Wednesday, January 25, 2012



Hafiz bertemu peminat di segmen Jom Chat Bersama...

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Juara program realiti televisyen Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh, Mohd. Hafiz Mohd. Suip akan bertemu peminat di segmen Jom Chat Bersama... di laman web Utusan Online pukul 8:30 malam esok.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata, beliau gembira kerana diberi peluang untuk berbual santai secara interaktif dengan peminat menerusi segmen tersebut.

“Saya berterima kasih kerana diberikan kesempatan begini untuk berbual dengan peminat.

“Selain daripada dapat memberitahu peminat tentang perkembangan terbaru karier saya, kaedah berbual santai begini turut merapatkan hubungan saya dengan peminat.

“Insya-Allah, segala pertanyaan yang dikemukakan, saya akan cuba menjawabnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarang Kanan Online, Gamal Nasir Mohd. Ali berkata, Jom Chat Bersama... yang dapat diikuti di laman web http://www.utusan.com.my/ semakin mendapat tempat di hati pembaca online.

“Minggu ini kita tampilkan seorang artis remaja yang mempunyai ramai peminat iaitu Hafiz AF7.

“Walaupun beliau sedang sibuk menjalani latihan sebagai persiapan untuk bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-26 Ahad ini, beliau tetap meluangkan masa untuk bersembang dengan peminat.

“Oleh itu, para peminat Hafiz di luar sana, jangan lupa esok malam, berbual santai dengan artis berkaliber ini,” katanya. - UTUSAN


No comments:

Related Posts with Thumbnails