Minggu ini pelajar AF2013 diberi lagu duet oleh inspirer ketiga mereka iaitu Dato' Siti Nurhaliza.
Aisyah akan berduet bersama Hafiz yang merupakan Juara AF7.
Mereka kelihatan serasi dan selesa semasa sesi latihan dijalankan dan menurut Aisyah, Hafiz adalah seorang guru yang baik.
"Alhamdulillah, setakat ini semua berjalan lancar, saya seronok dengan Hafiz, dia seorang guru yang baik dan dia seorang yang sangat 'rilex' jadi bila saya dengan dia saya rasa tekanan saya terhadap lagu tersebut macam hilang sekejap," ujar anak kelahiran Singapura ini.
Menurut Hafiz, dia tidak mahu pasangan duetnya tertekan jadi dia tidak perlu untuk terlalu memaksa dan baru-baru ini Hafiz telah berjumpa dengan keluarga Aisyah.
"Saya tidak mahu dia tertekan jadi cara latihan kami lebih kepada konsep 'rilex', saya pernah mengalami keadaan seperti dia suatu ketika dulu dan saya amat faham tekanan yang dihadapi semasa bergelar pelajar AF.
"Masa Anugerah Planet Muzik baru-baru ini saya secara kebetulan berkesempatan berjumpa dengan ibu dan abang Aisyah, bertanya khabar dan mengetahui serba sedikit tentang penglibatan Aisyah dalam AF2013.
"Ibunya siap berpesan kepada saya supaya tengok-tengokkan Aisyah, jadi ini dah macam satu amanah, untuk tidak mengecewakan keluarganya, saya berjanji, kami akan memberikan persembahan terbaik untuk anda semua," ujar bekas pelajar AF7 ini.
Selain itu, Hafiz juga telah memberikan nasihat kepada Aisyah mengenai cara nyanyian untuk lagu duet.
"Mengenai suara atau 'pitching', saya rasa Aisyah tiada masalah dengan itu, cuma dari segi keserasian perlu diperbaiki lagi, maksudnya perasaan mengenai lagu tersebut.
"Jika mahu menjadi penyanyi yang baik, kita perlu bercerita dan kongsi dengan orang, duet ini tidak sama dengan solo. Duet memerlukan keserasian, cara penyampaian dan tidak boleh sesuka hati overlap seseorang dan Aisyah, dia sudah pandai semua itu cuma perlu diasah lagi," ujarnya mengakhiri perbualan.
Aisyah akan berduet bersama Hafiz menerusi lagu "Sembunyi" nyanyian asal oleh Misha Omar dan Andy Flop Poppy.
Source : www.astrogempak.com.my
No comments:
Post a Comment