muhamadfairoz@bharian.com.my
SELEPAS tiga tahun album sulungnya yang berjudul Masih Jelas berada di pasaran, Hafiz akan melancarkan album kedua yang menggunakan namanya sebagai judul, di Jakarta, Indonesia, bulan depan.
Berasa bertuah kerana diberi peluang menermbusi pasaran muzik negara itu, Hafiz muncul sebagai segelintir artis Malaysia yang berjaya memasuki pasaran negara seberang selepas Datuk Sheila Majid, Search, Slam dan Datuk Siti Nurhaliza.
Umum mengetahui, bukan senang untuk artis negara ini menempatkan diri dalam pasaran muzik negara gaduda itu. Namun, selepas bernaung di bawah empayar penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani, pada program Mania baru-baru ini, sedikit ruang bagai terbuka buat Hafiz yang juga juara rancangan terbabit. Jika sebelum ini ura-ura pelantikan Dhani sebagai pengetua Akademi Fantasia 9 mendapat kecaman hebat pelbagai pihak, sebaliknya pemilihannya dalam Mania yang juga terbitan Astro membuka peluang kepada artis tempatan mencuba nasib di seberang.
Album ini akan dilancarkan bulan depan, tetapi belum ditentukan lagi tarikhnya. Album ini adalah hasil kerjasama antara Warner Music Malaysia dengan Indonesia.
Dalam album terbaru ini, ada lima lagu termasuk tiga lagu baru yang dirakamkan di Indonesia. Lagu-lagu ini lebih kepada konsep balada, yang mendapat sentuhan komposer kedua-dua negara, katanya ketika dihubungi HIP.
Album yang mendapat sentuhan komposer terkenal Indonesia, Andy Bayou dan komposer tempatan, LY, itu turut memuatkan lagu berjudul Patah Hati dan difahamkan akan dilancarkan pada 11 Julai ini. Selain melancarkan albumnya di sana, Hafiz juga dijangka mengadakan siri promosi termasuk persembahan jelajah di bandar besar sekitar Indonesia.
Hafiz masih belum tahu mengenai program yang akan dijalankan ketika pelancaran itu nanti kerana semuanya diuruskan pihak pengurusan dan masih menantikan kata putus daripada Warner Music Indonesia.
Hafiz rasa amat bersyukur dan gembira kerana diberi peluang bukan saja merakamkan lagu di sana tetapi turut melancarkan album, kerana kita semua tahu bukan senang untuk artis Malaysia, terutama artis baru macam Hafiz memasuki pasaran muzik di sana, katanya.
Tidak takut jika albumnya itu dikatakan mirip lagu penyanyi Indonesia, Hafiz menganggap setiap orang punya pandangan dan selera mereka sendiri.
Julung kali bekerjasama dengan Dhani bukan saja memberinya banyak pendedahan mengenai muzik, sebaliknya membuka peluang untuknya dikenali di negara asal penggiat muzik terkemuka itu.
Dia seorang yang tegas tetapi banyak memberi input dan tunjuk ajar. Hafiz harap album ini mendapat tempat di hati peminat di sana dan membuka lebih peluang untuk Hafiz melebarkan sayap di Indonesia, katanya.
Source : http://www.bharian.com.my/
No comments:
Post a Comment