Monday, December 16, 2013

Hafiz Anggap Kemenangan Sebagai Cabaran Jadi Lebih Baik


KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip menganggap kemenangannya dalam tiga kategori di Anugerah Industri Muzik 20 (AIM20) sebagai satu cabaran kepadanya untuk menunjukkan prestasi lebih baik pada masa akan datang.

Hafiz, 23, berkata, kemenangan tersebut bukan untuk mendabik dada sebaliknya berusaha lebih kuat pada karya seterusnya.

"Kemenangan ini tidak akan buat saya leka atau mengambil sikap sambil lewa sebaliknya saya anggap ia sebagai cabaran untuk saya meningkatkan prestasi selagi mana tahap yang saya mampu.

"Bagi saya ia adalah permulaan dan ini adalah kemenangan pertama saya dalam Anugerah Industri Muzik," katanya pada sidang media selepas malam kemuncak Anugerah Industri Muzik Ke-20, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, Sabtu.

Hafiz memenangi anugerah Album Terbaik menerusi album Luahan Hati Anak Seni, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) menerusi lagu Bahagiamu Deritaku dan Rakaman Album Terbaik.

Tambah Hafiz, kemenangan tersebut juga merupakan hadiah kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberi sokongan kepadanya.

Sementara itu, bagi komposer yang turut terlibat dalam pembikinan album Luahan Hati Anak Seni, LY berkata, Hafiz merupakan seorang penyanyi yang mampu menyanyikan semua lagu daripada mana-mana komposer dengan baik mengikut caranya tersendiri.

"Hafiz seorang penyanyi yang bagus dan dia boleh bawa apa sahaja lagu dengan baik daripada mana-mana komposer sekalipun.

"Ketika saya diminta untuk mencipta sebuah lagu artis lelaki untuk pasaran Indonesia, saya ada beri empat buah lagu.

"Namun apabila mengetahui artis tersebut adalah Hafiz, saya menarik semula empat lagu tersebut dan mencipta sebuah lagu khas untuknya iaitu Bahagiamu Deritaku.

Tambahnya, suara dan teknik nyanyian penyanyi itu mempunyai keunikan yang tersendiri.

Source : http://mstar.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails