Monday, December 16, 2013

Kuasa baru seni suara


Hafiz terus lakar kejayaan, enggan cepat selesa dengan deretan trofi diterima

Setiap kali namanya dicalonkan dalam mana-mana acara anugerah, dia jarang pulang dengan tangan kosong. Barangkali itulah tuah penyanyi bernama Hafiz Suip, bakat yang dicungkil menerusi program Akademi Fantasia pada 2009.

Semakin lama dia menapak dalam dunia muzik, semakin jauh juga Hafiz meninggalkan bekas peserta lain program realiti itu apabila satu demi satu anugerah berprestij berjay digenggam olehnya.

Kelmarin, satu lagi sejarah peribadi dilakar penyanyi kelahiran Sarawak ini apabila dia dinobatkan sebagai pemenang kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Anugerah Industri Muzik 20 (AIM20) menerusi lagu Bahagiamu Deritaku di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Bukan calang-calang kemenangan kerana penyanyi yang dikenali dengan imej rambut kerinting itu berupaya mengetepikan saingan yang tidak kurang hebatnya seperti Azlan & The Typeweiter, Faizal Tahir, Hazama dan Ronnie (Hyperact).

Mengulas perkara itu, Hafiz mengakui kemenangan terbabit sangat mengejutkan dirinya.

Menyanyi biar ikhlas

"Seperti biasa setiap kali dicalonkan, saya tidak pernah menaruh sebarang harapan untuk menang. Apatah lagi selepas melihat calon lain yang berada dalam kategori sama dengan saya cukup hebat. Apa pun bagi saya, setiap perkara dilakukan itu saya buat dengan ikhlas.

"Paling penting, saya tidak mahu cepat rasa selesa kerana jika kita ada perasaan sebegitu, kita tidak akan berjaya. Kemenangan ini juga menjadi motivasi untuk saya terus memberikan yang terbaik kepada industri," ujar Hafiz ketika ditemui pada sidang media selepas acara berakhir.

Tambahnya, kejayaan penyanyi terdahulu yang terus berjaya mengekalkan nama mereka sehingga hari ini memberikan inspirasi untuk dia mengikut jejak langkah mereka. 

Penyanyi berusia 23 tahun itu menang bergaya malam itu apabila turut membawa pulang dua anugerah lain iaitu Rakaman Album Terbaik dan Album Terbaik menerusi album keduanya, Luahan Hati Anak Seni.


LY puji suara garau Hafiz

Lagu Bahagiamu Deritaku bukan saja mencatat sejarah peribadi buat Hafiz tetapi juga buat pencipta lagu itu, LY.

Ketika ditugaskan bagi mencipta lagu untuk seorang penyanyi, LY mendedahkan, dia tidak tahu pun ia bakal dinyanyikan oleh Hafiz.

"Saya diminta syarikat rakaman Indonesia yang mahukan saya mencipta lagu untuk seorang penyanyi, tetapi identiti artis terbabit dirahsiakan. Saya mencipta empat lagu pada masa terbabit.

"Bagaimanapun, sebaik saja mengetahui lagu saya bakal dinyanyikan oleh Hafiz, saya tarik balik semua lagu berkenaan. Maka terciptalah lagu Bahagiamu Deritaku," dedahnya.

Sebagai komposer berpengalaman, dia mengakui Hafiz mempunyai mutu vokal yang sangat bagus kerana mampu mempelbagaikan nada suara.

"Selama ini kita hanya mendengar suaranya yang lunak, tetapi menerusi lagu ini suara garau Hafiz turut kedengaran. Dia memberikan jiwa terhadap lagu itu dan kemenangan ini memberikan saya semangat untuk kembali aktif seperti dulu," ujar LY yang pernah menyaksikan lagunya dinyanyikan oleh penyanyi terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Liza Hanim dan Ning Baizura.


For full article, go to : http://www.bharian.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails