Thursday, June 13, 2013

Album Terbaharu Hafiz Suip Hasil Campuran 'Limau, Kicap'



PETALING JAYA: Penyanyi Hafiz Suip mengaku pernah mencuba petua untuk sedapkan suara ketika proses rakaman lagu di Indonesia dengan mencampurkan kicap dan perahan limau.

Hafiz, 23, berkata petua tersebut diberi oleh seorang rakan di negara itu selepas melihat keadaan dirinya yang tidak sihat dan tidak mampu menyanyi dengan baik.

"Ketika itu proses rakaman dilakukan di Indonesia dan saya demam sebab cuaca di Indonesia terlalu panas.
"Ada seorang rakan di sana menasihatkan saya untuk mencuba petua tersebut yang biasa digunakan oleh artis-artis di Indonesia," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album keduanya Hafiz Suip, Luahan Hati Anak Seni, di sini, pada Rabu.

Kata Hafiz, selepas mencuba petua tersebut, dia mampu melakukan proses rakaman dengan lancar.

Tiga lagu iaitu Deritamu Bahagiaku, Patah Hati dan Hanya Ingin Kau Cinta dirakamkan di Indonesia.

Selain itu, Hafiz sempat melakukan penggambaran untuk video klip lagu Bahagiamu Deritaku di Bandung, Indonesia.

Sementara itu, bercerita tentang karya dalam album berkenaan, Hafiz mengakui dua buah lagu yang ditulis sendiri iaitu Deklamasiku dan Mungkinkah mempunyai makna tersendiri dalam hidupnya.

"Sudah tentu saya menggunakan pengalaman hidup sebagai inspirasi membuat lagu ini. Ia ada kena mengena dengan pengalaman percintaan saya," katanya.

Album Luahan Hati Anak Seni ini memuatkan sembilan buah lagu termasuk Muara Hati nyanyian bersama Datuk Siti Nurhaliza.

Source : http://mstar.com.my/hiburan

Pengalaman Cinta Hafiz Suip Lahirkan Album Luahan Hati Anak Seni

Melihat pencapaian anak muda ini sepanjang 4 tahun bergelar penyanyi membuatkan nama Hafiz Suip mekar di persada dunia seni tanah air.

Dengan penghasilan album di negara seberang Indonesia boleh dibanggakan ditambah pula dengan 14 anugerah yang dirangkul bermula selepas menjadi juara Akademi Fantasia musim ke 5. 

Anak muda yang berasal dari Kuching, Sarawak ini baru sahaja lancarkan album penuh yang mengandungi 9 lagu kesemuanya yang berjudul Luahan Hati Anak Seni bertempat di Wisma Bently, Damansara.

Menghadapi cabaran ketika menjalani rakaman di Indonesia bukan batu penghalang bagi Hafiz, 23 untuk memastikan buah tangan ketiganya di Malaysia mendapat sambutan.

Hafiz yang ditemui siang tadi memberitahu mengalami masalah suara hilang ketika berada di sana, nasib baik ada petua yang seringkali dilakukan artis Indonesia apabila menyuruh Hafiz menggunakan kicap pekat yang atau dipanggil kicap bangau dicampur dengan limau.

“Di sana cuaca sangat panas, tidak sama seperti di Malaysia. Alhamdullilah selepas dinasihati agar mengambil campuran kicap bangau dan juga limau suara saya semakin pulih dan mampu menyanyi.”
Lebih dekat dengan lagu berentak balada dan berunsurkan cinta, Hafiz masih tidak mampu lari dari menghasilkan lagu yang terbit dari dalam dirinya termasuk pengalaman pahit di dalam percintaan.

“Saya ada dua lagu yang terhasil dari kisah sebenar kehidupan saya. Saya ingin berterima kasih kepada Kunci Demak kerana dia banyak mengajar saya bagaimana cara untuk mencantikkan lagi lagu. Antara lagu yang saya cipta adalah Mungkinkah dan Deklamasiku.

Punyai cita-cita yang besar suatu hari nanti untuk melakukan konsert jelajah, Hafiz memberitahu perjalananannya masih jauh di dalam bergelar anak seni setanding Allahyarham Sudirman dan juga Anuar Zain.

Album yang mengandungi 9 lagu terdiri daripada Matahari, Bahagiamu Deritaku, Hanya Ingin Kau Cinta yang mana ada di antaran lagunya telah dirakamkan di Indonesia.



Hafiz Suip Lancar Album Kedua Berjudul Luahan Hati Anak Seni

Memegang album Luahan Hati Anak Seni seperti memegang sebuah mini majalah. Bukan apa, memang konsep kulit album kali ini, Hafiz Suip memilih konsep yang agak unik sedikit iaitu berbentuk sebuah majalah. Nama HAFIZ menjadi nama utama majalah ini dengan taglinenya, Luahan Hati Anak Seni. Tertera di dada majalah ini, gambar potret Hafiz yang menunjukan simbol Syyy (Rahsia) dengan tiga buah judul lagu iaitu Hanya Ingin Kau Cinta, Bahagiamu Deritaku dan Kesimpulan Yang Tak Nampak.
“Muzik Balada adalah hadiah kecil daripada hati saya buat para peminat.”
Budiey di sini ingin mengucapkan tahniah buat Hafiz Suip kerana telah berjaya melancarkan album kedua (di Malaysia) dan ketiga (di Asia) berjudul Luahan Hati Anak Seni.

Menyelak buku mini di helaian kedua, terdapat kata-kata editor dan senarai lagu sebagai kandungan majalah ini. Menyelak di helaian seterusnya, banyak informasi dan juga temubual bersama Hafiz dapat ditatap oleh pemilik album ini.



Turut hadir di majlis pelancaran album ini ialah komposer dan penulis lirik yang terlibat dalam pembikinan lagu. Antaranya, Idzam, AG Coco, Aiman, Zimi Sofazr, dan ramai lagi.

Dalam album ini ada sembilan buah lagu-lagu yang semuanya best:
  1. Bahagiamu Deritaku (Baiduri/LY)
  2. Mungkinkah (Hafiz Suip/Idzam)
  3. Hanya Ingin Kau Cinta (Mega Pandawa/Mega Pandawa)
  4. Deklamasiku (Hafiz Suip/Kuncidemak)
  5. Kesimpulan (Ajai/Ajai)
  6. Patah Hati (Satriya Anggun/Satriya Anggun)
  7. Satu Cerita (Mohd Atlas/Aiman)
  8. Muara Hati (Manusia Putih/Manusia Putih)
  9. Matahari (Ajai/Ajai)
Single pertama dalam album ini, Bahagiamu Deritaku telah berjaya menduduki tempat teratas di hampir semua stesen radio terkemuka tanahair dan sedang kerap diputarkan di radio dan televisyen Indonesia.
Video muzik Bahagiamu Deritaku kini telah mencapai 1.3 juta hits sejak dilancarkan pada 18 Mac 2013. Manakala Hafiz berjaya mencapai lebih daripada 11 juta hits Youtube sehingga kini menerusi lagu-lagu beliau seperti Muara Hati, Ombak Rindu, Awan Nano dan Ku Akui.

Album ini bakal meneruskan kejayaan Hafiz dalam bidang seni suara di peringkat yang lebih tinggi setidak-tidak pun Hafiz telah cuba sedaya upaya untuk menghasilkan album yang berkualiti. Dari sudut mutu vokal beliau tidak perlu dipertikai lagi, nampaknya album ini antara album yang terbaik dihasilkan sepanjang 2013 ini setakat ini. Pemilihan lagu-lagu pula dibuat bukan secara semberono sebab Budiey dengar semua lagu-lagu balada dan pop dalam album ini memang best dan dapat dilayan.  Adakah tahun ini Hafiz bakal meneruskan kegemilangannya untuk mengekalkan Vokal Terbaik dalam pertandingan AJL?
Namun, Hafiz Suip nampaknya merendah diri dengan berkata,

“Saya dulu bertatih, kini perlahan-lahan mula berdiri dan berjalan. Semuanya kerana peminat dan mereka yang meminati muzik saya.”

Pembikinan album ini secara keseluruhannya dibuat begitu teliti dengan mengetengahkan komposer dan penulis lirik berbakat berkaliber dan berprofile tinggi dari Malaysia dan Indonesia. Antaranya, Ajai, LY Baiduri, Mohd Atlas, Manusia Putih dan ramai lagi.

Hafiz Suip juga turut menampilkan bakatnya dalam penciptaan lirik kreatifnya dalam lagu Mungkinkah dan Deklamasiku. Menurut Hafiz, 4 hari 3 malam dia bertapa di rumah seorang sifu dalam penulisan lirik.

Manakala, menurut Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata:

“Hampir kesemua lagu dalam album Masih Jelas yang dilancarkan pada 2009 menempa kejayaan yang tersendiri seperti lagu Noktah Cinta, Awan Nano dan Ku Akui. Justeru itu, kami berharap agar lagu-lagu yang terkandung dalam album Hafiz Suip – Luahan Cinta Anak Seni ini juga dapat diterima para peminat, dan mampu melakar kejayaan serupa.”

Album ini diedarkan oleh Warner Music Malaysia dan boleh dimuat turun menerusi telefon bimbit secara digital.

Harga album fizikal hanya RM24.90. Belilah yang original ya!




SEKITAR PELANCARAN ALBUM HAFIZ SUIP - LUAHAN HATI ANAK SENI




Source : http://www.budiey.com

Monday, June 10, 2013

Hafiz ukir sejarah di DFP


Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my

SEJAJAR dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Hafiz Suip, 23, nyata beraksi di pentas gah, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Kuala Lumpur memberikan satu pengalaman tersendiri buat artis muda ini. 

Beraksi menerusi slot DFP Spotlight pada malam Isnin lalu, Hafiz membuktikan bahawa artis baru sepertinya juga mampu menempatkan diri sebaris dengan artis solo berkelas A.

Melahirkan rasa bangga kerana mimpi untuk membuat persembahan konsert sendiri menjadi kenyataan, Hafiz mengaku tidak mampu menggambarkan perasaannya dengan kata-kata apabila ditemui selepas selesai persembahan selama satu jam setengah itu.

“Saya percaya, ramai lagi artis di luar sana yang menyimpan hasrat untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij DFP. 

“Kalau ditanya, saya sendiri pun masih tak percaya yang saya dah pun jejakkan kaki di DFP dan buat persembahan untuk peminat di sini.

“Macam mimpi... Apa pun, saya berbesar hati dengan peluang dan kepercayaan yang diberikan. Sesungguhnya bukan satu perkara yang dijangka. 

“Bagi saya ini adalah satu lagi kejayaan yang mencantikkan lagi perjalanan seni saya," ujarnya.

Mengulas mengenai pengalaman mengadakan konsert pertama kata Hafiz, banyak yang dipelajarinya sebagai artis muda yang belum pernah punya peluang sebegitu.

“Satu yang saya belajar, persembahan konsert tak macam kita buat persembahan di acara biasa. 

“Konsert memerlukan tenaga yang banyak. Saya mengaku berlaku kejadian apabila suara saya agak ‘tergelincir’ sedikit semasa menyanyi.

“Itu berlaku kerana saya agak penat sebab menjalani latihan nyanyian sebelumnya.

“Saya mohon maaf. Itu pengajaran buat saya. Selepas ini, Insya-Allah, kalau ada peluang mengadakan konsert lagi, saya akan lebih berhati-hati dan sampaikan yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini berkata, dia tidak menyangka sokongan padu yang diterima daripada peminat kerana measakan dirinya masih kerdil.

“Jujurnya, saya ingat tak ada orang nak datang ke konsert ini. Ternyata telahan saya meleset. Kerusi dewan semuanya penuh dan saya lihat ramai peminat saya tak kira usia semuanya hadir memberi sokongan.

“Ini menjadi penguat semangat untuk saya memberikan yang terbaik buat semua yang hadir," katanya.

Magis Hafiz

Sepanjang malam persembahan berlangsung, Hafiz berjaya memberikan persembahan bertaraf profesional.
Menyajikan 13 buah lagu tanpa henti, produk yang lahir daripada program realiti televisyen Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini mudah mencairkan hati peminat yang setia menunggu sedari awal.

Antara seleksi lagu yang menjadi ‘mainannya’ pada malam itu adalah, Noktah Cinta, Masih Jelas, Ku Akui dan Matahari.

Selain itu, Hafiz juga bijak mengambil hati peminat dengan menyampaikan medley klasik lagu Ilham Pujangga dan Pelangi Petang.

Bagi menampilkan kelainan, dia juga menyelitkan lagu Inggeris seperti When I Was Your Man nyanyian asal Bruno Mars, She Will Be Loved (Maroon 5) dan I Believe I Can Fly (R Kelly).

Lebih menarik, Hafiz juga turut menampilkan penyanyi Alyah dalam gandingan untuk sajian lagu popular Ombak Rindu dan Muara Hati.

Sebelum penonton pulang, Hafiz menghadiahkan lagu Bahagiamu Deritaku dan Awan Nano yang nyata memberikan kepuasan buat penyokongnya pada malam itu.


Related Posts with Thumbnails