MEMANG bertuah badan apabila artis menjadi popular dan meraih banyak rezeki. SS perhatikan ketika ini ramai artis baru ghairah mencuba nasib dan bersaing dengan artis lebih senior.
Namun siapa yang lebih ligat dapat banyak tawaran bukannya persoalan yang perlu dibanggakan. Sebaliknya, artis itu sendiri perlu bijak membawa diri dan memikirkan strategi pemasaran sendiri dalam mencari peluang yang ada.
Sejak dulu, ada yang bertanya pada SS mengapa orang itu atau orang ini mendapat banyak publisiti berbanding yang lain. Artis atau sesiapa saja perlu faham, pihak media tidak pernah bersikap pilih kasih kerana kita lebih memandang ‘news value’ dan siapa yang bijak ‘memasarkan’ diri.
SS sebenarnya tertarik bercerita mengenai perkembangan penyanyi yang diangkat sebagai Juara pada Anugerah Juara Lagu Ke-26 lalu, siapa lagi kalau bukan Hafiz Awan Nano.
Memang kejutan Hafiz menang anugerah kali ini termasuk mempertahankan Vokal Terbaik buat kali kedua suatu pencapaian yang amat dibanggakan. Peliknya dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) lalu, dia macam tidak wujud pula.
Cerita Hafiz menang AJL26 sudah jadi lipatan sejarah dan sekarang barulah lebih ramai orang buka mata terhadap Hafiz. Selepas AJL26, Hafiz sekarang khabarnya semakin sibuk dengan pelbagai jemputan mengadakan persembahan di sana sini.
Menariknya, jemputan ini bukan saja dari Lembah Klang tetapi juga dari negeri kelahirannya sendiri iaitu Sarawak.
Secara peribadi, SS sendiri kenal Hafiz seorang individu yang merendah diri dan murah dengan senyuman apabila berjumpa. Dia tidak pernah bongkak dengan kejayaan yang dikecapi sejak Akademi Fantasia (AF) lagi.
SS doakan agar sikap semangat perjuangan Hafiz menjadi panduan kepada artis muda lain khusus penyanyi yang baru mencari tapak. Tidak kira artis program realiti TV atau tidak, jika penyanyi itu berbakat dan berusaha, pasti rezeki akan datang kepadanya.
SS: Tunggu peluang Hafiz dilamar jadi bintang filem bersama Herman Tino.
Source : www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment