Oleh Fatin Farhana Ariffin
bhnews@bharian.com.my
2011/05/12
Mengaku hubungan rapat tetapi enggan masing-masing mengulas soal cinta
TIDAK mahu perihal peribadi mahupun hubungan cinta dibayangi perjalanan seni kedua-dua bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) ini membuatkan pasangan ini memilih untuk mendiamkan diri.
Ketika gosip hangat mengatakan pasangan ini bercinta, Hafiz dan Adira lantas menyifatkan hubungan mereka sebagai hanya teman rapat, namun tidak menolak jodoh jika mereka ditakdirkan bersama.
Selebriti juga bagaikan manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan, namun perihal yang membangkitkan soal hati ini ditolak tepi dulu kerana kedua-dua anak muda ini mahu dikenali berdasarkan bakat dan kerjaya, bukannya bayang-bayang kisah peribadi.
Kami masih muda
Ditemui ketika sesi fotografi di Studio Berita Harian baru-baru ini, Mohd Hafiz Mohd Suip atau lebih dikenali sebagai Hafiz, 21, dan Siti Adira Suhaimi yang selesa dengan panggilan Adira, 20, tampak selesa bersama namun masing-masing jelas tenang saja apabila diasak berulang kali mengenai hubungan peribadi mereka.
“Kami hanya teman rapat dan kini masih dalam mengenal hati budi masing-masing. Secara jujur, saya memang antara peminat Adira dan tidak dinafikan saya banyak mengundi dia semasa dia di dalam Akademi Fantasia.
“Saya menggemari sikapnya yang penyayang, ceria dan comel serta karektor itu membuatkan saya selesa berkawan dengannya. Memang diakui kami rapat namun belum sampai di tahap yang serius.
“Namun, hubungan cinta ini kami ketepikan dulu kerana saya dan juga Adira, masing-masing mahu fokus kepada kerjaya kami, tambah lagi kami masih muda sangat serta banyak lagi yang perlu kami pelajari,” ujar jejaka kelahiran Sarawak ini.
Seolah berjanji, turut memberi reaksi yang sama, Adira, gadis berketurunan Kadazandusun ini berkata Hafiz adalah teman rapatnya yang memahami dirinya yang masing-masing berstatus selebriti kelahiran program realiti yang sama.
Katanya, pada usia mereka yang masih muda, mereka mahu memberi tumpuan pada kerjaya dalam bidang seni bukan dengan menghabiskan masa membesar-besarkan gosip peribadi yang mungkin boleh mengganggu kelancarannya kerjaya masing-masing.
“Kami kenal sejak keluar dari AF lagi, dan dari situ terjalinnya persahabatan kami. Makin lama, kami jadi makin rapat dan Hafiz juga banyak membantu saya dalam menguruskan karier seni saya serta kami banyak meluangkan masa bersama melepak bersama rakan-rakan.
“Hafiz seorang yang kelakar dan saya selesa berkawan dengan dia. Oleh itu, beri kami ruang untuk mengenali masing-masing dengan lebih mendalam lagi dan tidak salah rasanya untuk kami berkawan. Hal peribadi bukanlah sesuatu yang perlu dihebahkan,” ujar gadis genit ini.
Memang meminati Adira
Hubungan mereka menjadi bertambah hangat apabila Adira dan Hafiz akan tampil berduet menyanyikan runut bunyi untuk filem romantis, Ombak Rindu yang dijangka akan keluar dalam masa terdekat ini.
Lagu nyanyian duet ini adalah lagu tema utama untuk filem tersebut, diberi judul sempena nama filem itu sendiri Ombak Rindu.
Selain itu, kedua-dua bintang muda ini mahu terus melakar nama mereka dalam dunia seni tanah air di mana Hafiz, jejaka yang popular dengan lagu Awan Nano ini sedang sibuk dengan pembikinan lagu single berjudul Ku Akui yang dijangka keluar pada tahun depan.
Juga, bersempena Hari Ibu ini, Hafiz bersama tiga teman seangkatan iaitu Akim, Aril dan Maulana akan mengeluarkan lagu yang bertajuk Warkah Untuk Ibu, khas untuk kaum wanita yang sudah bergelar ibu di luar sana.
Hafiz juga dilantik sebagai penyanyi lagu tema untuk Sukan Sukma yang diberi judul Sukan Negara. Juara AF7 ini akui rezekinya makin murah selepas memenangi anugerah Vokal Terbaik bagi Anugerah Juara Lagu yang lepas.
Melihat kepada perjalanan seninya yang masih jauh, Hafiz menyatakan hasratnya untuk membuka studio rakamannya sendiri kerana sebagai insan seni pastinya dia mahu terus berkarya selain memperbaiki kehidupan keluarganya yang jauh di Sarawak.
Tenang berdepan gossip
Naib juara AF8, Adira yang tidak putus-putus dikecam kontroversi ini tidak goyah dengan gosip yang melanda dirinya.
“Yang lepas biarkan ia berlepas begitu saja. Jika saya betul, saya tidak perlu takut dengan semua itu dan sedikit pun saya tidak marah dengan gosip yang dilemparkan kepada saya. Malah saya menerima semua ini dengan minda yang terbuka.
“Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan lagi dan oleh sebab itu saya mengambil tindakan untuk mendiamkan diri. Lagi banyak saya bercakap, lagi banyak hal yang timbul. Saya tidak boleh untuk menjaga hati semua orang dan sebagai artis baru yang mahu melangkah dalam bidang ini, saya memerlukan sokongan dari ramai pihak.
“Jika secara tidak langsung saya ada membuat kesalahan sebelum ini ataupun terlanjur, saya ingin meminta maaf. Saya juga sebagai manusia biasa yang tidak lari dari membuat kesilapan,” kata gadis kelahiran Ranau, Sabah ini yang mahu fokus kepada karier seninya di samping melebarkan sayapnya ke dunia lakonan.
Penyanyi yang popular dengan lagu Ku Ada Kamu dan Ilusi ini dalam usaha mempertajamkan bakat lakonan dan pertuturannya dengan menghadiri kelas Bahasa Melayu serta kelas lakonan.
Nama: Mohd Hafiz Mohd Suip
Umur: 21 tahun
Asal: Kuching, Sarawak
Kerjaya: Penyanyi dan pelakon
Pencapaian: Juara AF 7, Tempat Ketiga dan Vokal Terbaik AJL25
Single popular: Masih Jelas, Noktah Cinta, Awan Nano
Drama: Kau & Aku
Nama: Siti Adira Suhaimi
Umur: 20 tahun
Asal: Ranau, Sabah
Pencapaian : Naib juara AF
Single Popular: Ku Ada Kamu, Ilusi
Source : www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment