Tuesday, November 10, 2009

Lima Penyanyi Kongsi Satu Lagu - Utusan Malaysia, 9th Nov 2009



Lima penyanyi kongsi satu lagu

Oleh ABD. AZIZ ITARaziz.itar@utusan.com.my

BARISAN nama seperti Hafiz, Akim, Aril dan Black dan Choo Hou Ren bukan asing dalam bidang seni suara tempatan kerana mereka dilahirkan menerusi program realiti televisyen (TV) yang popular di negara ini.

Hafiz, Aril dan Akim misalnya, dilahirkan melalui program realiti TV Akademi Fantasia (AF), Black (Mentor), manakala Choo You Ren Astro Star Quest di mana mereka mempunyai kalangan peminat masing-masing.

Sungguhpun mempunyai pengaruh tersendiri, tetapi mereka tidak menggunakan kelebihan itu secara sendirian. Sebaliknya bergabung menerusi sebuah lagu berjudul Juara ciptaan Audi Mok dan lirik tulisan Shazee Ishak.

Menurut Hafiz yang merupakan juara AF7, lagu itu mereka nyanyikan secara beramai-ramai bagi tujuan mempromosi serta mempopularkan minuman kesihatan jenama Brands yang mempunyai pelbagai perasa.

"Kami tiada masalah untuk menyanyikan lagu itu secara beramai-ramai atau terpaksa berkongsi bersama-sama atas populariti lagu tersebut. Pada masa sama kami mempunyai kelebihan masing-masing yang secara tidak langsung boleh membantu mempopularkan lagi lagu itu.

"Saya difahamkan lagu itu telah memecah rekod sebagai lagu iklan yang dinyanyikan oleh penyanyi yang paling ramai," katanya kepada Hits sewaktu ditemui selepas pelancaran lagu itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lagu Juara yang sarat dengan elemen jati diri dan merangkumi pengaruh slogan 1Malaysia akan digunakan untuk kempen promosi produk barangan berteraskan kesihatan itu termasuklah di TV dan radio.

Justeru, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini turut tidak menolak kemunculan lagu itu bukan setakat mampu mempopularkan barangan tersebut tetapi ia juga akan mengukuhkan lagi namanya dan empat lagi penyanyi terbabit dalam bidang nyanyian tanah air.

"Ini kerana, dalam lagu Juara turut dimuatkan serangkap lirik yang menggunakan bahasa Cina yang dinyanyikan oleh Choo Hou Ren. Dengan cara ini para peminat lagu-lagu Cina juga akan mengenali kami," ujarnya.

Perasaan yang sama turut dikongsi oleh finalis Top 3 Astro Star Quest itu yang menyifatkan kolaborasi lima penyanyi dalam sebuah lagu merupakan strategi pemasaran yang mempunyai serampang tiga mata.

Katanya yang baru tampil dengan album sulung berjudul The Real Ren, lagu Juara itu juga memberi peluang kepadanya mempelbagaikan lagi rentak lagu-lagu yang dinyanyikannya di mana ia tidak terhad kepada satu bahasa sahaja.

Hadir sama pada majlis pelancaran produk baru Brands dan pengumuman kolaborasi lima penyanyi itu ialah Pengurus Besar Cerebos (M) Sdn. Bhd., Koh Joo Siang selaku pengeluar produk tersebut.

Juara program Mentor musim ketiga (Mentor 3), Black pula berkata, dia turut menyahut baik pendekatan baru itu yang bukan sahaja mempopularkan sesebuah produk tetapi pada masa sama menyatukan ramai artis baru terutama yang berbilang bangsa.

"Muzik secara tidak langsung boleh menyatu-padukan rakyat berbilang bangsa di negara ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang ingin melihat rakyat Malaysia bersatu-padu dalam slogam 1Malaysia," komennya.

Sementara itu, Koh Joo Siang menjelaskan, pihaknya sengaja memilih lima penyanyi muda itu yang dilihatnya paling sesuai sebagai jurucakap yang mampu memperkenalkan lagi produk-produk jenama Brands pada masa depan.

Katanya, gabungan faktor usia, populariti dan kesesuaian produk yang akan dipromosikan oleh lima penyanyi terbabit akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terbabit.
Pada masa sama Brands turut menganjurkan peraduan yang menawarkan hadiah berupa pakej percutian bersama lima penyanyi itu. Sebarang pertanyaan sila hubungi talian 1-800-6226 atau layari laman sesawang http://www.generasihebat.com.my/


No comments:

Related Posts with Thumbnails