Wednesday, September 15, 2010

Kenangan Aidilfitri buat 20 artis - BiPOP 12-09-2010

Oleh Zubir Mohd Yunus 2010/09/12

pix_gal0
PERASAAN teruja, terkejut dan tergamam bercampur baur apabila 20 artis popular menerima undangan bertandang ke rumah agam milik Datuk Siti Nurhaliza Tarudin di Bukit Antarabangsa, Selangor, sekali gus memeriahkan lagi sambutan majlis rumah terbukanya sempena kedatangan Aidilfitri. Memang sukar menolak pelawaan daripada penghibur kesayangan ramai itu walaupun artis kita sentiasa padat dengan jadual seni. Justeru, buat kali pertama Siti bersama suami kesayangannya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sudi menjadi tuan rumah meraikan rakan artis yang rata-ratanya baru kali pertama menjejakkan kaki mereka ke mahligai indah berharga jutaan ringgit itu. yang penting, selain menikmati juadah, mereka dapat bersalaman serta bermaaf-maafan.


Sekalipun dihimpit dengan jadual kerja yang padat, ditambah pula dengan kemunculan produk terbaru SimplySiti, Gold Edition yang harus dipromosikan, selain meraikan Syawal bersama keluarga dalam lingkup waktu yang terhad, namun Siti dan suaminya atau lebih mesra disapa Datuk K itu, melemparkan senyuman, menghulur tangan menyambut kehadiran Mawi dan isterinya Ekin, Fara Fauzana serta Faizal Ismail dari HotFM, selain Nabil Raja Lawak yang membuatkan tetamu lain tak kering gusi dengan telatahnya yang kerap memanggil Datuk K sebagai Abang!


Apabila 20 artis berhimpun di meja makan, pelbagai gelagat dapat disaksikan apabila ada yang rela makan sambil berdiri asal saja mereka dapat menjamu selera bersama Siti dan Khalid. Namun, bagi Aizat, Shahir AF8, Iqram Dinzly, Linda Onn dan Ana Raffali, mereka sedia mengalah untuk menikmati juadah Aidilfitri dalam suasana lebih ‘aman’ apabila kebanyakan rakan mereka seorang demi seorang beransur ke ruang tamu. 


 Saat yang ditunggu teman artis apabila Siti mengundang mereka yang masih solo supaya berbaris di depannya untuk menerima duit raya! Sekalipun kelihatan malu-malu, namun bagi Black Mentor, Adira AF8, Hafiz AF7, Zizi The Fabulous Cats, Adeline Tsen (Hotel Mania) dan Miera Liyana (heroin baru filem Apokalis), dilihat manja mencium tangan Siti sebelum menerima bahagian masing-masing. Fara Fauzana dianggap paling pemalu apabila dia menjadi orang terakhir menerima ‘habuannya’. 


 Tidak ketinggalan menjadi tetamu istimewa Siti pada majlis rumah terbukanya itu ialah Intan Ladyana, Fahrin Ahmad, Dira Abu Zahar, Lisa Surihani dan Shaheizy Sam yang kelihatan anggun bergaya apabila melaram dengan baju raya masing-masing. Rata-rata artis yang ditemui melahirkan perasaan gembira apabila melihat sendiri bagaimana mesranya Siti bersama suami melayan tetamu dengan sikap rendah diri mereka, walhal kedua-duanya boleh dianggap sebagai role model industri hiburan negara. Senyuman tidak pernah lekang di bibir Siti mahupun Khalid walaupun tampak letih melayan permintaan kebanyakan rakan artis yang bertali arus ingin bergambar bersama mereka. Ternyata Syawal kali ini menjadi kenangan terindah kepada 20 artis yang diundang khusus untuk bersama Siti dan suami meraikan Aidilfitri mereka! 


* Tajaan makanan & hiasan bunga segar: Quality Hotel City Centre Kuala Lumpur, Jalan Raja laut, Kuala Lumpur (03 2693 9233) 
 * Terima kasih: Pengurus Residen, Hidzhir Abdul Hamid 
 * Lokasi: Kediaman Datuk Siti Nurhaliza Tarudin 
 * Terima kasih: Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa 
 * Pakaian Siti Nurhaliza: Rizman Ruzaini (017 476 6004) 
 * Solekan Siti Nurhaliza: Nurul Shukor (012 286 2286) 
 * Pakaian Iqram: Lat’s Collections, Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur 
 * Pakaian Hafiz & Shahir: Jedan’s Collections (018 203 6838) 
 * Pakaian & solekan Adira: Jue Eden (013 230 3027) 
 * Pakaian Linda Onn: AKF Classic Boutique (017 736 6030) 
 * Solekan Linda Onn: Syaheeda 
 * Pakaian Ana Raffali: Ariff Shukor (017 380 6014) 
 * Solekan Ana Raffali: Masz Zahari (017 323 1916) 
 * Pakaian Zizi The Fabulous Cats: Mimpi Kita, Bangsar, Kuala Lumpur 
 * Pakaian Intan Ladyana: Old Blossom Box 
 * Pakaian Fara Fauzana & Faizal Ismail: Jedan’s Collections (018 203 6838) 
 * Pakaian Adeline Tsen: Secret Collection



No comments:

Related Posts with Thumbnails