Friday, April 2, 2010

Hafiz AF7 Melangkah Ke Dunia Teater

HAFIZ AF7 MELANGKAH KE DUNIA TEATER
by Ashraf Abd Manaf



Sudah menjadi lumrah dunia seni Malaysia, apabila bergelar penyanyi tentunya peluang untuk melebarkan sayap ke dalam bidang lakonan akan terbuka luas. Itulah jua perjalanan yang dilalui oleh bekas juara Akademi Fantasia musim ke-tujuh (AF7) yang bakal membintangi sebuah teater muzikal tidak lama lagi.

Mengakui teruja dengan produksi yang bakal dibintanginya itu, Hafiz bagaimanapun tidak mudah lupa diri. Katanya bidang teater masih terlalu baru buat dirinya dan banyak lagi yang perlu dipelajari agar berjaya menempa nama sebaris dengan pelakon hebat negara.

Boleh Hafiz ceritakan tentang perkembangan terbaru Hafiz sekarang?
Sekarang saya sangat sibuk dengan persiapan untuk ABPBH (Anugerah Bintang Popular Berita Harian) yang akan berlangsung tidak lama lagi. Selain itu, saya juga masih mengadakan persembahan pentas seperti biasa.

Terbaru saya bakal membintangi sebuah teater muzikal tidak lama lagi. Teater itu bakal dipentaskan di Istana Budaya dan sejurus selepas ABPBH berakhir, saya akan menjalani sesi latihan bersama kumpulan produksi.

Sejak bila Hafiz berminat dengan bidang teater dan mengapa menerima tawaran tersebut?
Saya sebelum ini pun memang terlibat dengan bidang lakonan. Tetapi lebih kepada 'penampilan khas' di dalam beberapa buah drama. Bila dah terlibat di dalam bidang lakonan, minat mula muncul.

Secara kebetulan saya menerima tawaran untuk membintangi teater ini. Walau bagaimanapun saya tidak boleh mendedahkan lebih mengenai teater ini kerana tidak lama lagi bakal diadakan majlis pelancarannya oleh pihak produksi.

Apa yang boleh saya katakan, saya memang meminati teater muzikal dan daripada teater ini saya percaya saya mampu mengutip pengalaman baru serta menguji keupayaan saya. Maklumlah di dalam teater ini kelak, saya akan menyanyi, menari dan berlakon.

Walaupun masih baru di dalam bidang ini tetapi saya yakin dengan kerjasama semua pihak serta sesi latihan yang dilakukan, segala-galanya akan berjalan lancar.

Bagaimana pula dengan kerjaya nyanyian Hafiz. Walaupun lagu "Noktah Cinta" mula dikenali, tetapi rasanya impak lagu "Masih Jelas" masih kuat kepada penonton. Apa komen Hafiz?
Kerjaya nyanyian saya masih berjalan seperti biasa dan saya masih menerima banyak tawaran mengadakan persembahan pentas di seluruh negara. Walau bagaimanapun saya akui impak lagu "Masih Jelas" sangat kuat jika dibandingkan dengan "Noktah Cinta".

Namun dengan sesi promosi serta tayangan klip video lagu tersebut di beberapa buah saluran televisyen, saya percaya ia membantu memperkenalkan lagu "Noktah Cinta" dengan lebih meluas kepada peminat.

Selama bergelar selebriti, Hafiz merupakan antara penyanyi yang jarang dikaitkan dengan kontroversi. Setuju atau tidak dengan pendapat tersebut?
Memang saya jarang terlibat dengan kontroversi, tetapi ada juga gosip yang ditujukan kepada saya. Apa yang saya tidak setuju apabila perkara yang diperkatakan itu tidak benar. Pada saya, kalau saya melakukan perkara yang diperkatakan, saya akan mengaku.

Contohnya bila ada gosip yang mengatakan saya mabuk dan menghabiskan masa di kelab-kelab malam, itu adalah satu fitnah kerana saya tidak pernah melakukannya. Sementara itu, jika ada 'gosip-gosip manja' yang diperkatakan mengenai saya, saya akan menganggapnya hanya sebagai satu gurauan.

Sekarang AF8 sedang hangat diperkatakan. Sebagai bekas juara AF7, adakah Hafiz rasa tercabar dengan situasi ini?
Saya sebenarnya tidak kisah dengan situasi ini. Pada saya jika lebih ramai anak muda atau remaja yang mahu memasuki industri seni nyanyian dengan hasrat memperjuangkan industri seni kita, pada saya itu adalah sesuatu yang bagus.

Mengenai rasa tercabar atau tidak, saya lihat perkara ini sebagai satu persaingan yang positif di dalam industri. Untuk itu, supaya terus kekal di dalam industi seni, saya perlu mempertingkatkan kebolehan diri serta menghasilkan karya-karya yang berkualiti.

Jika saya terus berada pada tahap yang sama, dan dalam masa yang sama ramai penyanyi baru yang lebih hebat muncul, tidak mustahil saya akan dilupakan. Sebelum perkara tersebut berlaku saya perlu membuat persiapan.

Selain dengan bidang lakonan dan nyanyian, apa lagi yang dilakukan oleh Hafiz untuk terus kekal dalam bidang seni?
Saya bersyukur kini saya menjadi duta produk Brands selama setahun. Dengan adanya iklan-iklan Brands, orang ramai akan mengingati saya. Tetapi saya percaya, di dalam apa jua bidang atau perkara yang kita lakukan, kita perlu bersungguh-sungguh dan sentiasa komited. Hanya dengan cara itu, kita akan bertahan dan terus diingati.

Source : www.gua.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails