Monday, June 10, 2013

Hafiz ukir sejarah di DFP


Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my

SEJAJAR dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Hafiz Suip, 23, nyata beraksi di pentas gah, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Kuala Lumpur memberikan satu pengalaman tersendiri buat artis muda ini. 

Beraksi menerusi slot DFP Spotlight pada malam Isnin lalu, Hafiz membuktikan bahawa artis baru sepertinya juga mampu menempatkan diri sebaris dengan artis solo berkelas A.

Melahirkan rasa bangga kerana mimpi untuk membuat persembahan konsert sendiri menjadi kenyataan, Hafiz mengaku tidak mampu menggambarkan perasaannya dengan kata-kata apabila ditemui selepas selesai persembahan selama satu jam setengah itu.

“Saya percaya, ramai lagi artis di luar sana yang menyimpan hasrat untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij DFP. 

“Kalau ditanya, saya sendiri pun masih tak percaya yang saya dah pun jejakkan kaki di DFP dan buat persembahan untuk peminat di sini.

“Macam mimpi... Apa pun, saya berbesar hati dengan peluang dan kepercayaan yang diberikan. Sesungguhnya bukan satu perkara yang dijangka. 

“Bagi saya ini adalah satu lagi kejayaan yang mencantikkan lagi perjalanan seni saya," ujarnya.

Mengulas mengenai pengalaman mengadakan konsert pertama kata Hafiz, banyak yang dipelajarinya sebagai artis muda yang belum pernah punya peluang sebegitu.

“Satu yang saya belajar, persembahan konsert tak macam kita buat persembahan di acara biasa. 

“Konsert memerlukan tenaga yang banyak. Saya mengaku berlaku kejadian apabila suara saya agak ‘tergelincir’ sedikit semasa menyanyi.

“Itu berlaku kerana saya agak penat sebab menjalani latihan nyanyian sebelumnya.

“Saya mohon maaf. Itu pengajaran buat saya. Selepas ini, Insya-Allah, kalau ada peluang mengadakan konsert lagi, saya akan lebih berhati-hati dan sampaikan yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini berkata, dia tidak menyangka sokongan padu yang diterima daripada peminat kerana measakan dirinya masih kerdil.

“Jujurnya, saya ingat tak ada orang nak datang ke konsert ini. Ternyata telahan saya meleset. Kerusi dewan semuanya penuh dan saya lihat ramai peminat saya tak kira usia semuanya hadir memberi sokongan.

“Ini menjadi penguat semangat untuk saya memberikan yang terbaik buat semua yang hadir," katanya.

Magis Hafiz

Sepanjang malam persembahan berlangsung, Hafiz berjaya memberikan persembahan bertaraf profesional.
Menyajikan 13 buah lagu tanpa henti, produk yang lahir daripada program realiti televisyen Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini mudah mencairkan hati peminat yang setia menunggu sedari awal.

Antara seleksi lagu yang menjadi ‘mainannya’ pada malam itu adalah, Noktah Cinta, Masih Jelas, Ku Akui dan Matahari.

Selain itu, Hafiz juga bijak mengambil hati peminat dengan menyampaikan medley klasik lagu Ilham Pujangga dan Pelangi Petang.

Bagi menampilkan kelainan, dia juga menyelitkan lagu Inggeris seperti When I Was Your Man nyanyian asal Bruno Mars, She Will Be Loved (Maroon 5) dan I Believe I Can Fly (R Kelly).

Lebih menarik, Hafiz juga turut menampilkan penyanyi Alyah dalam gandingan untuk sajian lagu popular Ombak Rindu dan Muara Hati.

Sebelum penonton pulang, Hafiz menghadiahkan lagu Bahagiamu Deritaku dan Awan Nano yang nyata memberikan kepuasan buat penyokongnya pada malam itu.


Friday, June 7, 2013

Hafiz pukau peminat di Dewan Filharmonik Petronas


‘Pemanasan’ berharga buat Hafiz

Oleh Georgie Joseph

Pencapaian penyanyi berusia 23 tahun ini cukup besar untuk dibanggakan meskipun baru beberapa tahun menapak dalam industri. Mana tidaknya, bintang kelahiran program realiti fenomena Akademi Fantasia musim ketujuh ini terus-menerus mencipta kejayaan.

Usah disenarai pendek pengiktirafan dibolot penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang ini, bakat luar biasa menyanyi dimilikinya sudah cukup meletakkan dia di kelas tersendiri.

Buktinya, setiap kali muncul dengan lagu baru, boleh dikatakan hampir semua lagu itu pastinya akan jadi siulan malah cemerlang di carta. Kuasa vokalnya memang tidak boleh disangkal lagi.

Hebat dan diakui menyanyikan genre balada, dia satu-satunya penyanyi yang dilihat bakal menjadi pengganti kepada penyanyi hebat terdahulu termasuklah Allahyarham Tan Sri Ramlee, Allahyarham Datuk Sudirman, Jamal Abdillah mahupun Anuar Zain.


Maka, tidak hairanlah Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz dipilih mengisi segmen Dewan Filharmonik Petronas (DFP ) Spotlight untuk musim 2012/2013 di pentas penuh berprestij itu kerana sememangnya dia layak.

Beraksi di pentas sedemikian, tambahan pula buat pertama kali semestinya bukan tugasan mudah lantaran demografik penonton hadir bukannya seperti konsert terbuka yang lain.

Turut merasakan ketegangan itu, Hafiz sendiri mengakui perasaannya berbaur sewaktu melunaskan konsert sulungnya malam Isnin lalu sehingga jelas terserlah dia gementar terutama di awal persembahan.

Malah ditemui selepas meluangkan masa untuk sesi autograf sebaik tamat konsertnya, menurutnya dia masih menggigil dalam keterujaan.

“Perasaan mengadakan konsert solo dengan membuat persembahan di acara besar yang lain memang sangat berbeza. Ketakutan itu nyata lebih terasa dan macam-macam terlintas di fikiran terutamanya penerimaan penonton.

“Saya akui, ada kekurangan pada persembahan kali ini kerana selain gementar, saya juga keletihan kerana sejak pagi menjalankan raptai penuh beberapa kali. Bagaimanapun, lega rasanya dapat memberikan yang terbaik pada malam ini dan sambutan penonton pun amat menggembirakan,” katanya.

Mungkin tidak sempurna, namun seperkara yang perlu dipuji mengenai Hafiz adalah dia tidak pernah mengecewakan penonton dengan alunan vokal merdunya.

Dimulakan dengan lagu Noktah Cinta, kemudian disusuli Masih Jelas dan Ku Akui, dia berjaya mendapatkan momentum sewaktu mendendangkan lagu ‘cover version’ When I Was Your Man nyanyian asal Bruno Mars yang ternyata begitu menusuk.

Hanya diiringi mainan piano pengarah muzik tersohor Aubrey Suwito , dia memukau dewan berkapasiti 900 penonton itu menyanyi sepenuh hati lagu balada kegilaan masa kini itu.

Tidak berseorangan, dia turut menampilkan penyanyi lagu Kisah Hati, Alyah untuk berduet dengannya menerusi dua lagu duet berhantu nyanyiannya, Ombak Rindu dan Muara Hati.

Dengan iringan band pemuzik yang dipilihnya sendiri, dia juga sempat memperdengarkan buat kali pertama lagu berjudul Matahari sebelum mendendangkan lagu I Believe I Can Fly dan Awan Nano.

Paling dinantikan, ternyata penonton bersorak gembira sewaktu dia menyanyikan single terbarunya Bahagiamu Deritaku dan kedengaran penonton bernyanyi sama untuk lagu terbabit. Antara lagu lain dinyanyikannya adalah She Will Be Loved (Maroon 5), Ilham Pujangga (Ismail Haron) dan Pelangi Petang (Sudirman).

Mengulas mengenai pemilihan lagunya malam itu, selain lagu hit miliknya sendiri, menurutnya lagu ‘cover version’ yang didendangkan dipilih kerana mempunyai kaitan serta makna tertentu buatnya.

“Seperti lagu She Will Be Loved itu sendiri, ia ada kenangan tersendiri sewaktu saya berada di bangku sekolah, manakala Ilham Pujangga pula saya mahu dedikasikan khas buat ibu tercinta dan I Believe I Can Fly memang lagu kegemaran saya.

“Dengan persiapan sebulan, tipu jika saya katakan tidak kecewa dengan kekurangan pada konsert kali ini kerana saya percaya boleh melakukan lebih baik lagi. Syukurlah, penonton memberikan reaksi yang amat memberangsangkan,” katanya.


Sumbang dua lagu dalam album baru

Amat berbesar hati dan tidak sangka akan diberikan peluang keemasan berkenaan seawal itu, Hafiz sebaliknya menyifatkan pengalaman terbabit banyak memberikannya pengajaran baru.

“Paling utama adalah bagaimana untuk mengatur keseluruhan konsert itu sendiri kerana persembahan itu khas buat peminat yang memang datang semata-mata untuk saya. Jadi saya perlu pastikan semua yang saya lakukan tidak menghampakan mereka.

“Tidak ketinggalan, penjagaan teknikal suara juga cukup penting untuk persembahan sebegini apatah lagi saya kena menyanyi secara berterusan. Terima kasih buat guru vokal saya Cikgu Syafi yang banyak membantu dalam hal ini,” katanya.

Selepas Yuna, Aizat dan Najwa Mahiaddin, Hafiz diberi kepercayaan mengisi slot DFP Spotlight yang bertujuan mengetengahkan penyanyi berpotensi serta menarik penonton baru untuk DFP.

Bercerita mengenai album terbaru pula, kali ini peminat bakal mendengar sentuhan Hafiz sendiri yang akan turut menyumbang dua lagu untuk album berjudul Hafiz itu.

“Album baru saya lebih kepada mini majalah album yang mana akan turut menampilkan lagu ciptaan saya sendiri berjudul Mungkinkah serta Deklamasiku. Berdebar juga, harapnya penerimaan lagu terbabit akan hebat seperti lagu sedia ada saya,” katanya.


Hafiz Jayakan Konsert, Buktikan Dia Bukan Artis Mi Segera


Teks oleh Kheme Rosly
Foto oleh Dewan Filharmonik Petronas

KUALA LUMPUR, 5 JUN 2013: Sebagai salah seorang daripada graduan yang dilahirkan daripada program realiti Akademi Fantasia, Hafiz Suip atau Hafiz, juara bagi siri ketujuh pertandingan nyanyian tersebut turut bersetuju dengan kemunculan semua Akademi Fantasia yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu.

Walaupun ramai yang menganggap artis kelahiran program realiti tidak berkualiti atau dilabel artis mee segera, namun Hafiz menyangkal persepsi tersebut dan menganggap Akademi Fantasia masih relevan untuk mencari bakat baru dalam dunia nyanyian.

Malah, Hafiz sendiri telah membuktikan apa yang dikatakan itu pada sidang media sejurus selepas penyanyi kelahiran Sarawak itu menghiburkan 900 hadirin yang memenuhi Dewan Filharmonik Petronas untuk konsert solo pertamanya di dewan berprestij tersebut.

"Industri muzik kita masih di kira kecil dan kekurangan penyanyi berbakat. Penganjuran program atau pertandingan seperti Akademi Fantasia boleh membuka jalan serta mencungkil bakat baru.

"Pada saya kemunculan semula Akademi Fantasia sangat relevan untuk memberi peluang kepada mereka yang berbakat tetapi tidak tahu bagaimana untuk bermula.Pasal jolokan artis mee segera yang diberikan terhadap peserta program realiti seperti saya, itu bergantung kepada cara artis itu sendiri mengatur langkah.
"Kalau saya artis "mee segera" seperti yang digelar, tetapi rasa- rasa sedap tak mee segera ini?"seloroh Hafiz sambil menyuarakan pendapatnya mengenai penganjuran semula Akademi Fantasia.

Sebagai artis kelahiran Akademi Fantasia, beraksinya Hafiz di atas pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) untuk konsert solo pertama telah meletakkan dirinya sebaris nama-nama besar yang pernah diberikan peluang yang sama sekaligus menepis persepsi mengenai artis kelahiran realiti yang tidak berkualiti.

Bercerita mengenai persembahannya di DFP yang mana telah mendapat khidmat pengarah muzik Aubrey Suwito dan Pat Ibrahim selaku pengarah konsert, Hafiz akui pengalaman sepanjang sebulan membuat persiapan hingga ke saat penutup konsert tersebut adalah sesuatu yang baru buatnya.

Dia turut menyatakan perasaan yang sedikit kecewa kerana tidak dapat membuat yang paling terbaik kerana kepenatan serta perasaan gemuruh. Tetapi kekecewaan itu pada Hafiz terbalas kerana mendapat sokongan daripada ahli keluarga dan peminat yang hadir menyaksikan konsertnya malam tadi.

Hafiz turut menampilkan Alyah bergandingan bersamanya untuk lagu duet Muara Hati dan Ombak Rindu dan kedua mereka baru pertama kali mendapat peluang berduet.

"Alhamdulillah semua berjalan lancar. Terima kasih kepada semua orang yang datang antaranya semua keluarga saya, peminat dan media. Diharapkan terhibur dan maafkan saya kalau ada kekurangan. Saya sangat merasa bertuah dapat peluang seperti ini, terima kasih kepada DFP juga.

"Malam ini saya kumpulkan lagu yang dekat dengan diri saya dan mempunyai cerita disebaliknya. Pasangan duet saya, Alyah pun saya berterima kasih pada dia sebab sudi berduet dan menjayakan lagu Muara Hati dan Ombak Rindu.

"Konsert ini memberikan saya pengalaman baru dari semua aspek. Syukur semua datang menyokong saya hingga sold out, saya rasa sangat bertuah,"ucap Hafiz yang tampil segak pada malam itu dalam dua persalinan oleh pereka Fairuz Ramdan.

Hafiz telah dipilih oleh DFP sendiri setelah melihat kejayaan anak muda itu dengan pencapaian menerusi kehebatan vokalnya itu. Untuk slot DFP Spotlight, iaitu slot khas diwujudkan untuk mereka yang berbakat besar, Hafiz telah menyampaikan keseluruhan 13 lagu terdiri daripada cover version dan lagu hitsnya.

Source : http://www.murai.com.my

Kemantapan Vokal Hafiz Teruji Di Pentas DFP!


Teks Oleh Kheme Rosly

Foto oleh DFP

KUALA LUMPUR, 4 JUN 2013: Sesiapa sahaja yang bergelar penyanyi pasti mengimpikan sebuah konsert atau persembahan berskala besar sebagai melengkapkan portfolio sebagai penghibur di dalam bidang seni suara. Buat Hafiz Suip atau Hafiz, dia sudah boleh berbangga dengan pencapaian terbaru mengadakan persembahan di DewanFilharmonik Petronas (DFP) semalam, Isnin.

Dalam senario industri muzik tempatan yang dilihat semakin tenat, Hafiz bagaimanapun ttetap gigih berusaha membina nama dengan kekuatan vokal yang telah terbukti dalam pelbagai penganugerahan. Artis yang dilahirkan daripada program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh itu dipilih sendiri oleh pihak DFP yang yakin dengan kredibiliti Hafiz dan layak untuk berdiri diatas pentas berprestij tersebut.

Slot DFP Spotlight yang dikendalikan oleh Hafiz juga pernah menampilkan Yuna, Aizat, Najwa Mahiaddin, Noryn Aziz dan ramai penyanyi baru sebagai langkah atau inisiatif daripada DFP untuk menarik audiens yang berbeza serta muka baru untuk datang ke situ.

Tepat jam 8.30 malam, dewan berkapasiti 900 penonton telah dipenuhi hadirin seawal jam 8 malam gamat dengan tepukan sebaik sahaja Hafiz tampil ke atas pentas. Memilih lagu Noktah Cinta sebagai lagu pembukaan menyaksikan Hafiz selesa dan meneruskan dengan lagu Masih Jelas sebelum menamatkan ia dengan sesi intro secara ringkas.

Lagu ketiga yang kini sedang hits, Ku Akui dinantikan ramai penonton tetapi mungkin kerana gemuruh atau masalah kesihatan, ada satu ketika vokal Hafiz seakan pecah. Namun itu tidak memberi apa-apa reaksi negatif dan ia dihabiskan oleh penyanyi kelahiran Sarawak itu dengan mendapat tepukan gemuruh.

Untuk segmen lagu Inggeris, Hafiz memilih She Will Be Loved dan diikuti lagu yang mempunyai makna tersendiri dalam hidup penyanyi ini, When I Was Your Man oleh Bruno Mars disampaikan dengan begitu baik sekali. Tidak melupakan lagu klasik Melayu, Ilham Pujangga berunsur nasihat disampaikannya diikuti Pelangi Petang oleh Allahyarham Sudirman menutup set pertama konsert pertama juara AF musim ke tujuh itu.

Tampil bersama pasangan duet yang dipilih Hafiz sendiri, Alyah muncul di pentas dengan imej terkininya lengkap berhijab. Bersama Alyah, Hafiz telah menyempurnakan lagu duetnya yang popular iaitu Muara Hati dan Ombak Rindu. Set kedua ini juga turut memperlihatkan Hafiz menukar persalinan sut yang lebih quirky menyerlahkan penampilannya di pentas.

Sebuah lagu baru daripada Hafiz yang sedang mula diputar di stesen radio, Matahari telah dinyanyikan secara live buat pertama kali pada malam konsert tersebut. Sebuah lagi cover version iaitu lagu popular daripada R. Kelly, I Believe I Can Fly dinyanyikan penyanyi ini dengan caranya yang tersendiri.

Hampir 70 minit persembahan tanpa henti, Bahagiamu Deritaku menjadi dendangan kedua terakhir sebelum pentas Dewan Filharmonik Petronas ditutup dengan dendangan Awan Nano bersama-sama penonton.

Pengarah muzik yang diberi tanggungjawab mengendalikan slot ini adalah Aubrey Suwito bersama beberapa pemuzik tetap di DFP telah membuai penonton yang hadir dan seperti tidak merasa waktu berlalu sebaik tamat persembahan sulung Hafiz tersebut.

Rata-rata hadirin berpuas hati dengan persembahan Hafiz di konsert pertamanya. Dengan harga tiket RM80 penonton juga berpeluang bertemu Hafiz dalam sesi bertemu peminat sebaik berakhirnya konsert itu di ruang legar DFP.



Related Posts with Thumbnails