HADIR dengan potongan rambut pendek yang diberi kemasan sleek sebagai
pelengkap gaya, imej baharu anak muda kelahiran Kuching, Sarawak itu
menampakkan kelainan. Sisi maskulin penyanyi berusia 22 tahun itu juga
makin menyerlah. Ada kematangan terselit daripada senyum dan lagaknya.
Selama ini perjalanan kariernya diisi dengan seleksi hit antaranya,
Masih Jelas, Noktah Cinta, Awan Nano yang kemudiannya bersambung pula
dengan Ku Akui, Ombak Rindu dan terbaharu Muara Hati. Itu semua balada
muzik Hafiz yang telah membelah jiwa peminatnya. Ternyata bintang yang
menjalar pesonanya daripada program Akademi Fantasia itu semakin
mendominasi pasaran penyanyi lelaki solo tempatan ketika ini.
Percubaan menembusi pasaran Indonesia dengan sebuah album yang
dilancarkan untuk pasaran di sana dua bulan lalu juga satu langkah
progresif untuk penjenamaan Hafiz. Diusik bakal mengikuti jejak langkah
Datuk Siti Nurhaliza yang diterima baik pencinta muzik di Jakarta dan
Indonesia umumnya, dia pantas menggelengkan kepala.
"Saya masih terlalu baharu, masih kena banyak belajar. Kiranya itu
juga satu percubaan besar yang telah saya lakukan. Di Indonesia, saya
benar-benar kena bermula dari bawah. Saya kena buat promosi di
pusat-pusat beli-belah dan panjat stesen-stesen radio untuk perkenalkan
nama saya kepada pendengar di sana.
"Di sana (Indonesia), jika sesebuah lagu daripada pendatang baharu
seperti saya ini dapat bertahan di radio selama seminggu pun sudah
dikira cukup bagus. Saya sudah sangat bersyukur dan setakat ini ulasan
media di sana juga sungguh memberangsangkan. Lagu-lagu di dalam album
itu juga sudah boleh dibeli menerusi iTunes," katanya yang baru-baru ini
ke Jakarta lagi untuk rakaman klip video terbaharunya, Bahagiamu
Deritaku.
Galak bercerita tentang pengalaman bekerjasama dengan kru
penggambaran di Jakarta, Hafiz ketawa mengenangkan layanan pihak
produksi di sana yang di luar jangkaan.
"Usahkan pegang cawan minuman dan ikatkan tali kasut, kalau boleh
seluar saya pun mahu mereka pakaikan," bicara Hafiz bersantai-santai
sementara menunggu set penggambaran untuk kulit album kedua disiapkan,
Isnin lalu.
HAFIZ kelihatan lebih matang dengan stail rambut baharu dan gaya maskulin khas untuk album baharunya.
Album baharu tahun depan
Mencuri waktu emas penyanyi yang telah dua kali diiktiraf sebagai
pemilik vokal terbaik dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) itu, Hafiz sedia
berkongsi khabar mengenai album keduanya yang masih dalam pembikinan.
Album yang mendapat khidmat komposer Ajai, Kunci Demak, LY Baiduri
dan Izueiza itu memuatkan 10 buah lagu termasuk tiga buah lagu yang
dipetik daripada album yang dilancarkan di Indonesia dua bulan yang
lalu. Lagu tersebut ialah, Bahagiamu Deritaku, Patah Hati dan Hanya Kau Ku Cinta.
"Buat masa ini sembilan buah lagu telah siap cuma tinggal sebuah lagu
sahaja. Mungkin saya akan cipta sendiri lagu yang terakhir itu,"
katanya mengenai album yang mahu direalisasikan dalam genre alternatif
balada itu.
Ucap Hafiz lagi, untuk album kedua pihak pengurusan Astro
Entertaiment Sdn. Bhd. memberi kelonggaran kepadanya untuk memilih
konsep yang diinginkan.
"Jiwa saya sebenarnya lebih kepada muzik alternatif tetapi saya lebih
dikenali dengan lagu-lagu balada. Jadi, untuk album baharu ini, saya
mahu masukkan sedikit impian saya untuk dikongsi dan dirasai bersama
dengan peminat. Saya tidak boleh buat perubahan secara drastik, nanti
peminat akan rasa pelik. Jadi, konsep album tidak boleh terlalu jauh
dengan album pertama.
"Saya juga tak boleh buang konsep balada dalam karier muzik saya.
Balada tetap ada cuma ditambah sedikit elemen alternatif, akan ada
sedikit elemen rock dan saya tak sabar untuk menghiburkan peminat dengan
lagu baharu saya kelak," getusnya yang menetapkan lagu berjudul
Matahari (Tak Cukup Indah) sebagai sasaran single terbaharunya.
Berdiri sebagai bekas peserta program realiti yang kemudiannya
mengukir tapak yang kukuh untuk sebuah legasi kepada namanya, Hafiz
sedar rezeki itu sekadar pinjaman selagi dia berjuang dan bekerja kuat.
"Saya cuma buat kerja saya. Saya cuma mahu menghasilkan sesuatu yang
berkualiti. Menjadi popular sahaja tidak berguna sekiranya tidak produk
berkualiti yang boleh menyokong populariti seseorang," katanya optimis.
|
|
Tidak sahaja pemilihan material sebagai bahan halwa telinga yang
menjadi resipi kejayaan sesebuah album, pandangan pertama peminat
terhadap kulit album itu kelak juga diberi penekanan. Biar peminat jatuh
cinta dengan kulit album dulu sebelum mendengar gemersik dan merdunya
lagu yang terkandung.
Untuk album kedua nanti, Hafiz bersama pihak pengurusannya memilih
konsep majalah mini sebagai hadiah untuk peminat. Sesuai pula dengan
judul Matahari (Tak Cukup Indah) yang disasarkan sebagai single pertama,
kulit album itu merakamkan segala emosi perjalanan karier seni Hafiz
selama ini.
"Untuk kulit album kedua ini, kami menggunakan khidmat Simon Chin,
jurugambar terkenal yang pernah bekerja dengan nama-nama terkenal
sebelum ini. Saya seronok dan sukakan konsepnya yang sangat pop.
"Rambut saya pula sudah kelihatan macam Psy, Oppa Gangnam Style,"
lenturnya berseloroh sambil memecahkan suasana dengan tawa berderai.
Kejutan selamba untuk AJL
Sebelum membiarkan Hafiz kembali ke set untuk meneruskan sesi
fotografi yang berlangsung selama dua hari itu, dia disoal tentang
persediaan menjelang AJL ke-26, pada 6 Januari depan.
"Saya pilih konsep persembahan yang selamba dan bersahaja untuk lagu
Ku Akui. Untuk lagu Ombak Rindu duet bersama Adira pula, mungkin ada
sedikit lakonan yang akan memasukkan semula emosi daripada filem Ombak
Rindu sendiri," katanya menyimpan perancangan persembahan di pentas AJL
kelak sebagai kejutan untuk peminat.
Source : http://kosmo.com.my/kosmo
No comments:
Post a Comment