ADA sesetengah perkara perlu diletakkan dalam ruang privasi dan ada sebahagian hal boleh didedahkan untuk tatapan peminat dan orang sekeliling.
Harga yang perlu dibayar untuk bergelar seorang artis bagaimanapun tidak menggugat ketegasan Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd Suip bercerita tentang kisah cinta terbaharunya.
Seperti diketahui umum, setelah hubungan Hafiz dan penyanyi kelahiran Sabah, Adira musnah pada awal tahun lalu, Hafiz khabarnya kini sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang gadis yang juga berasal dari Sarawak.
Bagaimanapun, pemuda berusia 23 tahun ini tidak pernah membuka mulut bercerita mengenai hubungan istimewanya itu sebelum ini.
Semasa pertemuan bersama Kosmo! baru-baru ini, penyanyi lagu Ku Akui ini berkongsi kisah dirinya yang terkini.
"Saya tidak mahu menguar-uarkan identiti dia (kekasih) kepada orang ramai kerana saya menghormati peribadi dia. Lagipun, dia masih seorang pelajar di sebuah kolej. Kami sedang menjalinkan hubungan dan saya tidak mahu memberitahu siapa (identiti) dia. Biar saya simpan sendiri.
"Kerja adalah kerja dan peribadi adalah hak saya. Ada perkara yang saya boleh cerita dan tidak semua saya perlu ceritakan, begitu juga tempoh perkenalan kami yang saya mahu rahsiakan buat masa sekarang," ujarnya pada sesi fotografi di Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini.
Melanjutkan perbualan setelah digigit bahang mentari pada petang hari Rabu lalu, kata Hafiz, dia tidak ambil pusing pandangan masyarakat mengenai pendiriannya untuk menyembunyikan identiti kekasihnya.
Malah katanya, dia akur akan persepsi masyarakat yang mungkin melihat dia terlalu berjaga-jaga dan kelihatan seolah-oleh bermain silang kata.
"Orang sekeliling akan memandang dengan sendirinya setiap gerak-geri kita dan itu adalah perkara biasa dan semula jadi. Semua orang berhak bercinta.
"Buat masa sekarang kami belum merancang untuk ke langkah seterusnya melainkan pernah berbincang untuk menjalankan bisnes bersama-sama," tutur Hafiz.
Konsert
Sementara itu, Hafiz turut berkongsi keterujaan menjelang konsert solo pertamanya yang akan mengambil tempat di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 3 Jun kelak.
Katanya, konsert itu bakal menceritakan kehidupan dan perjalanan seninya bergelar penyanyi dan Hafiz mengidamkan konsert itu menjadi sebuah kenangan terindah kepada dia dan peminatnya.
"Saya kini lebih fokus ke arah proses latihan vokal dan staminanya menjelang konsert yang tempohnya kurang dua bulan lagi dari sekarang.
"Sebanyak 10 buah lagu termasuk medley dan lagu bahasa Inggeris serta lagu tradisional akan dipersembahkan pada malam itu.
"Seboleh-bolehnya saya inginkan sebuah konsert santai yang akan menjadi ingatan kepada peminat saya sekali.
"Ia sekali gus untuk berkongsi kenangan selain perjalanan saya sebagai anak seni selama empat tahun," ujarnya.
Masih muda dan sudah pun berjaya melangkahkan kaki untuk mengadakan konsert di pentas berprestij seumpama DFP pastinya menuntut banyak keringat dan dalam erti kata lain tuah.
Jelas Hafiz, konsert itu sebenarnya hasil sokongan peminatnya yang tidak pernah berbelah bagi sejak mula-mula dia memilih hala tuju bergelar penyanyi.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mendapat sokongan peminat dan kepercayaan DFP. Saya sangat teruja kerana tidak pernah membuat persembahan sebegini sepanjang hidup saya.
"Peluang ini ibarat mendapat emas yang jatuh dari langit dan saya patut menghargainya. Saya teruja dalam masa yang sama gementar dan takut," luahnya mengenai konsert berdurasi 1 jam 30 minit itu.
Konsert itu melantik Aubrey Suwito selaku pengarah muzik dan Pat Ibrahim sebagai pengarah pentas selain diiringi 12 pemuzik handalan.
Album
Berbicara mengenai perjalanan kariernya yang dilihat semakin menyerlah, timbul tanda tanya adakah Hafiz bakal meletakkan label eksklusif terhadap karier nyanyiannya kelak?
Jawab Hafiz, dia seorang penyanyi yang ringkas tapi ada kalanya perlu menjaga nilai eksklusif.
Ungkapnya : "Saya seperti orang biasa dan hanya mengikut aliran hidup yang telah ditetapkan."
Terbaharu, Hafiz tampil dengan single terbaharu berjudul Bahagiamu Deritaku ciptaan sepenuhnya LY Baiduri yang bakal dimuatkan dalam album ketiganya yang akan menjengah pasaran penghujung bulan April ini.
"Bahagiamu Deritaku menceritakan kerelaan seorang lelaki melepaskan wanita yang dikasihinya pergi demi kebahagiaan," kongsi Hafiz sambil menguntumkan senyuman manis.
Album ketiganya diberi judul Hafiz Suip : Luahan Hati Anak Seni akan memuatkan sembilan buah lagu hasil ciptaan komposer terkenal antaranya Ajai, LY Baiduri dan Kuncidemak.
Menerusi album itu, Hafiz turut menyumbangkan bakat menulis lirik menerusi dua buah lagu iaitu Mungkinkah dan Deklamasiku.
Album itu juga kata Hafiz masih memfokuskan kekuatan vokalnya dalam genre pop balada alternatif dan akan menceritakan jalan cerita peribadi serta pahit manis bergelar anak seni.
Source : http://www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment