Thursday, April 11, 2013

ADA STRATEGI SENDIRI


Program realiti Akademi Fantasia (AF) nyata satu platform terbaik buat Hafiz dan Hazama membina karier nyanyian mereka. Kini kedua-dua jejaka yang dipilih peminat sebagai Juara AF musim ketujuh dan kesembilan ini nampaknya memiliki strategi tersendiri untuk terus bertahan.

Tak dinafikan, pengaruh seni dua 'H' ini semakin menjadi perhatian ramai. Jika Hafiz makin cemerlang di pentas nyanyian apabila berjaya menembusi pasaran muzik Indonesia serta meraih peluang mengadakan konsert solo pertama di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 3 Jun nanti, Hazama pula giat berlakon.

Hafiz selesa fokus karier berbanding kisah cinta

Pada usia 23 tahun, Hafiz sudah berjaya mengecapi pelbagai kejayaan besar dalam karier nyanyian yang diceburi sejak empat tahun lalu. Justeru, secara tidak langsung, kejayaan itu turut meletakkan nama Hafiz dalam kelas tersendiri terutama membuktikan betapa dia adalah juara AF paling komited dan efektif.

Bimbingan diberikan pengetuanya, Datin Seri Tiara Jacquelina nyata tidak pernah disia-siakan Hafiz. Bahkan, pemuda kelahiran Kuching, Sarawak ini sudah mampu tersenyum lebar apabila impiannya untuk melebarkan sayap untuk karier nyanyiannya bertapak di persada muzik Indonesia sudah menjadi kenyataan.

Pada tahun lalu, juara program Mania terbitan Astro yang bernaung di bawah empayar pemuzik ternama Indonesia, Ahmad Dhani itu melancarkan albumnya Hafiz Suip : Luahan Hati Anak Seni di Indonesia. Malah, selain lagu Awan Nano, Hafiz juga dikenali di negara jiran itu menerusi lagu Bahagiamu Deritaku.

"Bagi saya, ia lagu yang cukup puitis mengisahkan cinta tak kesampaian ciptaan LY dan Baiduri. Malah, saya sangat berpuas hati dengan lagu ini kerana turut diterima baik di Indonesia. Kini, saya dalam proses untuk melancarkan album berkenaan untuk pasaran Malaysia pula.

"Sebagai album ketiga saya untuk pasaran tempatan, sebanyak sembilan lagu dimuatkan termasuk Bahagiamu Deritaku. Bagi saya, album ini cukup bermakna kerana bekerjasama dengan ramai komposer terkenal yang bertindak sebagai penerbit seperti Ajai, Kuncidemak, Ly, Baiduri, AG Coco dan Zul 2 By 2.

"Bagaimanapun, album ini dijanka berada di pasaran muzik tanah air pada hujung April nanti. Justeru, harapan saya semoga album ini disukai ramai dan diterima baik peminat. Namun, apapun saya amat berterima kasih kepada kelab peminat HafizFC yang masih aktif menyokong saya hingga kini," katanya.

Bakal mengadakan konsert solo pertama yang mengisi segmen 'Spotlight' di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada Jun ini, Hafiz akui dia cukup teruja dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik. Ujarnya, menyedari bukan mudah memperoleh peluang keemasan itu, Hafiz berasakan dirinya amat bertuah dengan kepercayaan diterima.

"Memang menjadi impian saya juga untuk beraksi di pentas berprestij seperti DFP. Jadi, apabila memiliki peluang ini saya bertekad mahu memberikan yang terbaik kepada penonton yang hadir menyaksikannya. Apatah lagi, kesudian mereka membeli tiket untuk hadir menyaksikan persembahan saya.

"Saya amat terharu dengan sokongan yang diberikan peminat. Begitu juga dengan kedua-dua ibu bapa saya dan keluarga. Bagi saya, tanpa sokongan itu, pasti takkan berada hingga ke tahap ini. Apapun, saya sangat bersyukur dan berharap semua sokongan ini akan berterusan kekal bertahan," katanya.

Berbicara pula mengenai hubungan cintanya, Hafiz tanpa berselindung mengakui kini memang dia menjalin cinta dengan seseorang. Pun begitu dia lebih selesa berbicara mengenai perkembangan karier berbanding kisah peribadi.

Kata Hafiz, buat masa ini dia takkan memberi lebih komen mengenai cintanya.

Menyentuh soal lakonan Hafiz berkata, biar pun dia pernah menonjolkan bakat seninya sebagai pelakon, namun dia lebih memilih untuk fokus utamanya pada nyanyiannya.

Katanya, kini dia juga lebih memberi ruang pada dirinya menceburi bidang penulisan lirik dan mencipta lagu.

Bagi konsert sulungnya di DFP pada 3 Jun ini, tiket berharga RM80 sudah habis terjual. Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert ini, masih boleh mengisi kekosongan bangku VIP dengan harga tiket RM124 dan RM144. Keterangan lanjut layari dfp.com.my.


Source : hmetro.com.my


No comments:

Related Posts with Thumbnails