Foto oleh DFP
KUALA LUMPUR, 4 JUN 2013: Sesiapa sahaja yang bergelar
penyanyi pasti mengimpikan sebuah konsert atau persembahan berskala
besar sebagai melengkapkan portfolio sebagai penghibur di dalam bidang
seni suara. Buat Hafiz Suip atau Hafiz, dia sudah boleh berbangga dengan
pencapaian terbaru mengadakan persembahan di DewanFilharmonik Petronas
(DFP) semalam, Isnin.
Dalam senario industri muzik tempatan yang dilihat semakin tenat, Hafiz
bagaimanapun ttetap gigih berusaha membina nama dengan kekuatan vokal
yang telah terbukti dalam pelbagai penganugerahan. Artis yang dilahirkan
daripada program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh itu dipilih
sendiri oleh pihak DFP yang yakin dengan kredibiliti Hafiz dan layak
untuk berdiri diatas pentas berprestij tersebut.
Slot DFP Spotlight yang dikendalikan oleh Hafiz juga pernah menampilkan
Yuna, Aizat, Najwa Mahiaddin, Noryn Aziz dan ramai penyanyi baru
sebagai langkah atau inisiatif daripada DFP untuk menarik audiens yang
berbeza serta muka baru untuk datang ke situ.
Tepat jam 8.30 malam, dewan berkapasiti 900 penonton telah dipenuhi
hadirin seawal jam 8 malam gamat dengan tepukan sebaik sahaja Hafiz
tampil ke atas pentas. Memilih lagu Noktah Cinta sebagai lagu pembukaan
menyaksikan Hafiz selesa dan meneruskan dengan lagu Masih Jelas sebelum
menamatkan ia dengan sesi intro secara ringkas.
Lagu ketiga yang kini sedang hits, Ku Akui dinantikan ramai penonton
tetapi mungkin kerana gemuruh atau masalah kesihatan, ada satu ketika
vokal Hafiz seakan pecah. Namun itu tidak memberi apa-apa reaksi negatif
dan ia dihabiskan oleh penyanyi kelahiran Sarawak itu dengan mendapat
tepukan gemuruh.
Untuk segmen lagu Inggeris, Hafiz memilih She Will Be Loved dan diikuti
lagu yang mempunyai makna tersendiri dalam hidup penyanyi ini, When I
Was Your Man oleh Bruno Mars disampaikan dengan begitu baik sekali.
Tidak melupakan lagu klasik Melayu, Ilham Pujangga berunsur nasihat
disampaikannya diikuti Pelangi Petang oleh Allahyarham Sudirman menutup
set pertama konsert pertama juara AF musim ke tujuh itu.
Tampil bersama pasangan duet yang dipilih Hafiz sendiri, Alyah muncul
di pentas dengan imej terkininya lengkap berhijab. Bersama Alyah, Hafiz
telah menyempurnakan lagu duetnya yang popular iaitu Muara Hati dan
Ombak Rindu. Set kedua ini juga turut memperlihatkan Hafiz menukar
persalinan sut yang lebih quirky menyerlahkan penampilannya di pentas.
Sebuah lagu baru daripada Hafiz yang sedang mula diputar di stesen
radio, Matahari telah dinyanyikan secara live buat pertama kali pada
malam konsert tersebut. Sebuah lagi cover version iaitu lagu popular
daripada R. Kelly, I Believe I Can Fly dinyanyikan penyanyi ini dengan
caranya yang tersendiri.
Hampir 70 minit persembahan tanpa henti, Bahagiamu Deritaku menjadi
dendangan kedua terakhir sebelum pentas Dewan Filharmonik Petronas
ditutup dengan dendangan Awan Nano bersama-sama penonton.
Pengarah muzik yang diberi tanggungjawab mengendalikan slot ini adalah
Aubrey Suwito bersama beberapa pemuzik tetap di DFP telah membuai
penonton yang hadir dan seperti tidak merasa waktu berlalu sebaik tamat
persembahan sulung Hafiz tersebut.
Rata-rata hadirin berpuas hati dengan persembahan Hafiz di konsert
pertamanya. Dengan harga tiket RM80 penonton juga berpeluang bertemu
Hafiz dalam sesi bertemu peminat sebaik berakhirnya konsert itu di ruang
legar DFP.
Source : http://www.murai.com.my
No comments:
Post a Comment