imran@hmetro.com.my
MUNGKIN ada beranggapan kejayaan demi kejayaan dicapai bekas juara program realiti popular Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Mohd Hafiz Suip atau Hafiz, kebelakangan ini disebabkan tuah.
Sebaik muncul juara AF7, kerjaya seni Hafiz terus memacu laju apabila albumnya, Masih Jelas dilancarkan pada Julai 2009. Kemenangan dalam pertandingan Anugerah Juara Lagu terutama Lagu Terbaik dan Vokal Terbaik dua tahun berturut-turut mengangkat namanya sebagai penyanyi muda berbakat besar.
Terbaru, Hafiz menjuarai rancangan realiti yang menghimpunkan barisan artis popular bertanding sesama mereka setiap minggu, Mania dan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM500,000. Namun bagi peminat setia jejaka berasal dari Kuching, Sarawak itu, kemenangan demi kemenangan diraih sebelum ini disebabkan vokal mantap ditampilkan penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Awan Nano itu setiap kali mengadakan persembahan. Kemenangan di Mania turut membantu melebarkan lagi langkahnya apabila akan ke Jakarta bagi melancarkan album sulungnya. Kata Hafiz, selain memasarkan albumnya di sana, dia juga akan terbabit dengan projek khas. "Perancangan ini dibuat sewaktu saya bersama Empire Hijau dalam Mania di bawah bimbingan Ahmad Dhani iaitu menghasilkan single terbaru. Mengikut perancangan, single ini juga akan dipasarkan di sana. "Kolaborasi antara penyanyi bernaung di bawah Empire Hijau dan artis Indonesia juga sedang dirancang. Besar harapan agar usaha sama bakal dilakukan ini akan membuka jalan lebih luas kepada saya untuk mencipta nama di sana," katanya.
Jelas Hafiz, selepas membuktikan kemampuan diri kepada peminat tempatan, sekarang sudah tiba masanya untuk dia mengikut jejak langkah penyanyi sedia ada sebelum ini untuk melebarkan sayap ke negara luar.
"Saya menjadikan Datuk M.Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza sebagai contoh terbaik, bagaimana mereka berusaha mengembangkan bakat dan kerjaya seni di luar," katanya.
Hafiz yang ditemui ketika menjayakan rakaman program terbaru NTV7, Rooftop yang bakal disiarkan September ini sedar akan cabaran yang akan dihadapi. Katanya, dia akan berusaha mengejar cita-citanya itu, apatah lagi peluang sudah terbuka luas dan ia harus digunakan sebaik mungkin.
"Setakat ini penerimaan peminat dari Singapura dan Brunei terhadap bakat saya agak baik. Bagi menguasai pasaran nusantara, adalah tidak lengkap sekiranya tidak memenangi hati peminat muzik di Indonesia. "Begitu pun, agak sukar untuk memenangi hati mereka, saya pernah merasainya sewaktu ke sana bagi mempromosikan Awan Nano selama 10 hari. Untuk menarik perhatian wakil media di sana juga tidak mudah. Sepanjang tiga hari pertama, saya mahupun wakil syarikat rakaman di sana berasa susah hendak tarik perhatian orang.
"Sehinggalah kami diberi peluang untuk mengadakan sesi temubual bersama stesen radio Pesona FM. Saya difahamkan bahawa ia antara stesen radio yang mempunyai ramai jumlah pendengar. "Selepas itu, barulah nampak penerimaan mula berubah terutama sewaktu saya mengadakan persembahan promosi di Jakarta, Jogjakarta dan Bandung," katanya.
Dalam merencana kerjaya seninya, jelas Hafiz dia sedar bahawa tidak boleh mendabik dada dengan kejayaan dicapai sepanjang beberapa tahun ini. Sebaliknya dalam keadaan sekarang, dia harus mampu menampilkan sesuatu yang menampakkan kematangannya sebagai penyanyi.
"Saya tidak mahu menjadi penyanyi semata-mata. Disebabkan itu, untuk album terbaru saya turut menampilkan lagu ciptaan sendiri. Saya turut menjadikan M.Nasir dan Ahmad Dhani sebagai idola dan mahu berjaya seperti mereka. Bukan saja sebagai penyanyi tetapi juga komposer disegani.
"Sebenarnya lagu saya itu dihasilkan tiga tahun lalu tetapi saya kurang yakin dengan penerimaan peminat hingga saya menangguhkan terlebih dulu hasrat untuk merakamkannya.
"Pada saya, sekarang adalah waktu sesuai untuk menunjukkan kepada peminat akan kemampuan saya menghasilkan lagu. Ia berjudul Mungkinkah dan dihasilkan bersama sepupu saya, Idzham Shaharuddin. Ia menampilkan kisah hidup saya sendiri. Susah senang yang saya lalui untuk bergelar anak seni berjaya," katanya.
Album pertama Hafiz, Masih Jelas yang memuatkan lima lagunya bersama empat finalis AF7, dipasarkan 14 Julai 2009. Masih Jelas yang turut dipertaruhkan Hafiz di final AF7, dicalonkan di Anugerah Industri Muzik 17 (AIM17) untuk Lagu Pop Terbaik. Pada AJL25, Hafiz layak ke final menerusi lagu Noktah Cinta ciptaan Ajai dan lirik Sheikh Qalam. Lagu itu menang tempat ketiga dan Hafiz menang Vokal Terbaik manakala AJL26 tahun ini, Hafiz mempertaruhkan Awan Nano ciptaan M.Nasir dan lirik Budhi Hikayat. Kali ini menang besar apabila diumumkan Juara dan Vokal Terbaik.
Source : http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment