Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my
2010/09/15
HAFIZ (kiri) dan Shahir.
SAAT ini, dua bintang Akademi Fantasia (AF), Ahmad Shahir Zawawi, 22 dan Mohd Hafiz Mohd Suip, 20, sudah mampu tersenyum lebar apabila harapan untuk berkumpul bersama seisi keluarga di kampung halaman masing-masing pada lebaran ini dimakbulkan.
Wajah lembut datuk nenek serta pandangan syahdu ayah bonda tatkala bersalaman memohon ampun pada pagi 1 Syawal masih berbekas di ingatan, malah keriuhan seisi rumah berhimpun dengan senda gurau adik-beradik dan sepupu membuatkan sambutan hari kemenangan lebih bermakna.
Bagi juara AF8 yang mesra disapa Shahir, kepulangan ke desa tercinta di Kampar, Perak sempena Syawal ini diibaratkan hadiah paling berharga. Amat difahami kerana selepas meraih gelaran bintang sekitar April lalu, dia tidak pernah berkesempatan untuk bercuti panjang.
Bukan mengeluh malah bersyukur apabila dirinya terus meraih perhatian ramai biarpun masih terlalu hijau di arena seni, namun kerinduan terhadap keluarga tidak mampu dibendung disebabkan hambatan jadual kerjaya harian yang perlu dipenuhi.
“Bagi saya, Syawal tidak bermakna jika tanpa keluarga di sisi. Boleh dikatakan sejak kecil hingga zaman menuntut di universiti, saya seboleh-bolehnya balik ke kampung sebelum malam raya. Kemeriahan Syawal berganda sehari sebelumnya, apabila kami semua menyediakan segala persiapan dari memasak hingga menghias rumah.
“Tahun ini saya dapat pulang pada petang sebelum 1 Syawal sekali gus berkesempatan membantu ayah membakar lemang selain menjadi pembantu khas ibu memasang langsir dan membersihkan rumah. Walaupun penat, ia cukup menyeronokkan,” katanya yang mengambil cuti selama seminggu.
Pulang ke Gopeng bertemu datuk dan nenek serta sanak-saudara terdekat menjadi acara wajib pada pagi raya. Kali ini pastinya pelantun lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu tidak ketinggalan menghulur duit raya kepada adik serta sepupu kerana kini dia sudah mampu memegang duit sendiri.
“Syukur tahun ini, dengan rezeki yang ada saya dapat menggembirakan keluarga saya. Buat ibu bapa, saya lebih suka menyerahkan duit belanja kerana mereka lebih tahu mana yang perlu didahulukan. Keceriaan mereka sudah cukup menjadi hadiah buat diri ini,” kata penggemar tat nas dan sejenis kuih tradisional, Kelamai itu.
Teman seperjuangan, Hafiz yang juga juara AF musim tujuh turut tidak mampu menyembunyikan keseronokan dapat pulang ke Kuching, Sarawak tiga hari lebih awal sekali gus membolehkannya meronda keliling kampung bertemu kawan lama dan saudara mara.
Berhari raya selama 10 hari di desa tercinta umpama percutian lima bintang buat penyanyi lagu Masih Jelas itu apatah lagi dapat menjamah juadah tradisional negeri Bumi Kenyalang termasuk Laksa Sarawak, Umai serta apa saja masakan hasil air tangan ibunya, Halizawati Mohd Salleh.
“Sebagai anak sulung, saya memang rapat dengan ibu, justeru kami saling berhubungan di telefon biarpun dipisahkan lautan. Perhatian ibu terhadap kami adik-beradik tidak pernah berkurang walau sedetik pun biarpun semuanya semakin dewasa.
“Adik-adik juga ternanti-nanti kepulangan saya pada Aidilfitri ini malah sejak minggu pertama puasa lagi mereka sudah bertanya bila saya mahu pulang ke kampung. Kiranya cuti 10 hari ini umpama ‘balas dendam’ hendak bermanja puas-puas dengan ibu,” kata anak pertama daripada tiga bersaudara itu sambil ketawa.
Apa pun, dua bintang muda yang mempunyai visi sama - menempa tempat di arena seni suara - bakal sibuk semula sebaik saja tempoh bulan madu bersama keluarga tamat pertengahan Syawal ini memandangkan sudah berderet susunan program menanti.
PROFIL
Hafiz:
Nama Penuh: Mohd Hafiz bin Mohd Suip
Tarikh Lahir: 27 Februari 1990
Asal: Kuching, Sarawak
Status: Bujang
Tinggi: 170 sm
Berat: 68 kg
Hobi: Memancing
Penyanyi Idola: Faizal Tahir
Adik-beradik: Sulung daripada tiga beradik
Profesion: Penyanyi
Album: Masih Jelas
Shahir:
Nama Penuh: Ahmad Shahir Zawawi
Tarikh Lahir: 5 September 1988
Tempat Lahir: Hospital Besar, Ipoh Perak
Asal: Kampar, Perak
Tinggi: 168 sm
Berat: 65 kg
Status: Bujang
Adik Beradik: Sulung daripada lima beradik
Pekerjaan: Pelajar Pusat Asasi UIA, Penyanyi
Pendidikan Tertinggi: Diploma (Kejuruteraan)
No comments:
Post a Comment