Monday, May 24, 2010

Pelakon Muzikal KITA Tiada Masalah

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
2010/05/24

SEMANGAT sebenar 1Malaysia yang memperlihatkan masyarakat majmuk hidup aman damai, bersatu padu dan ingin memajukan negara menjadi paparan utama teater Muzikal Kita yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) Jun nanti.

Teater ini juga menjanjikan persembahan berprestij dengan kisah yang menyentuh perasaan, irama merdu, reka bentuk pentas hebat serta barisan pelakon pelbagai kaum.

Selaku penerbit, penulis skrip dan pengarah muzikal ini, Ho Lin Huay berkata, jalan cerita Muzikal Kita juga mudah difahami penonton.

"Cerita ini mengisahkan tiga sahabat, Rahman, Cheong, Amish yang mengambil bahagian dalam pertandingan nyanyian. Pada penghujung cerita, ia menceritakan kisah mengenai rakyat kita sendiri. Selain seramai 69 pelakon terbabit dalam pementasan ini, sebanyak 30 lagu akan disampaikan," katanya. Lin Huay berkata, cabaran paling besar dihadapinya untuk mementaskan teater itu adalah tempoh latihan yang singkat.

"Sesi latihan yang diberikan kepada kami kurang daripada tiga bulan. Berbanding di luar negara, latihan untuk pementasan seperti ini membabitkan tempoh yang lebih panjang. Selain itu, kos untuk pementasan ini juga besar iaitu sebanyak RM1.5 juta (tidak termasuk publisiti dan promosi). Justeru, kami bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada IB untuk merealisasikan muzikal ini," katanya. Tambahnya lagi, pemilihan pelakon juga adalah menerusi uji bakat yang diadakan.

"Pemilihan juara Akademi Fantasia 7 (AF7) Hafiz, watak utama sebagai Rahman kerana dia seorang penyanyi yang hebat. Begitu juga pemilihan pelakon lain seperti penyanyi Nas Adila yang bersandarkan bakat masing-masing.

"Sekalipun, mereka baru kali pertama berlakon teater, masing-masing cepat mendapat keserasian antara satu sama lain. Sepanjang latihan, semua pelakon sangat komited," katanya. Beliau berkata demikian ketika majlis pengenalan teater Muzikal Kita dan sidang bertemu media di IB, baru-baru ini.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah IB, Juhari Shaarani. Sementara itu, Hafiz berkata, dia berminat untuk membintangi produksi itu kerana ingin melebarkan sayapnya ke pentas teater pula. "Semuanya bermula apabila saya pergi uji bakat pada April lalu dan pihak produksi memberitahu saya berjaya selepas seminggu. "Bekas Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina juga sempat memberitahu, pembabitan saya dalam muzikal ini akan mampu membawa saya menuju ke satu tahap yang lebih baik dalam karier seni," katanya. Hafiz berkata, muzikal ini membabitkan 50 peratus penggunaan bahasa Malaysia dan selebihnya bahasa Inggeris. Selain itu, ada juga selitan bahasa Cina dan Tamil. "Saya juga banyak berdialog dalam bahasa Inggeris untuk teater ini. Bagi menguasai dialog dalam Inggeris, saya perlu mengikuti kelas bahasa Inggeris yang dikendalikan Datin Seri Tiara selama sebulan. Saya juga manfaatkan ilmu yang dipelajari dalam AF7 dulu ke teater ini. "Saya akan menyampaikan 10 lagu dan sembilan lagu adalah lagu baru yang dicipta khas untuk muzikal ini. Dua lagu Melayu adalah duet saya dengan Nas Adila berjudul Pandangan Pertama dan lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Getaran Jiwa," katanya.

Selaku teraju utama teater muzikal ini, Hafiz akui cabaran besar yang dihadapinya untuk menjiwai watak Rahman.

"Saya bawa watak budak lelaki yang bersemangat tinggi dalam cerita ini. Apabila kawan-kawannya berputus asa, Rahman akan tampil memberi semangat kepada mereka. Rahman seorang yang tegas dan prihatin. "Banyak perkara baru yang saya pelajari dalam bidang lakonan. Saya sedar bidang nyanyian dan lakonan adalah dua cabang seni berbeza. Dalam bidang lakonan, saya kena buat mimik muka untuk menjiwai watak diserahkan.

"Sepanjang sebulan latihan, saya dapat pelajari banyak perkara baru. Saya beruntung kerana pelakon hebat seperti Datuk Jalaluddin Hassan banyak membantu saya menjiwai watak sedih dan ceria Rahman. Jalaluddin juga menjadi ayah saya, Pak Hassan.

"Selain itu, saya juga seronok berlatih dengan pelakon baru dalam teater ini dan kami cepat serasi walaupun kali pertama bertemu," katanya. Mengulas lanjut babaknya dengan Nas Adila (sebagai Ayu), Hafiz berkata ia berdepan konflik kerana Ayu yang patuh dengan keluarganya. "Rahman menyukai Ayu tapi Ayu pula terlalu mengikut kehendak keluarganya," katanya. Selain Hafiz dan Jalaluddin, barisan pelakon teater ini ialah Eric Lin (Cheong), Michael Rao (Ganesh), Amy Wang (Chun Moi), Lim Cheng Hock (Chin SR) dan Sukania Venugopal (Nenek Naini).

Muzikal ini anjuran Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta IB sendiri. Muzikal Kita akan dipentaskan bermula 17 hingga 27 Jun ini dan tiket berharga RM288, RM188, RM148, Zone B (RM108), Zone C (RM88), Zone D (RM38) dan pelajar RM15. Tiket dijual melalui Ticket Axcess menerusi talian 03-77115000. Maklumat lanjut, layari www.istanabudaya.gov.my.

No comments:

Related Posts with Thumbnails