Bagaikan satu kemestian ketika ini apabila syarikat produksi berusaha
menampilkan lagu latar menarik untuk menghiasi filem ataupun drama
terbitan mereka. Bak kata pepatah, untung batu timbul, untung sabut
tenggelam, jika lagu yang diselitkan itu popular, tempiasnya akan
berjangkit kepada filem atau drama berkenaan.
Lihat saja apa yang berlaku terhadap lagu Ombak Rindu, yang popularitinya sama naik dengan filem yang menggunakan judul sama. Jika kena gaya cara mempromosikannya, tidak mustahil lagu latar sebenarnya mampu menaikkan populariti sesebuah hasil karya itu.
Lihat saja apa yang berlaku terhadap lagu Ombak Rindu, yang popularitinya sama naik dengan filem yang menggunakan judul sama. Jika kena gaya cara mempromosikannya, tidak mustahil lagu latar sebenarnya mampu menaikkan populariti sesebuah hasil karya itu.
Terbaru, sebuah lagi lagu yang dihasilkan untuk dijadikan runut bunyi
sebuah drama bersiri berjaya mencetuskan fenomena tersendiri. Bukan saja
mempunyai melodi menarik serta lirik menyentuh perasaan, ia juga
dinyanyikan dua pemilik vokal hebat.
Ketika ini, lagu Muara Hati nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz yang dijadikan lagu latar drama rantaian Adam & Hawa begitu pantas mendaki carta populariti apabila lagu ciptaan Manusia Putih itu sedang rancak diputarkan di corong radio.
Mengulas perkembangan positif itu, Siti mengakui teruja apabila lagu duet berkenaan diterima dengan baik oleh peminat, meskipun ada cakap-cakap nakal yang mengatakan lagu itu mempunyai persamaan dengan lagu Ombak Rindu, hanya kerana ia sekali lagi dinyanyikan Hafiz.
“Walaupun Hafiz turut menyanyikan kedua-dua lagu ini, tapi dari segi melodi dan juga corak penyampaian adalah berbeza.
Siti dan Hafiz cuba memberikan kelainan dalam nyanyian kerana mahu menyuntik rasa yang lebih mantap. Pendengar dapat rasai perbezaan itu,” kata Siti ketika dihubungi Hip, baru-baru ini.
Sementara itu, bagi bekas juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz, untuk menghasilkan lagu terbabit, penciptanya terpaksa mengumpulkan mereka berdua untuk memberikan penerangan secara ringkas cara nyanyian yang dikehendaki.
“Perbezaan julat vokal yang berbeza membuatkan kami perlu menyeimbangkan nyanyian supaya tidak kedengaran seperti beradu suara. Sebaliknya masing-masing menggunakan kreativiti serta pengalaman yang ada untuk menghasilkan melodi nyanyian yang bukan saja seimbang tetapi menyentuh hati pendengar,” kata Hafiz.
Memandangkan lagu ini memang popular, tidak mustahil ada pihak yang mahukan lagu ini untuk dipertandingkan. Apakah kedua-dua mereka sudi mempertimbangkan permintaan itu?
“Buat masa ini kami belum memutuskan untuk mempertandingkan Muara Hati atau tidak.
Kami hanya melakukan yang terbaik kerana itulah prinsip kami apabila membuat sesuatu kerja.
Tengoklah nanti macam mana, kerana buat masa ini Siti tidak berani untuk menjanjikan apa-apa,” kata Siti.
Source : http://www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment