Thursday, June 13, 2013

Album Terbaharu Hafiz Suip Hasil Campuran 'Limau, Kicap'



PETALING JAYA: Penyanyi Hafiz Suip mengaku pernah mencuba petua untuk sedapkan suara ketika proses rakaman lagu di Indonesia dengan mencampurkan kicap dan perahan limau.

Hafiz, 23, berkata petua tersebut diberi oleh seorang rakan di negara itu selepas melihat keadaan dirinya yang tidak sihat dan tidak mampu menyanyi dengan baik.

"Ketika itu proses rakaman dilakukan di Indonesia dan saya demam sebab cuaca di Indonesia terlalu panas.
"Ada seorang rakan di sana menasihatkan saya untuk mencuba petua tersebut yang biasa digunakan oleh artis-artis di Indonesia," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album keduanya Hafiz Suip, Luahan Hati Anak Seni, di sini, pada Rabu.

Kata Hafiz, selepas mencuba petua tersebut, dia mampu melakukan proses rakaman dengan lancar.

Tiga lagu iaitu Deritamu Bahagiaku, Patah Hati dan Hanya Ingin Kau Cinta dirakamkan di Indonesia.

Selain itu, Hafiz sempat melakukan penggambaran untuk video klip lagu Bahagiamu Deritaku di Bandung, Indonesia.

Sementara itu, bercerita tentang karya dalam album berkenaan, Hafiz mengakui dua buah lagu yang ditulis sendiri iaitu Deklamasiku dan Mungkinkah mempunyai makna tersendiri dalam hidupnya.

"Sudah tentu saya menggunakan pengalaman hidup sebagai inspirasi membuat lagu ini. Ia ada kena mengena dengan pengalaman percintaan saya," katanya.

Album Luahan Hati Anak Seni ini memuatkan sembilan buah lagu termasuk Muara Hati nyanyian bersama Datuk Siti Nurhaliza.

Source : http://mstar.com.my/hiburan

No comments:

Related Posts with Thumbnails