Monday, February 8, 2010

Manjakan diri demi ABP

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my




Walaupun majlis gilang-gemilang berlangsung 4 April tetapi calon Top 5, Aril, Hafiz, Mila dan Fizo sudah bersiap sedia agar kelihatan menawan

PADA mulanya disangkakan sesi memanjakan diri ini akan diadakan di pusat melangsingkan badan, Slimming Sanctuary yang terletak di deretan lot pejabat di Boulevard. Rupa-rupanya lokasi yang sebenar ialah di La Sense, The Gardens Mid Valley di tingkat lima.

Mujur juga jarak yang membezakan dua lokasi itu tidak jauh. Jalan kaki pun sampai. Lalu, pertukaran tempat ‘pertemuan’ terpaksa diberitahu kepada artis yang terbabit dalam ‘misi’ kali ini. Artis yang dimaksudkan ialah Mila, Fizo Omar dan dua lagi bintang Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Aril serta Hafiz.

Mereka adalah calon Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009. Hafiz dan Aril buat julung kalinya berentap sesama sendiri dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular. Mila pula sudah sinonim dengan anugerah ini dan pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Popular pada 2007.

Fizo pula baru dua tahun tersenarai dalam ABPBH. Kali pertama dia dicalonkan dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular 2008 yang menyaksikan kejayaan Nabil menggenggam trofi itu. Tahun ini, Fizo naik satu taraf apabila bersaing dengan Remy Ishak, Fizz Fairuz, Fahrin Ahmad dan Aaron Aziz bagi Pelakon TV Lelaki Popular.

Diam tak diam, lebih kurang dua bulan lagi, malam kemuncak ABPBH 2009 bakal berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands. Jadi, kehadiran empat bintang muda ini ke premis kecantikan itu yang juga penaja ABPBH2009 ada signifikannya yang tersendiri. Mereka yang bergelar finalis pasti mahu tampil cantik, segar, menawan dengan busana yang bakal digayakan nanti.

Bagi Mila yang sampai awal, dia tidak menyangka pusat itu bukan saja menawarkan khidmat merampingkan atau mengurus badan, tetapi ia juga boleh dilabel sebagai pusat sehenti kecantikan yang menawarkan khidmat dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

“Mila sempat mencuba rawatan muka dan menguruskan badan. Terasa perubahan itu serta merta dan wajah pun mula tegang dan segar. Sebagai selebriti sekalipun orang biasa, Mila rasa tak salah jika kita melaburkan sejumlah wang untuk nampak cantik dan bertenaga.

“Tapi Mila boleh kategorikan diri ini tidak terlalu obses untuk sentiasa cantik sepanjang masa. Namun kerjaya ini memang menuntut Mila sentiasa tampil menawan. Malah, selepas berbincang dengan pihak Slimming Sanctuary, Mila mungkin akan mempertimbangkan untuk mendapatkan rawatan pakej dua dalam satu,” kata Mila yang berminat untuk mendapatkan rawatan muka dan badan secara berterusan.

Kata Mila lagi, biarpun tidak mempunyai masalah berat badan yang ketara, itu tidak bererti dia tidak boleh mendapatkan rawatan yang berkaitan melangsingkan badan. Sambil berseloroh, Mila memberitahu gadis kecil molek sepertinya tetap berdepan dengan masalah perut buncit.



ARIL sempat mengusik Hafiz.

“Mila mungkin boleh mendapat rawatan memejal dan membentuk badan. Dengan tawaran sampingan yang ditawarkan seperti mandi stim dan jakuzi, ia antara bonus kenapa Mila perlu mempertimbangkan pakej yang ditawarkan. Setelah penat bekerja, Mila rasa setiap orang berhak membelai dirinya,” kata Mila yang bakal melaram busana rekaan Nik Erwan Roseli seperti tahun lalu.

Bagi juara AF7, Hafiz, peluang hadir buat pertama kalinya ke pusat kecantikan ini seperti hadiah bonus untuknya. Selepas menjalani prosedur menimbang berat badan dan pelbagai aspek lain seperti ketinggian, jejaka yang sinonim dengan rambut kerinting ini memilih untuk mendapatkan rawatan badan.

