PETALING JAYA: Hafiz AF7 (gambar) bakal mempromosi lagu Awan Nano di Jakarta, Indonesia pada Januari tahun depan.
Menurut penyanyi yang sedang popular dengan single 'Watak' itu, semuanya bermula selepas menyertai program Apa Saja FBI kelolaan pengacara Faizal Ismail yang turut mengundang artis seberang, kumpulan Nidji menyanyi lagu Laskar Pelangi secara duet dengan Hafiz.
“Selepas saya berduet dengan Giring (Nidji) dalam program itu, terus syarikat rakaman dari Jakarta mempelawa saya untuk mempromosikan lagu Awan Nano di sana.
“Jika tiada aral, saya akan terbang ke sana pada Januari depan. Namun semuanya masih dalam perancangan,” kata Hafiz ketika ditemui di Konsert Akhir Reunion Akademi Fantasia di AEON AU2, Setiawangsa, Sabtu lalu.
Tambah Hafiz: “Alhamdulillah, Awan Nano boleh mencapai sesuatu (kejayaan) untuk saya. Kalau boleh saya nak lebarkan lagi karier seni ini.”
Hafiz turut mempertaruhkan lagu Awan Nano di Anugerah Juara Lagu 26. Masuk kali ini, sudah kali ketiga Hafiz layak bertanding di acara berprestij itu.
Menyentuh tentang filem 'Ombak Rindu' yang turut memuatkan lagu temanya yang dinyanyikan secara duet dengan Adira, Hafiz akui filem itu mempunyai kekuatan tersendiri maka tidak menghairankanlah mengapa ia telah berjaya mengutip melebihi RM4 juta dalam masa empat hari tayangan sahaja.
“Filem itu mempunyai struktur cerita yang kuat dan menyentuh hati setiap individu kerana ia berkisarkan tentang cinta, kehidupan dan karakter manusia yang biasa dijumpai sebelum ini.
“Saya agak sedih ketika menghayati watak Izzah lakonan Maya Karin yang penyabar, berani dan berpendirian tegas apabila meminta Hariz mengahwininya serta terpaksa menahan derita akibat perkahwinan rahsianya,” ujarnya lagi.
Source : www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment