KETIKA ini, perasaan yang dialami oleh anak muda kelahiran Kuching, Sarawak ini bercampur-baur - antara gembira dan berdebar.
Mana tidaknya, bermula tarikh 17 Jun ini, secara rasminya, dia akan memasuki satu fasa baru dalam hidupnya untuk membuktikan dirinya sebagai anak seni serba boleh apabila diberi peluang berlakon dalam pementasan Kita the Musical (KTM).
Sewaktu ditemui baru-baru ini, juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini dengan penuh rendah diri melahirkan rasa terharu dan bersyukur dengan rezeki yang berpihak kepadanya.
Bagi Hafiz, dia tidak mahu mensia-siakan bakat yang ada di dalam dirinya itu dengan mencuba cabang seni yang lain.
“Jujurnya, saya harus akui yang memang saya terkejut apabila mereka menghubungi saya dan mengatakan saya berjaya mendapat watak Rahman.
“Saya berani mencuba untuk menghadiri uji bakat selepas diyakinkan oleh beberapa pihak termasuk keluarga, rakan-rakan dan juga Datin Seri Tiara Jacquelina.
“Lagipun, sewaktu berada di dalam AF7 pun, saya pernah ditugaskan membuat persembahan teater muzikal dan daripada situ, minat saya mula mencambah untuk terus mendalaminya,” kata Hafiz yang menginjak usia 20 tahun pada 27 Februari lalu ini terus-terang.
KTM yang akan bermula pada 17 Jun ini akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya selama 10 hari berturut-turut.
Selain Hafiz, KTM turut menampilkan Eric Lin dan Michael Rao sebagai Cheong dan Ganesh serta Nas Adila yang memeran watak sebagai Ayu.
KTM juga dimantapkan lagi dengan pelakon teater berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Sukania Venugopal dan Lim Cheng Hock.
Menerusi teater yang diarahkan oleh Ho Ling Huay itu, Hafiz membawakan watak Rahman, seorang budak kampung yang bercita-cita mahu ke bandar untuk bergelar seorang penyanyi.
Namun, dia tidak keseorangan apabila dua rakannya, Cheong dan Ganesh juga memiliki aspirasi yang sama demi persahabatan yang terjalin antara mereka sejak kecil.
Bukan hanya kisah persahabatan, tetapi KTM yang mengangkat tema perpaduan dan keharmonian kaum itu turut memaparkan kisah cinta, kasih sayang dan kekeluargaan.
Bukan calang-calang produksi, KTM diterbitkan oleh Musical On Stage Production yang sebelum ini menerbitkan teater muzikal berkualiti tinggi iaitu Jewel of Tibet, Prince Siddharta the Musical, The Perfect Circle dan Above Full Moon.
Menyambung bicara, Hafiz memberitahu dia menjalani uji bakat sekitar April lalu dan tidak sampai seminggu, dia mendapat jawapan daripada pihak produksi yang mengatakan dia berjaya.
Tetapi, bagi Hafiz, , dia mengakui bukan mudah untuk membawakan watak Rahman.
Apatah lagi, perlu menyanyi menerusi 10 buah lagu dan perlu menghafal dialog yang sebahagian besarnya di dalam bahasa Inggeris sememangnya memberikan cabaran baru untuk Hafiz.
Sembilan lagu daripadanya adalah karya baru hasil ciptaan Imee Ooi manakala sebuah lagi merupakan lagu lama nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu Getaran Jiwa.
“Saya bertuah kerana sebahagian besar daripada pelakon dan krew produksi tidak lokek untuk menghulurkan bantuan di kala saya memerlukannya.
“Di sinilah letaknya semangat dan iltizam saya untuk melakukan sesuatu yang belum pernah saya lakukan dan saya sahut cabaran itu demi kebaikan diri saya juga.
“Alhamdulillah, dari sesi latihan sehinggalah ke hari pementasan ini, semuanya berjalan dengan lancar walaupun saya harus berkejar antara latihan dan pertunjukan persembahan,” ujar pelantun lagu Noktah Cinta dan Masih Jelas ini penuh jujur.
Selain menjalani sesi latihan bersama krew produksi, Hafiz turut diberi latihan intensif oleh syarikat pengurusannya, Enfiniti Vision Media Sdn. Bhd. untuk memantapkan lagi skil nyanyian dan pertuturan bahasa Inggerisnya.
Bagi mereka yang belum mendapatkan tiket menyaksikan KTM, masih belum terlewat untuk berbuat demikian kerana tiket-tiket berharga dari RM38 hingga RM288 masih lagi dijual.
Sebarang pertanyaan dan tempahan tiket, bolehlah melayari laman web www.axcess.com.my atau hubungi talian 03-7711 5000.
Tiket-tiket juga boleh dibeli dengan mengunjungi kaunter Box-Office Istana Budaya.
No comments:
Post a Comment