Thursday, February 4, 2010

Buat apa saja demi protege



Sumber: www.bharian.com.my
Oleh Serimah Mohd Sallehuddi

Usaha Datin Seri Tiara Jacquelina sediakan platform kepada artis muda timba pengalaman adakan konsert wajar dipuji

DATIN Seri Tiara Jacquelina memang dikenali kerana cita-cita tinggi serta usaha keras untuk memartabatkan industri hiburan tempatan. Salah satu usaha terbarunya ialah memberi peluang kepada tiga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) Hafiz, Akim dan Aril yang juga artis di bawah naungan syarikatnya Enfiniti Productions Sdn Bhd mengadakan Konsert Roket: Destinasi Bintang sebagai pendedahan awal kepada kerjaya mereka yang baru bertapak.

Namun terlalu awal untuk melabel persembahan malam Ahad lalu yang berlangsung di restoran milik bekas pengetua AF 7, Borneo Rainforest sebagai konsert. Sebaliknya mungkin lebih sesuai dipanggil showcase kerana kapasiti penonton yang kecil.

Melihat dari sudut positif penganjuran konsert ini, ia barangkali boleh menjadi platform kepada tiga penyanyi baru seperti mereka menimba pengalaman mengadakan konsert yang mana tidak ramai penyanyi sekarang berpeluang melakukannya, sekalipun memiliki nama yang boleh dikira kukuh dalam industri.

Bagaimanapun konsert yang berlangsung selama 90 minit bagaikan kurang meninggalkan impak kepada penonton. Salah satu darinya kerana pemilihan lagu kurang sesuai yang tidak begitu mesra telinga.

Akibatnya, sukar bagi penonton menikmati persembahan bertenaga tiga penyanyi ini. Malah jelas kelihatan pada malam itu penonton yang hadir sedikit pasif ketika penyanyi pujaan mereka menyanyi. Jeritan yang keluar dari mulut mereka jelas sekali bukan kerana terhibur dengan lagu didendangkan sebaliknya teruja melihat kemunculan artis kegemaran mereka yang muncul di pentas terapung dibina khusus untuk konsert itu.

Sebelum tiga penyanyi ini muncul di pentas, penonton terlebih dulu dihiburkan dengan persembahan Yazid dan Isma. Aril kemudiannya muncul sebagai penyanyi pertama pada malam itu selepas dia dan Akim serta Hafiz berduet dengan lagu pembukaan I’ve Got Feeling milik The Black Eyed Peas. Antara lagu didendangkan Aril ialah Starlight daripada Muse dan Semua Tak Sama lagu milik kumpulan Padi.

Mengambil alih pentas selepas itu ialah Akim yang menyanyikan lagu Cari Jodoh (Wali), sebuah lagu yang diciptanya sendiri iaitu Inilah Cinta dan lagu daripada penyanyi Lionel Richie, Hello. Juara AF 7, Hafiz kemudian tampil dengan lagu My Baby You, lagu terbarunya Watak serta lagu Antara Hujan dan Airmata milik Allahyarham Sudirman Arshad.

Gimik yang ditonjolkan pada akhir konsert iaitu Hafiz menyanyikan lagu popular Aril, Menatap Matamu, Aril pula menyanyikan lagu Bengang sementara Akim menyanyikan lagu Masih Jelas tidak begitu menjadi. Malah ia juga sedikit mengecewakan peminat yang datang kerana tentunya mereka mahu penyanyi asalnya menyanyikan lagu popular mereka, namun sayangnya hasrat mereka tidak termakbul.

Terdengar juga rungutan daripada yang seakan tidak puas dengan kemunculan tiga penyanyi ini. Mereka melaburkan sebanyak RM38 untuk menonton konsert ini, tetapi setiap penyanyi hanya muncul menyanyikan tiga lagu saja. Lokasi yang sempit dan panas juga antara rungutan yang keluar dari mulut penonton.

Bayaran sebanyak RM38 boleh dikatakan tinggi jika hendak diukur bakat Hafiz, Akim dan Aril yang masih baru. Di Indonesia, menonton konsert penyanyi yang ada nama seperti Padi, Dewa, Rossa atau menonton sebuah festival muzik yang menghidangkan berpuluh-puluh kumpulan, bayaran yang dikenakan ada kalanya tidak sampai pun RM10. Namun persembahan yang ditampilkan penyanyinya bertaraf A, tiada unsur double-standard walaupun bayarannya murah.

Mungkin RM38 bagi sesetengah peminat boleh dikategorikan berpatutan kerana penonton dapat menyaksikan persembahan tiga penyanyi sekali gus tetapi jika harga lebih rendah dikenakan mungkin lebih ramai yang akan datang menonton terutama remaja memandangkan ketiga-tiga penyanyi ini mempunyai ramai peminat. Bagaimanapun kelibat peminat remaja perempuan tidak kelihatan malam itu, mungkin kerana faktor harga tiket yang sedikit tinggi.

Bagaimanapun, usaha murni Tiara ini sewajarnya dipuji. Jika Hafiz, Akim dan Aril tidak diberi peluang serta pendedahan mengadakan konsert sendiri, sampai bila pun mereka tidak berpeluang merasainya. Malah, Tiara yang terkenal cuba membawakan kelainan kepada industri, turut melakukannya pada konsert ini apabila persembahan ketiga-tiga penyanyi ini diiringi dengan persembahan fesyen daripada Amir Luqman.

No comments:

Related Posts with Thumbnails