Akui Hafiz, dia memang mempunyai masalah berat badan yang tidak seimbang. Berat badannya kini naik mendadak selepas keluar dari AF7 sejak tujuh bulan lalu. Berat badannya selepas keluar AF7 ialah 62 kilogram. Tapi kini beratnya naik menjadi 66.2 kilogram dan semuanya berpunca daripada nafsu makannya.

“Kalau boleh sebelum menghadiri kemuncak ABPBH 2009, Hafiz nak dapatkan berat badan ideal, 60 kilogram. Tapi kalau boleh Hafiz nak tekadkan Azam untuk mencapai berat badan itu sebelum ulang tahun kelahiran Hafiz yang ke-20 pada 27 Februari ini.

“Hafiz pun masih muda lagi dan tak mahu nampak gempal pada malam itu nanti. Hafiz pun tak impikan badan yang tegap seperti ahli bina badan, cukuplah nak dapat bentuk badan yang menarik. Malah sejak dua bulan lalu, Hafiz sudah ke gimnasium untuk meningkatkan stamina,” katanya yang cukup terkenal dengan lagu Masih Jelas.

Ketika sesi ini berlangsung, secara kebetulan Fizo dan Hafiz mendapatkan rawatan di dalam bilik yang sama. Mereka juga rancak berkongsi pengalaman terutama mengenai soal diet dan pemakanan yang betul. Sekali gus, ia menjadi modal untuk mengeratkan silaturahim mereka yang baru bersemi.

Fizo pun sejak kebelakangan ini berat badannya semakin susut. Tapi anak kesayangan Hasnah Jidin ini memberitahu ia bukan berpunca daripada komitmennya menjalani penggambaran di Mesir, sebaliknya akibat berpindah rumah. Fizo baru saja berpindah ke sebuah apartmen di Bukit Antarabangsa dan tinggal bersama ibunya.

“Ini kali kedua Fizo mendapatkan rawatan di Slimming Sanctuary. Kali pertama Fizo buat sebelum pergi ke Mesir. Untuk kali ini, Fizo memilih rawatan urutan tradisional. Secara tidak langsung, penat berpindah rumah dapat dikurangkan selepas membuat urutan ini,” katanya yang mempunyai berat badan 74 kilogram.

Kata Fizo lagi, dia bimbang jika badannya akan naik sebelum tibanya malam kemuncak ABPBH 2009. Tapi, Fizo tidak perlu gentar dengan semua itu jika dia memilih untuk mendapatkan rawatan di Slimming Sanctuary.

“Saya ini jenis spesis manusia yang berat badan cepat naik dan cepat turun. Kalau badan sudah naik sikit, memang saya sudah tidak selesa nak menyarung kot atau tuksedo. Kalau seluar ketat, perut pun jadi tak selesa. Nak tak nak, saya kena jaga berat badan,” katanya yang kini berjambang untuk memenuhi tuntutan drama yang menjalani penggambaran di Mesir bulan lalu.

Berlainan pula dengan Aril, adik kesayangan Izwan Pilus ini sedang mencari formula untuk menaikkan berat badannya. Orang nak kurus, dia pula nak tambahkan isi badan. Seperti Hafiz, Aril juga sudah mula berjinak-jinak ke gimnasium untuk memastikan otot badannya naik di samping menjaga stamina ketika membuat persembahan.

“Sedap juga Aril dapat urutan badan secara tradisional ini. Hilang juga sedikit tekanan yang ada dek kesibukan Aril melalui fasa hidup sebagai anak seni. Apabila sudah sibuk ini, Aril tak nafikan soal masa itu memang agak mencemburui.

“Kawan Aril sendiri, Amar (Anak Wayang) selalu menasihati Aril untuk jaga badan. Malah Amar sendiri sanggup nak jadi jurulatih peribadi kepada Aril kerana dia memang pernah membabitkan diri dalam bidang itu sebelum bergelar pelakon,” katanya.

sumber: www.bharian.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails