Friday, November 6, 2009

Hafiz @ Harian Metro, 6th Nov 2009

Tidak melatah kurang popular
Oleh Wan Asrudi Wan Hasanwanasr@hmetro.com.my

Rap
BUKAN mudah memacu kerjaya dalam dunia seni apatah lagi bagi artis baru seperti Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, atau Hafiz.

Pemuda yang berasal dari Kuching, Sarawak itu mengakui semakin merasai dugaan dan cabaran yang dilalui selepas bergelar anak seni. Ternyata pelbagai cerita dan pengalaman menghimpit Hafiz selepas lapan bulan berakhirnya saingan program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) di mana dia meraih gelaran juara program itu.

Begitupun, sebagai artis Hafiz tidak mudah melatah sebaliknya menganggap cabaran menjadikannya lebih kuat untuk melebarkan sayap dalam dunia seni.Apa lagi melihat kejayaan rakan seangkatan seperti Khairil Azam Pilus atau Aril dan Afiq Akim Ahmad atau Aqim yang lebih menonjol menerusi lagu dan penampilan dalam drama, Kau & Aku yang disiarkan menerusi saluran Astro Ria (saluran 104) setiap Sabtu jam 10 malam yang semakin mendapat sambutan menggalakkan penonton.

Hafiz yang semakin meledak dengan lagu hitnya, Masih Jelas turut membuat penampilan cameo menerusi drama bersiri itu. Dia turut bergandingan dengan rakannya itu selain Black Mentor dan penyanyi Cina, Choo Hou Ren menyanyikan lagu Generasi Hebat Brands. Malah, mereka dilantik sebagai duta produk kesihatan, Brands.

Hafiz ketika ditemui cukup senang bergandingan dengan rakan artis menyampaikan lagu tema pelancaran Generasi Hebat berjudul Juara. Tidak timbul langsung soal persaingan atau mengatasi sesiapa menerusi gandingan itu sebaliknya masing-masing cuba memberi persembahan terbaik dan sebagai platform terbaik melangkah lebih jauh dalam dunia seni."Biar apapun rentak lagu yang kami nyanyikan yang penting misi kami tetap sama mengalas kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan Brands selain peluang untuk mempromosikan diri ke peringkat yang lebih tinggi memandangkan jenama berkenaan adalah produk antarabangsa."Tidak timbul langsung soal siapa yang melebihi sesiapa. Pada saya semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing. Persaingan sihat adalah satu situasi yang baik dalam dunia seni tanah air.

"Saya akui setiap daripada kami mempunyai keistimewaan dan kebolehan masing-masing. Kekuatan itu menjadi pendorong untuk terus berjaya dalam dunia seni," katanya.

Tambah Hafiz, dia bersyukur kerana album pertama, Masih Jelas yang dilancarkan baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan. Difahamkan pihak syarikat rakaman melakukan cetakan kedua untuk album solonya itu sebanyak 4,000 unit.

Dia turut mengakui disunting Enfiniti Productions Sdn Bhd (Enfiniti) yang mengadakan kerjasama dengan pihak Astro Entertaiment Sdn Bhd (AESB). Turut menyertai Hafiz, Aril dan Aqim dalam satu projek khas yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Sebagai artis baru, Hafiz mengakui masih cetek ilmu dalam dunia seni dan perlu bimbingan daripada mereka yang berpengalaman."Banyak lagi yang perlu saya belajar dalam dunia seni. Industri seni di Malaysia cukup luas. Lapan bulan selepas keluar dari AF banyak perkara yang saya pelajari namun belum mencukupi. "Saya sentiasa mahu memantapkan teknik vokal, gaya persembahan dan cara berkomunikasi dari semasa ke semasa. Pada saya semua ini membantu menentukan kejayaan seseorang artis," kata Hafiz ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Generasi Hebat Brands di KL Pac, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rakannya, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah biarpun lebih selesa dengan genre rock namun sebagai artis baru dia tidak pernah memilih untuk digandingkan dengan mana-mana artis. Sebaliknya menganggap peluang menjayakan kempen berkenaan sangat dinanti-nantikan."Tidak kisah soal gandingan dengan sesiapapun dan menyanyikan lagu dengan rentak apapun. Apa yang lebih penting. "Kami generasi artis baru diberi peluang untuk bertapak dalam dunia seni tanah air. Setakat ini saya cuba sesuaikan diri dengan semua yang terbabit dalam projek ini. Ternyata gandingan ini mempunyai keserasian tersendiri," katanya.

Juara Mentor musim ketiga itu kini dalam perancangan menghasilkan album solo pertama. Setakat ini, menerusi syarikat rakaman Monkey Bone sudah mempunyai beberapa lagu dalam peringkat saringan akhir.

Bagi Hou Ren, Aril dan Aqim kesempatan yang diberikan oleh pihak Brands menyanyikan lagu tema seterusnya sebagai duta produk berkenaan memberi ruang kepada mereka untuk lebih menonjol dalam dunia seni tanah air.

Sementara itu, Pengurus Besar Cerebos (M) Sdn Bhd, Koh Joh Siang program berkenaan dilancarkan bagi menyeru seluruh masyarakat menceburi aktiviti dan mengamalkan budaya hidup sihat."Kempen Brands menggabungkan hampir semua media bagi mendekati pengguna demi membawakan semangat Generasi Hebat termasuk peraduan yang menawarkan percutian bersama bintang seperti Hafiz, Hou Ren, Aril atau Akim," katanya.

Pelbagai kempen giat dijalankan di seluruh negara yang turut menawarkan pelbagai hadiah menarik. Keterangan lanjut layari laman web www.generasihebat.com.my.

No comments:

Related Posts with Thumbnails