Thursday, March 6, 2014

Hafiz gementar

Penyanyi popular Hafiz Suip mengakui gementar apabila diberi peluang menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha pada 22 April depan.

Dia yang menerima tawaran daripada COOP Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengadakan persembahan di dewan megah Matrade Mall, Matrade Exhibition & Convention di Jalan Duta, Kuala Lumpur.


Persembahan yang turut mendapat kerjasama daripada AMI Global Sdn Bhd itu bertemakan A Golden Moment with Hafiz di mana penyanyi lagu Bahagiamu Deritaku itu akan menyanyikan 10 buah lagu daripada album pertama dan keduanya.

Disebabkan ini adalah persembahan pertamanya, Hafiz banyak membuat persediaan dan latihan dari segi komunikasi bersama peminat supaya tiada yang berkecil hati.

"Apabila bercakap mengenai Minggu Setiausaha, biasanya ia akan membabitkan penyanyi gred A dan bertaraf penghibur sedangkan saya masih baru dalam arena seni suara.

"Di DFP saya hanya menghiburkan penonton dengan menyanyi sambil bercakap sedikit mengikut skrip. Untuk persembahan kali ini saya turut menggunakan skrip tetapi perlu lebih banyak berkomunikasi dengan peminat yang hadir.

"Bagi memastikan perkara itu berjalan lancar saya belajar cara-cara berkomunikasi dengan penonton di Youtube sebagai persediaan tambahan," katanya.

Antara lagu yang akan dipersembahkan ialah Bahagiamu Deritaku, Awan Nano, Noktah Cinta dan banyak lagi.

Selesa dengan Adira

Hafiz turut terkejut apabila digandingkan bersama Adira bagi memeriahkan persembahan pada hari berkenaan.

"Saya terkejut kerana memang tidak tahu penganjur menjemput Adira, namun saya selesa bekerja dengannya mungkin kerana masing-masing pernah bekerjasama melalui lagu Ombak Rindu.

"Tiada apa yang perlu disensasikan kerana kami bekerja secara profesional. Saya tidak akan mencampur adukkan hal peribadi dengan kerja. Bila masing-masing fokus dengan kerja tiadalah kami ingat kisah-kisah lama.

"Kami akan menyanyikan lagu duet Ombak Rindu dan Salahkah lagu duet asal saya bersama Datuk Rossa," katanya.

Selain itu, pelakon dan pengarah Afdlin Shauki pula akan bertindak sebagai pengacara pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Adira berkata, dia turut merasai perkara yang sama iaitu gementar kerana kali ini perlu berkomunikasi dengan penonton.

"Ini adalah kali kedua saya terbabit menjayakan Minggu Setiausaha. Jika dulu saya hanya datang untuk menyanyi tetapi kali ini berbeza di mana saya turut diberi peluang bercakap dengan penonton yang hadir.

"Satu perkara yang berbeza namun ia pengalaman baru buat saya. Saya akan menyanyikan empat lagu di mana dua adalah lagu saya sendiri dan dua lagi lagu duet bersama Hafiz.

"Memang gementar kerana selain menyanyikan lagu duet kami Ombak Rindu, saya perlu menyanyikan lagu Salahkah. Saya perlu melakukan latihan dan persediaan supaya tidak tersalah dan terlupa lirik," katanya.

Tiket berharga RM780 (Platinum), RM680 (Emas) dan RM580 (Perak) boleh dibeli dengan menghubungi talian 03-92005526.




No comments:

Related Posts with Thumbnails