Pencapaian penyanyi berusia 23 tahun ini cukup besar untuk
dibanggakan meskipun baru beberapa tahun menapak dalam industri. Mana
tidaknya, bintang kelahiran program realiti fenomena Akademi Fantasia
musim ketujuh ini terus-menerus mencipta kejayaan.
Usah disenarai pendek pengiktirafan dibolot penyanyi kelahiran Bumi
Kenyalang ini, bakat luar biasa menyanyi dimilikinya sudah cukup
meletakkan dia di kelas tersendiri.
Buktinya, setiap kali muncul dengan lagu baru, boleh dikatakan hampir
semua lagu itu pastinya akan jadi siulan malah cemerlang di carta.
Kuasa vokalnya memang tidak boleh disangkal lagi.
Hebat dan diakui menyanyikan genre balada, dia satu-satunya penyanyi yang dilihat bakal menjadi pengganti kepada penyanyi hebat terdahulu termasuklah Allahyarham Tan Sri Ramlee, Allahyarham Datuk Sudirman, Jamal Abdillah mahupun Anuar Zain.
Hebat dan diakui menyanyikan genre balada, dia satu-satunya penyanyi yang dilihat bakal menjadi pengganti kepada penyanyi hebat terdahulu termasuklah Allahyarham Tan Sri Ramlee, Allahyarham Datuk Sudirman, Jamal Abdillah mahupun Anuar Zain.
Maka, tidak hairanlah Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz dipilih mengisi
segmen Dewan Filharmonik Petronas (DFP ) Spotlight untuk musim
2012/2013 di pentas penuh berprestij itu kerana sememangnya dia layak.
Beraksi di pentas sedemikian, tambahan pula buat pertama kali semestinya bukan tugasan mudah lantaran demografik penonton hadir bukannya seperti konsert terbuka yang lain.
Turut merasakan ketegangan itu, Hafiz sendiri mengakui perasaannya berbaur sewaktu melunaskan konsert sulungnya malam Isnin lalu sehingga jelas terserlah dia gementar terutama di awal persembahan.
Malah ditemui selepas meluangkan masa untuk sesi autograf sebaik tamat konsertnya, menurutnya dia masih menggigil dalam keterujaan.
“Perasaan mengadakan konsert solo dengan membuat persembahan di acara besar yang lain memang sangat berbeza. Ketakutan itu nyata lebih terasa dan macam-macam terlintas di fikiran terutamanya penerimaan penonton.
“Saya akui, ada kekurangan pada persembahan kali ini kerana selain gementar, saya juga keletihan kerana sejak pagi menjalankan raptai penuh beberapa kali. Bagaimanapun, lega rasanya dapat memberikan yang terbaik pada malam ini dan sambutan penonton pun amat menggembirakan,” katanya.
Mungkin tidak sempurna, namun seperkara yang perlu dipuji mengenai Hafiz adalah dia tidak pernah mengecewakan penonton dengan alunan vokal merdunya.
Dimulakan dengan lagu Noktah Cinta, kemudian disusuli Masih Jelas dan Ku Akui, dia berjaya mendapatkan momentum sewaktu mendendangkan lagu ‘cover version’ When I Was Your Man nyanyian asal Bruno Mars yang ternyata begitu menusuk.
Hanya diiringi mainan piano pengarah muzik tersohor Aubrey Suwito , dia memukau dewan berkapasiti 900 penonton itu menyanyi sepenuh hati lagu balada kegilaan masa kini itu.
Tidak berseorangan, dia turut menampilkan penyanyi lagu Kisah Hati, Alyah untuk berduet dengannya menerusi dua lagu duet berhantu nyanyiannya, Ombak Rindu dan Muara Hati.
Dengan iringan band pemuzik yang dipilihnya sendiri, dia juga sempat memperdengarkan buat kali pertama lagu berjudul Matahari sebelum mendendangkan lagu I Believe I Can Fly dan Awan Nano.
Paling dinantikan, ternyata penonton bersorak gembira sewaktu dia menyanyikan single terbarunya Bahagiamu Deritaku dan kedengaran penonton bernyanyi sama untuk lagu terbabit. Antara lagu lain dinyanyikannya adalah She Will Be Loved (Maroon 5), Ilham Pujangga (Ismail Haron) dan Pelangi Petang (Sudirman).
Mengulas mengenai pemilihan lagunya malam itu, selain lagu hit miliknya sendiri, menurutnya lagu ‘cover version’ yang didendangkan dipilih kerana mempunyai kaitan serta makna tertentu buatnya.
“Seperti lagu She Will Be Loved itu sendiri, ia ada kenangan tersendiri sewaktu saya berada di bangku sekolah, manakala Ilham Pujangga pula saya mahu dedikasikan khas buat ibu tercinta dan I Believe I Can Fly memang lagu kegemaran saya.
“Dengan persiapan sebulan, tipu jika saya katakan tidak kecewa dengan kekurangan pada konsert kali ini kerana saya percaya boleh melakukan lebih baik lagi. Syukurlah, penonton memberikan reaksi yang amat memberangsangkan,” katanya.
Sumbang dua lagu dalam album baru
Amat berbesar hati dan tidak sangka akan diberikan peluang keemasan berkenaan seawal itu, Hafiz sebaliknya menyifatkan pengalaman terbabit banyak memberikannya pengajaran baru.
“Paling utama adalah bagaimana untuk mengatur keseluruhan konsert itu sendiri kerana persembahan itu khas buat peminat yang memang datang semata-mata untuk saya. Jadi saya perlu pastikan semua yang saya lakukan tidak menghampakan mereka.
“Tidak ketinggalan, penjagaan teknikal suara juga cukup penting untuk persembahan sebegini apatah lagi saya kena menyanyi secara berterusan. Terima kasih buat guru vokal saya Cikgu Syafi yang banyak membantu dalam hal ini,” katanya.
Selepas Yuna, Aizat dan Najwa Mahiaddin, Hafiz diberi kepercayaan mengisi slot DFP Spotlight yang bertujuan mengetengahkan penyanyi berpotensi serta menarik penonton baru untuk DFP.
Bercerita mengenai album terbaru pula, kali ini peminat bakal mendengar sentuhan Hafiz sendiri yang akan turut menyumbang dua lagu untuk album berjudul Hafiz itu.
“Album baru saya lebih kepada mini majalah album yang mana akan turut menampilkan lagu ciptaan saya sendiri berjudul Mungkinkah serta Deklamasiku. Berdebar juga, harapnya penerimaan lagu terbabit akan hebat seperti lagu sedia ada saya,” katanya.
Source : http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment