Tuesday, May 22, 2012

SUPERSTAR ANAK SARAWAK


"Saya tidak tahu lagi apa yang hendak saya lakukan dengan wang kemenangan ini. Bukan tidak menaruh harapan, namun saya benar-benar tidak menyangka akan muncul sebagai juara Mania.

"Saya bukan mahu beri jawapan klise namun saya sejujurnya sangat takut dengan pertandingan pada kali ini. Bukan kerana tidak yakin, tetapi lihat saja finalis yang bertanding. Jaclyn Victor misalnya, dia bukan calang-calang pesaing malah cukup berpengalaman berbanding saya. Jadi, apa yang saya buat, bersiap-sedia dan memberikan lebih dari 100 peratus untuk persembahan malam ini," begitulah ekspresi Hafiz Suip tatkala diajukan perancangannya dengan wang kemenangan RM500,000 selaku juara Mania, Sabtu lalu.

Biarpun boleh dikatakan dia masih baru dalam industri ini, tidak menjadi penghalang buat juara Akademi Fantasia 7 (AF7) itu dinobatkan sebagai juara. Tidak dinafikan, walaupun baru bertapak beberapa tahun, bakat besarnya berjaya menyentuh hati dan membuka mata penggiat serta pengikut industri.

Nyanyiannya menerusi lagu I Believe I Can Fly (R.Kelly) pada malam itu umpama memberikan pembayang bahawa dia bakal bergelar juara ditambah lagi mendapat 'standing ovation' daripada Ahmad Dhani. Berentap dengan empat lagi finalis - Jaclyn Victor (Jac), Stacy, Hazama dan Aril, kelebihan sememangnya tertumpu kepada Hafiz memandangkan namanya cukup relevan dan sedang 'in' pada saat ini.

Walaupun terpaksa menukar lagu di saat-saat akhir, dia yang sepatutnya dipertanggungjawabkan Ahmad Dhani untuk membawakan lagu hit Queen, Bohemian Rhapsody bagaimanapun tampak cukup selesa membawakan lagu itu ketika persembahan solonya. Manakala, menerusi persembahan duet, vokalnya hebat berpadu suara dengan Sarah Raisuddin mendendangkan Beribu Sesalan (3 Suara).

Meletakkan sepenuhnya kuasa ke tangan penonton untuk menentukan juara menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), sebaik undian ditutup, Hafiz mendahului finalis lain dengan 28 peratus. Apabila dijentik dengan gelaran Raja SMS berkaitan kemenangan kali ini, mengakui tidak sangka dengan kemenangan itu, Hafiz juga seperti yang lain, cuma mahukan persembahannya berjaya dan paling penting, memuaskan hati penyokongnya serta penonton pada peringkat akhir itu.

"Setiap hari saya mendapat permintaan daripada peminat untuk melakukan yang terbaik dalam final ini. Dengan harapan tinggi yang mereka sandarkan, saya tidak sampai hati untuk mengecewakan mereka. Walaupun tahu persaingan pastinya sengit, saya cuba tampil dengan persembahan yang mampu memberi kesan.

"Seiring dengan objektif Mania yang ingin melahirkan superstar, bagi saya semua finalis adalah superstar. Apa jua yang berlaku selepas ini, saya tidak mahu meletakkan diri saya pada tahap lebih tinggi kerana banyak benda yang masih perlu dipelajari. Kemenangan ini adalah satu lagi anjakan pada karier seni dan saya amat bersyukur dengan kebolehan yang Tuhan kurniakan.

"Apa yang boleh saya katakan, saya bukan Raja SMS semata-mata, namu saya mempertaruhkan bakat serta kebolehan untuk berjaya dalam program ini," ujarnya.

Namun begitu, persaingan tidak dinafikan sebenarnya sangat sengit kerana masing-masing nampaknya tampil dengan persembahan 'all out'. Dijalankan secara dua pusingan, mereka juga diberikan peluang membawa artis kegemaran  untuk berduet bersama mereka. Di sinilah penonton diberikan kuasa untuk menilai sama ada mereka layak membawa gelaran 'superstar'.

Biarpun awalnya undian Jac yang turut menjadi calon utama memenangi pertandingan itu ternyata jauh meninggalkan peratusan finalis lain, namun nasib tidak menyebelahinya apabila dipintas sejurus undian ditutup. Mempersembahkan lagu solo medley Kenangan Terindah dan Gemilang serta nyanyian duet bersama Tiar Jinbara menerusi Arjuna, Jac akur dan berpuas hati di tempat ketiga.

"Sejak mengambil keputusan menyertai Mania, saya sudah menjangkakan kekalahan ini apatah lagi ia berpaksikan undian SMS. Lihat saja saingan saya, semuanya mempunyai penyokong yang kuat.

Saya akui, pada tahap ini saya tidak boleh mengharapkan lebih kerana format sudah ditentukan begitu.

"Bagaimanapun, saya sedikit kecewa dengan persembahan malam ini. Saya boleh buat lebih baik lagi namun masalahnya masa sangat terhad dan tida mengizinkan. Namun, tiada penyesalan dengan penyertaan kali ini kerana mengenali Jac, saya sorang yang suka mencabar diri dan akan terus mencuba selagi masih ada ruang.

"Biarpun gagal bergelar juara, tetapi pengalaman yang ditimba amat berharga dan kalau bukan kerana Mania, Ahmad Dhani juga tidak akan kenal saya dan menawarkan peluang untuk bekerjasama dalam projeknya di Indonesia. Saya tidak menganggap ini sesuatu yang negatif dan sekiranya ada lagi ruang seperti Mania selepas ini, saya tidak serik untuk mencuba," jelasnya.

Pada malam itu, selain Hafiz dan Jac, Stacy yang mendapat tempat kedua tampil hebat menerusi persembahan lagu Takkan Melupakanmu (Radja) dan Cinta duet bersama Fiq Mentor. Bekas juara AF9, Hazama juga tidak mengecewakan dengan mendendangkan lagu Saat Ku Idamkan (Searc) dan duet bersama Datuk Hattan dengan lagu Kepadamu Kekasih. Walaupun mendapat undian terendah, Aril juga tampil bertenaga menyanyikan Starlight (Muse) dan berduet dengan Ari Lasso menerusi lagu Isabella.

Terdahulu, pentas pertarungan dibuka dengan persembahan peserta tersingkir mengikut empayar, Awi Rafael, Adira dan Chaq bersama Aubrey Suwito dengan lagu Seribu Impian, Atilia, Akim dan Estranged bersama Ahmad Dhani (Empayar Hijau) dengan lagu Itulah Cinta dan Laskar Cinta dan Empayar Merah iaitu Shila Amzah dan Ebi bersama Datuk M.Nasir menerusi lagu Mentera Semerah Padi.

Turut memeriahkan pentas, persembahan khas daripada Datuk Siti Nurhaliza dengan medley Mistikus Cinta (Dewa), Gemuruh (Faizal Tahir) dan Sejati (Wings). Manakala Wings yang menampilkan Awie menggegarkan pentas dengan menyanyikan lagu Peronda Jaket Biru dan Romania.

Sebaik undian ditutup, Hafiz unggul di tempat pertama, Stacy (22%), Jaclyn (22%), Hazama (19%) dan Aril (9%).

Selaku pemenang kedua, Stacy menerima wang tunai RM200,000 dan Jac, RM100,000 di tempat ketiga. Sementara itu, Ahmad Dhani juga berjaya membawa pulang wang tunai RM300,000 sebagai produser kepada juara.

Source : www.hmetro.com.my










No comments:

Related Posts with Thumbnails