Saturday, June 19, 2010

'Kita The Musical' Berwajahkan Malaysia

sumber: www.gua.com.my




Jika ada anugerah untuk sebuah teater yang berjaya mengangkat konsep 1 Malaysia di dalam pementasannya, rasanya teater yang diarahkan oleh pengarah muda berbakat besar, Ho Lin Huay, 'Kita The Musical' (KTM) wajar menjadi penerimanya.

Berpeluang menyaksikan teater yang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur itu Rabu lalu, ternyata ianya sarat dengan elemen 1 Malaysia. Daripada barisan pelakon, jalan cerita serta bahasa yang digunakan semuanya 'berwajahkan' Malaysia.

Dilema serta mesej yang cuba diketengahkan di dalam KTM juga berkisar mengenai masalah perpaduan dan persefahaman kaum di Malaysia, yang hanya mampu diwujudkan berdasarkan sikap tolak ansur, kasih sayang dan saling menghormati antara satu sama lain.

Melihat kepada jalan cerita serta lakonan para pelakon yang terlibat di dalam pementasan tersebut, memang tiada cacat celanya. Namun terdapat beberapa babak di dalam teater tersebut yang agak 'perlahan' hingga membuatkan penonton resah terutamanya di awal pementasan.

Namun apabila masuk ke segmen kedua, selepas berhenti rehat selama 15 minit, KTM dilihat semakin menarik dan berjaya mengundang tepukan gemuruh daripada penonton yang terdiri daripada berbilang bangsa.

Paling menarik sudah tentulah gandingan tiga pelakon utama yang terdiri dariada Hafiz AF7, Eric Lin Jian Hui dan Michael Rao yang digambarkan sebagai sahabat baik walaupun berbeza bangsa, agama dan budaya.

Walaupun mereka bertiga masih muda, namun bakat lakonan, tarian serta nyanyian yang ditonjolkan sememangnya sangat menghiburkan. Jika bakat mereka terus digilap, tidak mustahil meteka mampu menjadi pelakon teater yang disegani pada masa yang akan datang.

Impak lakonan pelakon senior dalam bidang teater seperti Datuk Jalaludin Hassan, Lim Cheng Hock, Sukania Vernugopal dan Norsiah Mohd Yatim juga berjaya meninggalkan kesan positif terhadap teater tersebut.

Walaupun hanya memainkan peranan sebagai pelakon sampingan namun Sukania bijak menyembunyikan beberapa kelemahan kecil KTM sehingga mendapat tepukan serta sorakan puas hati daripada penonton.

Ternyata pengalaman serta bakat yang ada digunakan sepenuhnya oleh Sukania yang sebelum ini pernah membintangi teater hebat 'Puteri Gunung Ledang'.

Jalan cerita
KTM mengisahkan tentang tiga orang sahabat baik iaitu Rahman, Cheong dan Ganesh yang tinggal di Teluk Anson pada awal tahun 1970-an. Mereka bertiga masing-masing mempunyai cita-cita yang besar dan mahu berjaya di dalam hidup.

Namun di dalam proses memburu cita-cita, mereka berdepan dengan pelbagai masalah. Rahman kehilangan ayah tercinta yang meninggal pada malam sambutan kemerdekaan dan Ganesh mempunyai nenek yang sakit dan memerlukan sejumpah wang untuk menjalani pembedahan.

Manakala Cheong pula mempunyai seorang ayah yang tegas dan tidak pernah menganggap Malaysia sebagai negaranya sendiri walaupun sudah lebih 19 tahun menetap di sini. Dia masih teringat tentang kesusahan yang dialaminya sewaktu berhijrah ke Malaysia dari China.

Oleh sebab itu, ayah Cheong selalu menyuarakan hasrat untuk pulang ke China. Apatah lagi dia merindui ibu dan bapanya yang telah sekian lama ditinggalkannya.

Namun semua masalah itu berjaya di atasi apabila mereka bertiga menubuhkan kumpulan yang diberi nama sebagai 'Kita' dan menyertai sebuah pertandingan nyanyian bagi membantu nenek Ganesh yang memerlukan wang untuk rawatan pembedahan.

Hasilnya mereka berjaya memenangi pertandingan tersebut dan ternyata muzik berjaya menyatukan mereka semua. Malah segala masalah yang dihadapi oleh mereka berjaya diselesaikan dengan adanya sikap tolak ansur, tolong-menolong dan saling memahami antara satu sama lain.

No comments:

Related Posts with Thumbnails