yang terbaik, Hafiz sedar perjuangannya tidak berhenti setakat itu saja, sebaliknya dia menggalas harapan dan amanah yang besar daripada peminat.

Dengan segala usaha dan persediaan untuk menghadapi cabaran AJL26, Hafiz puas hati dengan persembahannya dan akan menyimpan wang kemenangannya untuk masa depannya dan keluarga.

M Nasir yang sudah biasa menjulang trofi AJL bagaimanapun hanya mampu mengucapkan itu semua adalah suratan nasib. Nasir bagaikan kehabisan kata-kata dengan kemenangan Awan Nano kerana baginya komposer muda yang bersaing pada malam itu cukup hebat seperti Aizat (Sungai Lui), Yuna (Penakut & Gadis Semasa) dan Najwa Latif (Cinta Muka Buku).

“Apabila bertanding, saya memang mahu menang dan apabila buat lagu, saya mesti buat yang sedap dan melebihi daripada biasa sambil memikirkan mungkin orang boleh suka dengan lagu itu. Walaupun pada masa sama saya sebenarnya tak ada kuasa menentukan apa yang orang suka. Saya tak tahu nasib lagu ini kerana komposer lain pun hebat juga.

“Dengan kemenangan ini, lagu berentak balada kembali diminati kerana balada hari ini ada aliran tersendiri dan ia semakin berubah kerana banyak dipengaruhi muzik Indonesia,” katanya.

Budi yang agak ‘cemburu’ menyaksikan betapa kuatnya pengaruh lagu dari seberang menguasai muzik di negara ini, menjadikannya sebagai cabaran untuk mengarang seni kata yang terbaik dan puitis.

“Lebih 10 tahun kita dihambat lagu dari negara seberang. Oleh itu, saya cuba mengangkat perkataan yang rendah (nano) yang selalu digunakan orang kampung supaya menjadi perkataan ‘mainstream’,” katanya.

Mewakili rakan lain, Ning pula berkata, peminat menentukan populariti lagu Beribu Sesalan, sekali gus melayakkan mereka bertiga berdiri di pentas AJL26.

“Keistimewaan lagu ini terletak pada susun kata lirik dan melodinya. Pada awalnya, sukar untuk mencari paduan 3 Suara tetapi dengan populariti lagu ini sekarang, 3 Suara mula menjadi ikutan.

“Ketika merakamkannya kami tidak membayangkan yang akan jadi ‘sebesar’ ini. Dengan kejayaan 3 Suara ini, kami sudah mendapat undangan untuk mengadakan konsert di Singapura pada 20 November nanti. Kami tak sangka lagu Beribu Sesalan turut diminati orang di sana,” katanya.

Bertanya pendapatnya mengenai kemenangan Hafiz kategori Vokal Terbaik, katanya, dia meletakkan sasaran Jaclyn yang menang menerusi lagu Sedetik Lebih.

“Pun begitu, saya suka Awan Nano diangkat sebagai juara kerana tiada lagu sebaik lagu itu,” katanya.

Faizal sebenarnya mengidam untuk menggenggam trofi juara AJL juga tetapi tahun ini masih bukan rezeki untuknya.

“Secara jujurnya saya langsung tidak menjangkakan saya akan berada dalam senarai Top 3. Ini pertandingan AJL yang paling saya rasa rileks kerana saya tidak mengharapkan apa-apa kemenangan dan saya tak rasa yang saya sedang bertanding.

“Saya juga rasa lega dan tidak tertekan apabila nama saya tidak dicanangkan antara yang akan menang. Apabila diumumkan Karma mendapat tempat ketiga, ia di luar jangkaan,” katanya.

Alyah pula menyambut kemenangannya dengan linangan air mata kerana perjuangan selama 12 tahun memberikan kenangan paling manis. Dua akui sudah biasa berdepan kekalahan. Alyah yang cantik mengenakan gaun rona coklat keunguan rekaan Hatta Dolmat berjaya memukau hadirin dengan persembahannya yang sangat mantap.

Malah kemunculan aktor Remy Ishak pada pengakhiran lagu memberi impak yang lebih besar kepada Kisah Hati.

“Saya bagi 110 peratus untuk persembahan pada malam ini tanpa mengharapkan apa-apa pun. Saya serahkan semua kepada Allah SWT. Selama 12 tahun menyanyi, saya banyak melalui kekalahan, jadi apabila bertanding dalam AJL26, saya tak fikir nak menang melainkan buat yang terbaik saja demi meneruskan kerjaya seni saya.

“Konsep persembahan adalah idea saya sendiri kerana saya memang sukakan cerita fantasi. Kemunculan Remy adalah kejutan kerana dia begitu sibuk dengan penggambaran dramanya. Sebenarnya kalau tak dapat Remy, saya ada terlintas mahu menjemput penjaga gol kebangsaan kita, Apek (Khairul Fahmi Che Mat),” katanya.

Pertandingan yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil itu disaksikan 15,000 penonton yang dihoskan Faizal Ismail (FBI) dan Cheryl Samad. Hadiah pemenang disampaikan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar.

Buat kali pertama juga, acara yang dinantikan setiap tahun itu memperkenalkan Anugerah Juara Mobile yang diadili berdasarkan lagu paling banyak dimuat turun dengan kerjasama Celcom. Ia dimenangi Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim.


Source : www.hmetro.com.my

Merungkai Makna Tersirat Awan Nano



1 Feb 2012, by  Dhiya & sultanmuzaffar

Anugerah Juara Lagu 26 sudahpun menempa sejarah tersendiri apabila lagu ciptaan Datuk M.Nasir, Awan Nano nyanyian Hafiz dinobatkan sebagai pemenang. Kekuatan melodi, patah lagu serta liriknya memang tidak dapat dinafikan. Kali ini GUA cuba mendalami apakah sebenarnya erti dan makna di sebalik lirik nukilan Buddhi Hekayat ini. Berdasarkan pengamatan GUA, inspirasi menulis lirik ini besar pengaruhnya dari Kisah Nabi Muhammad SAW yang mana sewaktu di zaman kanak-kanak Baginda, perjalanannya dilindungi awan.

Tertulis dalam kisah tersebut “Pada suatu hari Pendita Buhaira melihat serombongan kafilah Arab datang menuju Syam yang selalu diikuti oleh awan di atasnya. Kafilah ini didatanginya dan dipersilakannya mendekati ke kediamannya. Kafilah ini adalah kafilah yang dipimpin oleh bapa saudara Nabi yang bernama Abu Talib RA, dimana Muhammad turut serta didalamnya.

Pendita Buhaira memperhatikan gerak-geri anak yang bernama Muhammad itu, akhirnya ia yakin bahawa anak itulah yang akan diutus Allah menjadi Nabi dan Rasul sesudah Isa al-Masih a.s. Lantas dia memberi nasihat kepada Abu Talib RA agar anak ini dijaga baik baik, jangan terlengah dari penjagaan, sebab ia kelak akan menjadi seorang maha penting.

Dengan nasihat dan keyakinan Pendita Buhaira ini, Abu Talib RA semakin cinta terhadap anak saudaranya yang bernama Muhammad ini. Bukan saja cinta, melainkan ditambah dengan perasaan harap dan hormat.”

Lihat ke arah sana
Serakan warna dan berarakan
Awan
Pabila terik panas
Segera hadirnya memayungi diri
Pabila kau dahaga
Sesegera turun hujan melimpahkan kasihnya
Pabila kau katakan
Akulah awan itu yang kau mahu


Berkisahkan mengenai pengorbanan insan yang sememangnya dekat di hati kita, dua rangkap pertama lagu Awan Nano membawa kita memahami erti kasih sayang yang sejati. Keadaan panas dan dahaga menjadi simbolik kesukaran dan kesusahan yang kita alami. Awan yang diperihalkan menjadi penyelamat kedua-dua keadaan ini hadir sebagai teman di kala kesulitan yang tidak pernah sedikit pun mengabaikan kita dan sentiasa berusaha membantu apabila memerlukan.

Begitulah awan nano
Setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu
Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu


Walaupun pelbagai ancaman datang melanda kita, kasih dan sayang seseorang itu melangkaui segalanya. Nukilan Buddhi Hekayat membuktikan kasih dan sayang ini hadir tanpa kita sedari. Ikhlas dan kejujuran menjadi tunjang tulusnya kasih dan sayang dalam kehidupan kita seharian. Kadang-kala, bantuan itu hadir tanpa kita sangka dari insan yang selama ini tidak pernah kita sedar akan kewujudan mereka. Tanggungjawab dan amanah pelindung kita akan sering menjadi kekuatan garapan perasaan yang wujud dalam diri manusia harfiahnya.

Kasihnya
Kasih tiada banding
Setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Awan kekasih sebenarmu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu


Kasih dan sayang itu terlalu abstrak sifatnya, tidak bisa dilihat atau diberikan penilaian secara nyata. Setiap insan menunjukkan kasih sayang dengan cara yang berbeza. Pokok pangkalnya, memahami antara satu sama lain merupakan kunci kebahagiaan yang berpanjangan. Amarah yang kadangkala dilemparkan bukan sebagai tanda kebencian sebaliknya tanda mereka sayang akan kita. Pertimbangan secara waras seharusnya dilakukan demi menyelamatkan hubungan kekeluargaan yang sudah kita bina.

Lihat diriku ini
Yang sesekali pernah kau bagaikan awan
Sehingga tak mungkin terlupa
Berikan belas sedari dulu
Sehingga tak mungkin termampu saksi
Setitis pun air matamu kasihku
Sehingga kau katakan
Akulah awan itu yang kau rindu


Ikatan kekeluargaan yang rapat seharusnya menjadi kekuatan paling ampuh untuk diri seseorang manusia. Sudah menjadi fitrah, manusia perlukan belaian dan sokongan demi meneruskan kelangsungan hidup maka awan nano itulah yang bisa menjadi pelindung waktu senang atau susah. Awan Nano setiap insan berbeza. Ada yang menganggap ayah merekalah Awan Nano yang sentiasa berkerja keras demi masa depan keluarga. Ada pula mengatakan ibulah Awan Nano yang sebenar. Dalam konteks yang lebih luas terutamanya pada aspek seluruh umat khususnya, kita memiliki Awan Nano yang lebih utama dan agung. Siapapun Awan Nano di hati anda, jangan pernah lupa akan diri mereka yang sentiasa ada untuk kita.

Akulah awanmu yang sedia
Melindungi dirimu tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu
Akulah awanmu yang sering kau rindu
Dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai jejarimu

Kasihku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu


Dalam kehidupan, ada ketika kita tidak menghargai apa yang ada di sekeliling. Namun, apabila yang berada bersama kita telah tiada, barulah kita tercari-cari akan bayang mereka. Awan Nano memberi tafsiran yang cukup unik tentang bagaimana kita sebagai manusia yang tidak pernah lepas dari khilaf wajar menghargai apa yang kita ada dan menikmati peluang yang kita perolehi. Ada ketikanya kita harus mensyukuri sesuatu yang tidak mungkin terjangkau oleh fikiran manusiawi kita sendiri. Jangan apabila sudah tiada, baru hendak ditangisi pemergian mereka.

Lirik yang cukup bermakna ini cuba menerapkan unsur-unsur kasih dan sayang dalam diri setiap pendengarnya. Maka tidak hairanlah lagu Awan Nano ini diangkat menjadi naskhah teragung di Anugerah Juara Lagu Ke-26!

Source : www.gua.com.my

Hafiz Bertapa Sebulan Demi AJL26


Teks Oleh: zyzamani
Email zyzamani22@gmail.com
Foto Oleh Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 30 JANUARI 2012: Menyimpan impian untuk mempertahankan kemenangan yang diraihkan tahun lalu menerusi kategori vokal terbaik di Anugerah Juara Lagu, Hafiz sama sekali tidak menyangka akan bergelar juara Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) semalam.

Mengakui berkerja keras selama sebulan dengan mengambil kelas vokal dan persembahan pentas, Hafiz bersyukur usahanya itu akhirnya berbaloi.

"Saya memang mahu mempertahan kemenangan vokal terbaik yang pernah saya dapat tahun lalu.

"Oleh kerana itu, saya menyertai kelas vokal dan persembahan pentas sebagai persediaan untuk menghadapi AJL26 kerana tidak mahu mengecewakan peminat.

"Tetapi apabila diumumkan juara AJL26, sememangnya mengejutkan kerana berlaku di luar pemikiran saya.
"Saya buat persediaan untuk vokal dan apabila dinobatkan sebagai juara, jadi kira bonus untuk saya," katanya dengan nada gembira mengulas mengenai kemenangan itu.

Tambah juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu lagi, kata semangat daripada Datuk M.Nasir serta penyanyi Herman Tino telah membakar semangatnya sebelum melangkah ke pentas AJL26.

"Kedua-dua mereka banyak member nasihat kepada saya dan itu merupakan perkara paling penting dan tidak akan diperolehi oleh orang lain.

"Baik M.Nasir dan juga Herman, kedua-duanya mahu saya memberi fokus kepada persembahan dan melupakan segala perkara lain agar mendapat feel serta menyampaikan lagu tersebut dengan baik ketika di atas pentas,"katanya.

Berjanji akan mempamerkan persembahan yang lebih baik pada masa akan datang, Hafiz berkata dia tidak akan alpa dengan kemenangan yang diraihnya.

"Saya berharap akan menjadi lebih baik dan berusaha untuk memperbaiki lagi diri.

"Saya tidak akan menghampakan peminat dan berdoa akan terus berjaya dalam bidang seni yang saya ceburi ini," jelasnya yang menyifatkan persembahan malam tadi merupakan kesinambungan kepadaa klip video Awan Nano.
Related Posts with Thumbnails