Foto oleh Dewan Filharmonik Petronas
KUALA LUMPUR, 5 JUN 2013: Sebagai salah seorang
daripada graduan yang dilahirkan daripada program realiti Akademi
Fantasia, Hafiz Suip atau Hafiz, juara bagi siri ketujuh pertandingan
nyanyian tersebut turut bersetuju dengan kemunculan semua Akademi
Fantasia yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu.
Walaupun ramai yang menganggap artis kelahiran program realiti tidak
berkualiti atau dilabel artis mee segera, namun Hafiz menyangkal
persepsi tersebut dan menganggap Akademi Fantasia masih relevan untuk
mencari bakat baru dalam dunia nyanyian.
Malah, Hafiz sendiri telah membuktikan apa yang dikatakan itu pada
sidang media sejurus selepas penyanyi kelahiran Sarawak itu menghiburkan
900 hadirin yang memenuhi Dewan Filharmonik Petronas untuk konsert solo
pertamanya di dewan berprestij tersebut.
"Industri muzik kita masih di kira kecil dan kekurangan penyanyi
berbakat. Penganjuran program atau pertandingan seperti Akademi Fantasia
boleh membuka jalan serta mencungkil bakat baru.
"Pada saya kemunculan semula Akademi Fantasia sangat relevan untuk
memberi peluang kepada mereka yang berbakat tetapi tidak tahu bagaimana
untuk bermula.Pasal jolokan artis mee segera yang diberikan terhadap
peserta program realiti seperti saya, itu bergantung kepada cara artis
itu sendiri mengatur langkah.
"Kalau saya artis "mee segera" seperti yang digelar, tetapi rasa- rasa
sedap tak mee segera ini?"seloroh Hafiz sambil menyuarakan pendapatnya
mengenai penganjuran semula Akademi Fantasia.
Sebagai artis kelahiran Akademi Fantasia, beraksinya Hafiz di atas
pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) untuk konsert solo pertama telah
meletakkan dirinya sebaris nama-nama besar yang pernah diberikan
peluang yang sama sekaligus menepis persepsi mengenai artis kelahiran
realiti yang tidak berkualiti.
Bercerita mengenai persembahannya di DFP yang mana telah mendapat
khidmat pengarah muzik Aubrey Suwito dan Pat Ibrahim selaku pengarah
konsert, Hafiz akui pengalaman sepanjang sebulan membuat persiapan
hingga ke saat penutup konsert tersebut adalah sesuatu yang baru
buatnya.
Dia turut menyatakan perasaan yang sedikit kecewa kerana tidak dapat
membuat yang paling terbaik kerana kepenatan serta perasaan gemuruh.
Tetapi kekecewaan itu pada Hafiz terbalas kerana mendapat sokongan
daripada ahli keluarga dan peminat yang hadir menyaksikan konsertnya
malam tadi.
Hafiz turut menampilkan Alyah bergandingan bersamanya untuk lagu duet
Muara Hati dan Ombak Rindu dan kedua mereka baru pertama kali mendapat
peluang berduet.
"Alhamdulillah semua berjalan lancar. Terima kasih kepada semua orang
yang datang antaranya semua keluarga saya, peminat dan media. Diharapkan
terhibur dan maafkan saya kalau ada kekurangan. Saya sangat merasa
bertuah dapat peluang seperti ini, terima kasih kepada DFP juga.
"Malam ini saya kumpulkan lagu yang dekat dengan diri saya dan
mempunyai cerita disebaliknya. Pasangan duet saya, Alyah pun saya
berterima kasih pada dia sebab sudi berduet dan menjayakan lagu Muara
Hati dan Ombak Rindu.
"Konsert ini memberikan saya pengalaman baru dari semua aspek. Syukur
semua datang menyokong saya hingga sold out, saya rasa sangat
bertuah,"ucap Hafiz yang tampil segak pada malam itu dalam dua
persalinan oleh pereka Fairuz Ramdan.
Hafiz telah dipilih oleh DFP sendiri setelah melihat kejayaan anak muda
itu dengan pencapaian menerusi kehebatan vokalnya itu. Untuk slot DFP
Spotlight, iaitu slot khas diwujudkan untuk mereka yang berbakat besar,
Hafiz telah menyampaikan keseluruhan 13 lagu terdiri daripada cover
version dan lagu hitsnya.
Source : http://www.murai.com.my
No comments:
Post a Comment