Monday, May 3, 2010

Hafiz enggan toleh belakang



Hafiz enggan toleh belakang

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my
Gambar SYEFRY MONIZ

PERNAH menerima pelbagai kritikan negatif termasuk dilabel sebagai artis baru yang selalu tidak menepati janji, secara bertatih, anak seni bernama Hafiz ini sudah semakin lali, memahami dan belajar tentang apa itu 'pengertian' dunia hiburan.

Pegangannya cuma satu, 'jangan cepat melatah atau melenting' biarpun ada ketika kritikan yang dilemparkan kepadanya pahit untuk ditelan sebagai oang baru dalam dunia seni.

Setahun melalui liku-liku hidup di arena hiburan, bagi Hafiz, menerima kutukan, kritikan dan pelbagai kata-kata negatif adalah lumrah andai sesiapa sahaja melangkah ke sempadan selebriti. Justeru, apa yang penting, bagi Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip, menerima dengan hati yang terbuka membuatkan dia kuat untuk berhadapan cabaran mendatang. Malah, fikirnya, dugaan selama setahun berjalan di titian seni selepas bergelar juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada Mei tahun lalu, masih terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan artis senior lain. Meski mengakui ada ketikanya perasaan marah menguasai diri tatkala disogok kritikan mengaibkan kononnya dia tidak menghormati wartawan, namun, dirinya bersyukur kerana masih mampu mengawal emosi membara tersebut. Atas semangat yang dikurniakan itulah Hafiz kini sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam bidang seni terutamanya nyanyian yang menjadi impiannya sejak di bangku sekolah lagi. Berani tampil dengan imej baru, rambut berpotongan lebih kemas, Hafiz enggan menoleh ke belakang lagi kerana fokusnya adalah kejayaan di masa depan. Mula menceburi bidang lakonan teater dan berjinak-jinak dalam penulisan lirik, inilah antara usaha anak jati Sarawak ini bagi memastikan dia tidak tenggelam dalam arus persaingan dek kemunculan artis-artis baru yang lain. Tidak menghadapi masalah untuk berkecimpung dalam bidang baru, Hafiz tidak kisah untuk berkorban masa demi komitmen terhadap kerjaya. "Jadual kerja saya ketika ini sangat padat. Selain sibuk dengan persembahan, saya kini terikat dengan jadual latihan pementasan teater muzikal Kita.

"Latihan diadakan setiap Rabu, Sabtu dan Ahad di Istana Budaya. Alhamdulillah saya diberikan watak utama sebagai Rahman, seorang budak kampung yang punyai cita-cita tinggi. "Berlakon teater, ia memberi saya satu lembaran baru dalam hidup. Ia sememangnya cukup mencabar," tutur Hafiz ketika sesi fotografi di studio Utusan, baru-baru ini. Selain juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu, barisan pelakon yang turut membintangi teater muzikal Kita adalah Eric Lim, Michael Rao, Nas Adila, Amy Wong, Lim Cheng Hock dan Fimie Don. Teater muzikal Kita akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada Jun nanti. Menyambung perbualan, ujar Hafiz, menerusi Kita, dia bukan hanya bertindak selaku penggerak watak tetapi turut melontarkan vokal untuk 10 buah lagu serta menari.

Antara lagu-lagu yang akan dinyanyikannya adalah Dream, Kuala Lumpur Here We Come dan sebuah lagu lama berjudul Getaran Jiwa nyanyian asal seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Hafiz juga akan berduet dengan Nas Adila yang memegang watak sebagai Ayu untuk lagu Pandangan Pertama. Kata Hafiz, teater muzikal Kita adalah teater berkonsepkan gagasan 1Malaysia dan tersirat mesej perpaduan antara kaum di negara ini. "Pada mulanya saya menghadiri sesi uji bakat pada 14 Mac lalu. Tidak sangka pula terpilih berlakon dalam teater tersebut. "Mujur saya ada sedikit asas berlakon yang dipelajari sewaktu berada dalam AF dahulu. Kalau menyanyi dan menari, saya memang tidak ada masalah. "Cuma dalam Kita saya dan pelakon lain harus berdialog dalam bahasa Inggeris. Itu juga satu cabaran buat saya," jelas anak kepada pasangan Mohd. Suip Mohd. Suut dan Halizawati Mohd. Salleh ini.

Cipta lagu dan rambut

Tutur Hafiz, memasuki bidang lakonan, dirinya tidak mudah untuk terus melupakan bidang nyanyian yang menjadi 'teras' perjuangan seninya. Untuk itu, Hafiz kini mula bermain dengan seni kata apabila mencipta lirik dan untuk sebuah lagu berjudul Mungkinkah. Mungkinkah, ujarnya, adalah sebuah cerita tentang pasangan kekasih yang keliru dalam percintaan mereka.

"Ilham mencipta lirik ini saya peroleh ketika hendak tidur sekitar awal tahun lalu. "Baru saya tahu, bukanlah satu kerja yang mudah untuk menjadi seorang penulis lirik. Ini juga satu pengajaran berharga buat diri saya. "Mungkinkah akan dirakamkan tidak lama lagi dan ia menjadi penentu untuk penghasilan album saya selepas ini,'' bicara Hafiz penuh rasa bangga. Mengenai karier nyanyiannya, Hafiz memberitahu bahawa single ketiganya iaitu Watak akan diputarkan di stesen radio tidak lama lagi selepas menerima sambutan menggalakkan daripada dua single terdahulu iaitu Masih Jelas dan Noktah Cinta.

Membanggakan bagi Hafiz, Masih Jelas mencipta sejarah bermakna apabila berjaya memasuki ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24), Januari lalu. Lagu berkenaan turut tercalon di Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) untuk kategori Susunan Muzik Terbaik dan Lagu Pop Terbaik.Tentang imej rambutnya yang terbaru, Hafiz mengakui bahawa dia sendiri telah mengambil keputusan nekad untuk memotong rambut atas sebab tertentu. "Memang saya sayang gaya rambut yang lama. Tetapi saya terpaksa memotongnya sebab banyak rambut saya rosak. "Insya-Allah, mungkin selepas ini saya akan kembali kepada imej rambut yang lama,'' katanya.

Source : http://www.utusan.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails