Friday, March 25, 2011

Hafiz Berpantang Demi Jaga Suara

by Miss Ayu ,24 Mar 2011


Pemenang Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke 25, Hafiz, mengakui sekarang ini dia sangat menjaga suaranya kerana ingin menghargai anugerah yang telah diberikan kepadanya. Jelas penyanyi berusia 21 tahun ini, selain tidak mengambil minuman berais, dia juga tidak lagi makan makanan pedas.
“Saya buat semua ini kerana ingin menghargai anugerah yang telah diberikan kepada saya. Bukan mudah untuk mendapat pengiktirafan sebegitu. Jadi, sebagai seorang penyanyi, saya perlu mengucapkan terima kasih dengan cara menjaga suara.

Selain itu, ini juga salah satu cara menghargai peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan. Untuk mempertahankan kejayaan ini bukanlah mudah, sebab itu saya perlukan sokongan pelbagai pihak. Terutama daripada keluarga dan peminat. Selain itu, saya bertawakal kepada Allah,” ulas Hafiz yang ditemui baru-baru ini.



Dalam masa yang sama, Hafiz juga memaklumkan yang dia kini sering menghabiskan masa di gim kerana mahu memastikan tubuh badannya berstamina.

“Kalau ada masa terluang, saya akan pergi ke gim untuk bersenam. Alhamdulilah, dalam masa beberapa bulan ini berat badan saya telah berkurangan sebanyak empat kilogram. Badan pun rasa lebih bertenaga. Perubahan ini sangat membantu ketika saya mengadakan persembahan pentas,” ujar Hafiz lagi.

Menyentuh tentang single ketiganya, ‘Awan Nano’ yang kian popular sekarang ini, Hafiz memberitahu dia gembira kerana setiap lagu yang dimuatkan di dalam album pertamanya mendapat sambutan baik di kalangan peminat.

“Memang saya dan pihak pengurusan mahu lagu saya dikenali satu demi satu. Itu adalah strategi kami untuk memastikan semua lagu saya mesra pendengar. Setakat hari ini, nampaknya formula ini berjaya kerana lagu-lagu saya mendapat tempat di stesen-stesen radio tempatan.

‘Awan Nano’ akan masuk senarai pencalonan Muzik-Muzik 26 untuk bulan April nanti. Harap-harap peminat akan mengundi untuk lagu itu. Tahun ini saya hanya akan pertaruhkan lagu ini untuk Anugerah Juara Lagu(AJL). Kalau ada rezeki dan peminat terus memberi sokongan, saya percaya lagu ini boleh pergi jauh.

Secara peribadi, saya sangat menyukai lagu ini. Melodi dan liriknya cukup kuat. Ia mengisahkan pengorbanan ibu bapa yang membesarkan kita. Pada mulanya, saya agak risau tidak boleh membawakan lagu ciptaan M.Nasir ini dengan baik, tetapi mujurlah selepas beberapa kali berlatih, saya dapat menjiwainya. Satu cabaran untuk menyanyikan lagu ini ialah, ia memerlukan nafas yang panjang untuk korus,” ulas Hafiz panjang lebar.

Tahun 2011 ini, Hafiz akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya nyanyian. Menurut anak muda ini, sudah sampai masanya dia menyusun strategi untuk mencipta kejayaan lebih cemerlang.


Source : www.gua.com.my

1 comment:

NueLz said...

demi peminat....banzaii hafiz!

Related Posts with Thumbnails