yanie@hmetro.com.my
BERDEPAN dengan kemelut bakal disaman bekas pengurus, sedikit pun riaknya nampak terganggu. Malah senantiasa dia melemparkan senyuman serta tidak lokek mendekati peminat yang duduk terpisah meja makan dengannya.
Mohd Hafiz Mohd Suip, itulah orangnya yang dimaksudkan. Mesra disapa Hafiz, pada Sabtu lalu, menjadi detik bahagia buat Juara Akademi Fantasia 7 (AF7) itu juga peminatnya kerana selain bersua di Ramadan yang penuh mulia, mereka berpeluang berbuka puasa bersama-sama di Bukit Jalil Golf Resort, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menamakan acara itu sebagai Majlis Kesyukuran & Sungkei bersama Hafiz, ia diadakan bagi meraikan kesyukuran atas kemenangannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) selain menjadi juara pertandingan Mania terbitan Astro, tidak lama dulu.
"Orang selalu cakap tanpa peminat siapalah artis. Itu memang benar. Tanpa sokongan mereka saya tidak mungkin meraih apa yang saya miliki seperti sekarang ini. Peminat amat penting dalam hidup dan perjalanan karier seni saya. Kalau peminat gembira, saya akan turut gembira.
"Kerana itu, saya selalu meletakkan peminat sebagai keutamaan. Meskipun sibuk saya tetap berusaha mencuri waktu bagi mengotakan janji-janji saya kepada mereka.
"Ikutkan perancangan, sudah lama saya ingin mengadakan majlis seperti ini tetapi sering saja tidak punya kelapangan. Selesai ABPBH2011, saya terbabit pula dengan Mania dan disusuli beberapa projek penting untuk karier saya selepas itu menyebabkan saya tidak punya cukup masa.
"Syukur alhamdulillah, pada hari ini saya dan peminat dapat berkumpul ramai-ramai. Biarpun aktiviti seni masih diteruskan seperti biasa, saya akan ketepikan masa pada Ramadhan untuk bersama keluarga dan menjalankan ibadat.
"Justeru saya rasakan inilah saatnya paling tepat untuk saya menunaikan hajat mengadakan Majlis Kesyukuran & Sungkei ini. Ramai yang tanya pada saya apa maksud Sungkei. Sungkei adalah bahasa Sarawak bagi berbuka puasa," katanya.
Apa yang jelas, lega sungguh hati pemuda berusia 22 tahun dari Bumi Kenyalang ini apabila hasrat murninya disambut mesra peminat setia pada majlis itu.
Membuatkan Hafiz lebih terharu, apabila segelintir daripada 160 ahli Hafiz Fan Club terdiri daripada peminat Singapura, Terengganu, Sabah dan semestinya Sarawak.
"Kesungguhan peminat kadang buat lidah saya jadi kelu - tak tahu bagaimana nak berterima kasih kepada mereka. Lihat saja majlis hari ini ada sebahagian daripada peminat datang jauh-jauh dari Singapura, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
"Kebanyakan mereka ini adalah wajah-wajah peminat yang menyokong saya sejak dari hari pertama AF7 lagi sehinggalah sekarang. Begitu juga dengan ahli keluarga serta saudara-mara saya sendiri.
"Terima kasih banyak-banyak kepada Hafiz Fan Club kerana bertungkus-lumus mengadakan majlis ini sekali gus merealisasikan hajat saya untuk berkumpul dengan mereka," katanya.
Pada majlis itu juga, pelantun lagu Masih Jelas dan Awan Nano ini memungut sedikit derma ikhlas untuk membiayai barangan keperluan raya bagi penghuni rumah kebajikan.
Malam itu saja, sebanyak RM1,140 berjaya dikumpulkan dan Hafiz merancang untuk menyerahkannya kepada pihak yang benar-benar memerlukan.
Berhubung kes saman yang difailkan pengurus pentas, Nur Haniza Mohd Azhar, 25, terhadapnya yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pergaduhan yang tercetus di antara mereka pada pertengahan Mei tahun lalu, Hafiz berkata, dia pada mulanya sudah menganggap kes itu selepas memandangkan ia sudah lama berlalu.
"Saya belum menerima sebarang notis saman jadi tidak manis kalau saya mengulas perkara yang tiada. Namun jika benar dia mahu meneruskan saman, saya bersedia untuk berhadapan dengannya bersama peguam peribadi saya.
"Tidak dinafikan timbul rasa pelik kenapa baru sekarang dia mahu mengemukakan saman, kenapa tidak waktu berdekatan seperti didakwa? Cukuplah saya enggan mengulas, kita tunggu saja nanti," katanya akan menyambut Aidilfitri di Sarawak bersama keluarga nanti.
Source : Harian Metro Online
No comments:
Post a Comment