Hafiz Suip memberitahu dia mengalirkan air mata ketika mendendangkan lagu 'Bahagiamu Deritaku' kerana teringatkan kisah percintaan lalu. Jelas Hafiz, dia memberikan sepenuh penghayatan dan hanya mendiamkan diri sebelum beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu 28 (AJL28) bagi menjiwai lagu ciptaan LY dan liriknya ditulis oleh Baiduri itu.
"Memang saya aku saya menangis ketika membuat persembahan tadi kerana begitu menghayati lagu tersebut. Tidak dinafikan saya menjadikan kisah lalu sebagai salah satu cara bagi menjiwai sepenuhnya lagu 'Bahagiamu Deritaku'.
Malah saya juga lebih banyak mendiamkan diri di belakang pentas bagi mendapatkan emosi lagu tersebut. Walaupun kurang sihat, namun semangat menjadi berkobar-kobar dan begitu positif apabila berada di pentas," ujar Hafiz ketika ditemui di sidang media AJL28.
Mengulas tentang kejayaan 'Bahagiamu Deritaku' menggondol gelaran juara, Hafiz berpendapat rezeki berpihak kepadanya kali ini. Ini kerana baginya semua lagu yang bertanding di AJL28 mempunyai kelebihan tersendiri. Selain muncul sebagai juara, persembahan Hafiz turut dinobatkan Persembahan Terbaik.
Dalam masa yang sama, Hafiz juga sempat mengulas tentang kekalahannya mempertahankan kategori Vokal Terbaik setelah tiga tahun berturut-turut mengungguli kategori tersebut.
"Saya tidak ralat apabila tewas di tangan Jaclyn Victor. Ini kerana Jac memang layak menang kerana vokalnya sangat mantap," ujar Hafiz merendah diri.
Sementara itu, Hafiz turut menepis pendapat yang mengatakan dia merupakan penyanyi lelaki yang mencipta fenomena seperti Datuk Siti Nurhaliza.
"Saya rasakan masih terlalu jauh untuk saya sampai ke tahap yang diraih oleh Datuk Siti Nurhaliza. Masih banyak yang masih perlu saya pelajari memandangkan saya masih baru dalam industri muzik ini. Bagaimanapun, saya tidak nafikan, saya menjadikan kejayaan Datuk Siti Nurhaliza sebagai pembakar semangat untuk sampai ke tahap yang lebih baik," ujar Hafiz lagi.
Jejaka berusia 24 tahun ini berharap agar kejayaan yang diperolehi tidak menjadikan dia alpa. Hafiz mengakui dia takut perasaan riak menguasai diri, namun bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong serta mengingatkannya agar tidak lupa diri.
"Saya sering berpegang pada nasihat penyanyi-penyanyi berpengalaman yang mengatakan industri seni ini sering bertukar dan kita tidak selamanya akan berada di atas. Saya juga bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong kerjaya saya dan mengingatkan agar saya tidak alpa," ujar Hafiz.
Source : http://www.gua.com.my
No comments:
Post a Comment