Monday, April 26, 2010

Hafiz, Nas Adila cuba bakat berteater

Oleh Norhayati Nordin

2010/04/26

JIKA sekarang, drama K.I.T.A rancak disiarkan di Astro Ria (saluran 104) untuk menyemarakkan gema semangat 1Malaysia dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kit.

Pada 17 hingga 27 Jun depan, akan dipentaskan pula teater Kita - The Musical di Istana Budaya (IB). Namun, kedua-duanya tiada kaitan.

Bersandarkan kos penerbitan sebanyak RM1.5 juta, Xiyue Art & Culture menjadi produksi bukan Melayu pertama diberi peluang mementaskan teater yang memupuk semangat perpaduan antara kaum. Hubungan setia kawan menjadi tunjang utama walaupun watak tiga anak muda berlainan agama dan budaya. Namun, mereka adalah rakyat di bawah negara yang sama, Malaysia. Justeru, barisan pelakon muda diberi kepercayaan menerajuinya.

Bahkan, siapa sangka juara Akademi Fantasia 7 (AF7), Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz, 20, terpilih dalam uji bakat membawa watak Rahman. Begitu juga dengan pelajar pertama tersingkir dalam AF7, Nas Adila Mohd Dan atau Adila, 24, turut berpeluang.

Gadis dari Ipoh, Perak ini melakonkan watak Ayu iaitu seorang gadis kampung yang miskin dan buta huruf. Namun, wujud bibit cinta antara Ayu dan Rahman apabila pemuda itu banyak membantu mengajarnya membaca. Apakah yang berlaku seterusnya? Pasti ramai yang ingin mengetahui kesudahannya. Ditambah lagi, Rahman juga bersahabat baik dengan Cheong lakonan Eric Lin dan Ganesh (Michael Rao). Mereka menyimpan tekad untuk berjaya dalam hidup serta memiliki semangat perpaduan yang tinggi.

Hafiz yang ditemui pada sidang media memperkenalkan pelakon utama Kita - The Musical di IB, baru-baru ini, berkata dia sememangnya sudah sedia menjadi pelakon. "Pemilihan saya membintangi teater ini berdasarkan sesi uji bakat yang dihadiri. Saya pun tidak sangka akan dipilih dan menganggap ia sebagai rezeki. Sebagai artis baru, saya perlu berani mencuba dan meraih peluang yang ada untuk masa depan.

"Saya perlu bekerja keras untuk memastikan berjaya sebagai insan seni. Menyanyi tetap pilihan pertama, tetapi menyedari persaingan yang mendatang, saya perlu ada strategi. Satu daripadanya, mencuba dalam bidang lakonan tanah air," katanya.

Berasal dari Kuching Sarawak, Hafiz berkata tujuan utamanya menyertai bidang teater ialah untuk menguji tahap kebolehan diri. Bahkan, ujarnya pada usia yang masih muda inilah dia perlu banyak berusaha menghasilkan karya sendiri yang bermutu.

Sementara itu, Nas Adila berkata memang menjadi impiannya untuk merebut peluang beraksi di atas pentas persembahan berprestij seperti IB. Malah, berlakon dalam teater muzikal pun bukan perkara yang boleh diambil mudah pendekatannya.

"Ini kali pertama saya bergandingan dengan Hafiz berlakon bersama. Antara kami, masing-masing tiada pengalaman, tetapi tiada salahnya mencuba. Apapun, bagi saya pembabitan pelakon dalam teater muzikal diperkukuhkan dengan lontaran vokal yang kuat," katanya.

Baru muncul dengan single terkininya, Bidadari Syurga, selain Nas Adila, Hafiz, Eric dan Michael, barisan pelakon lain yang membintangi Kita - The Musical ialah Amy Wang sebagai Chun Mei, Datuk Jalaluddin Hassan (Pak Hassan) Lim Cheng Hock (Chin SR) dan Sukania Venugopal (Nenek Naini).

Diarahkan Ho Ling Huay, pementasan Kita - The Musical membawa kisah pada awal 1970-an di Teluk Intan, Perak. Ia memaparkan cerita tiga budak lelaki, Rahman, Cheong dan Ganesh yang berjiran serta kawan lama dari kecil hingga dewasa.

No comments:

Related Posts with Thumbnails