Impak lagu Ombak Rindu dan kejayaannya pada Anugerah Juara Lagu ke-26, nyata membuka laluan buat Hafiz untuk mengungguli kategori Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 buat julung kalinya.
Bukan sekadar mengetepikan pemenang tahun lalu, Faizal Tahir, malah dia juga menidakkan peluang untuk Aizat, Anuar Zain dan Black menggenggam trofi terbabit pada ABPBH ke-25 yang berlangsung penuh meriah di Arena of Stars, Genting Highlands, kelmarin.
Tidak menyangka kemenangan akan memihak kepadanya, Hafiz berasakan kejayaan merangkul dua trofi (juara keseluruhan dan vokal) pada AJL26 sedikit sebanyak mendorong kejayaannya malam itu.
"Syukur alhamdulillah, pengundi dan peminat terutamanya HafizFC memilih Hafiz untuk kategori ini. Memang Hafiz tak sangka untuk genggam anugerah peribadi hebat seperti ini.
"Anugerah ini akan Hafiz simpan sebaik mungkin kerana inilah anugerah paling berharga, bukan saja daripada peminat, tapi rakan media yang menyokong kerjaya Hafiz selama ini, " katanya.
Berada dalam kelompok penyanyi hebat tentunya sedikit menggugat penyanyi berusia 22 tahun ini. Namun kuasa pengundi membuktikan keupayaannya untuk berada pada tahap membanggakan hari ini.
Menganggap dirinya masih baru dalam industri muzik, Hafiz mahu mengecapi kejayaan seperti yang dimiliki idolanya, Allahyarham Sudirman Arshad dan Datuk Siti Nurhaliza.
"Sukar untuk mencapai kejayaan seperti ini. Tetapi jika sudah dapat, agak susah pula untuk kita kekalkan apa yang dimiliki. Melihat kejayaan yang dimiliki Sudirman, ia memberi peransang kepada Hafiz untuk berusaha keras mencapai kedudukan sama.
"Malah, Siti juga punya aura tersendiri yang membuatkan Hafiz kagum dengan apa yang dimilikinya. Artis seperti mereka berdua membakar lagi semangat Hafiz untuk terus berusaha lebih gigih," katanya.
Masih ingin bekerjasama dengan komposer lagu Awan Nano, Datuk M.Nasir, Hafiz menganggap sentuhan karya sifu muzik itu turut melonjakkan lagi namanya dalam industri hiburan tanah air.
Ketika yang sama, dia juga terus menyimpan impian menyanyikan lagu ciptaan ramai lagi komposer lain.
Anak muda ini juga menjadikan trofi yang baru dimenangi sebagai penanda aras untuknya mengembangkan lagi keupayaan diri, supaya kejayaan yang dikecapi tidak berlalu begitu sahaja.
Ingin terus kekal dalam dunia seni suara, Hafiz mahu dirinya dilihat mempunyai identiti sendiri seperti idolanya itu, yang mampu bertahan lama dalam industri.
Source : www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment