Sunday, June 20, 2010

Hafiz Layak Digelar Pelakon Teater

by Ashraf Abd Manaf | 19 Jun 2010 [gua.com.my]



Jika di pentas nyanyian, nama Hafiz memang sudah cukup dikenali. Kemampuan serta kebolehannya menyanyi memang tidak boleh dipertikaikan. Apatah lagi sebelum ini dia pernah menjadi juara program realiti kegemaran ramai, Akademi Fantasia musim ke tujuh (AF7).

Namun di dalam bidang lakonan, kemampuannya masih belum teruji sepenuhnya. Walaupun pernah membintangi beberapa buah drama terbitan Astro, namun masih belum cukup untuk melabelkannya sebagai seorang pelakon yang bagus.

Berpeluang menyaksikan lakonan sulung Hafiz melalui teater 'Kita The Musical' (KTM) yang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur dua hari lalu, tidak dinafikan anak muda yang kian popular melalui lagu "Noktah Cinta" itu sememangnya berbakat besar di dalam bidang lakonan.

Jika terus digilap bakatnya itu, tidak mustahil dia bakal bergelar pelakon yang disegani pada masa akan datang.

Malah di pentas teater sekalipun, dia langsung tidak kelihatan canggung walaupun nama-nama besar dalam bidang teater seperti Datuk Jalaludin Hassan dan Sukania Venugopal turut membintangi teater tersebut.

"Saya akui bidang lakonan teater sangat berbeza dengan bidang nyanyian seperti yang saya ceburi sebelum ini. Namun ini satu pengalaman baru yang menyeronokkan bagi saya.

"Bolehlah dikatakan saya telah jatuh cinta dengan bidang teater. Paling seronok apabila penonton kelihatan menyukai lakonan saya dan memberikan banyak respon positif.

"Mula-mula memang terasa gentar dan berdebar sebab ini kali pertama saya berlakon teater, apatah lagi di pentas Istana Budaya kerana bukan semua orang berpeluang untuk melakukannya. Tetapi apabila melihat sambutan yang diberikan oleh penonton tidak mengecewakan, perasaan untuk memberikan yang terbaik lebih berkobar-kobar.

"Memang ramai nama-nama besar dalam bidang teater terlibat dalam teater ini dan ianya merupakan satu perkara yang baik. Mereka banyak memberikan tunjuk ajar dan bantuan kepada saya yang masih baru dalam bidang lakonan.

"Segala tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan oleh rakan-rakan pelakon serta pengarah, saya anggap sebagai pengalaman yang paling berguna sepanjang dua bulan sesi latihan teater ini diadakan.

"Jika selepas ini saya mendapat lagi peluang untuk membintangi teater muzikal seperti ini, saya tidak teragak-agak untuk menerimanya. Ini kerana kepuasan yang saya dapat, memang berbeza," jelasnya panjang lebar.

Nyanyian tetap jadi keutamaan
Ditanya tentang penerimaan para peminatnya, Hafiz yang kelihatan ceria menyatakan, kebanyakan peminatnya memberikan restu untuknya menceburi bidang lakonan.

Walau bagaimanapun bidang nyanyian tetap menjadi keutamaan. Apatah lagi bidang lakonan, khususnya teater, memerlukan komitmen yang tinggi daripada setiap pelakon yang terlibat kerana tiada sebarang kesilapan boleh dilakukan semasa pementasan.

"Saya lihat teater KTM ini sebagai sesuatu yang bagus kerana bukan sahaja dilakonkan oleh pelbagai bangsa yang ada di Malaysia, malah para penontonnya juga terdiri daripada pelbagai latar belakang rakyat Malaysia.

"Pada hari ini contohnya, masyarakat Melayu, Cina dan India beramai-ramai menyaksikan KTM dan saya rasa ianya sebagai satu petanda bahawa konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri diterima ramai.

"Inilah yang membuatkan saya gembira dan berharap teater sebegini akan terus dibuat pada masa yang akan datang. Saya yakin sambutan positif daripada peminat teater membuatkan lebih ramai penggiat teater yang akan tampil dengan konsep teater sebegini," katanya.

Ambil kelas Bahasa Inggeris
Ditanya mengenai sesi latihan selama dua bulan yang dikatakan agak pendek daripada sesi latihan yang sepatutnya, Hafiz mengakui akan hakikat tersebut.

Namun katanya, itu bukanlah satu masalah besar kerana pihak produksi mempunyai perancangan rapi bagi memastikan KTM berjalan lancar seperti yang dirancang.

Apapun ujarnya, cabaran terbesar yang dihadapinya adalah dia perlu berbahasa Inggeris dalam kebanyakan dialog serta lagu-lagu yang dinyanyikannya.

"Bahasa Inggeris saya sebenarnya biasa-biasa sahaja. Jadi, untuk memperbaiki sebutan bahasa Inggeris saya, saya banyak belajar daripada rakan-rakan yang turut membintangi teater ini.

"Selain itu, atas inisiatif sendiri saya memasuki kelas bahasa Inggeris kerana mahu belajar menyebut sesuatu perkataan itu dengan betul. Ini kerana saya sedar kelemahan diri saya dan mahu memperbaikinya.

"Apatah lagi saya lihat ada juga pelancong asing yang turut menyaksikan teater ini. Saya akui ada juga beberapa kesilapan kecil yang saya lakukan, namun memandangkan ini pementasan pertama, saya harap saya mampu memperbaikinya pada pementasan yang akan datang," ujar penyanyi lagu "Masih Jelas" ini teruja.

Mengenai tawaran lakonan yang diterimanya, katanya buat masa ini dia terpaksa menolak semua tawaran yang diberikan kerana mahu fokus dengan KTM. Namun sejurus selepas pementasan KTM berakhir, dia akan mempertimbangkan tawaran yang diberi. Mana-mana tawaran yang tidak bertindan dengan jadual nyanyiannya akan dipertimbangkan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails