Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN
RAHMAN, Cheong dan Amish, tiga rakan yang berlainan bangsa berkawan baik sejak kecil lagi.
Tiga watak ini yang merupakan tunjang utama Teater Muzikal Kita (TMK) berkawan rapat sehingga dewasa dan sering melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dan saling tolong-menolong.
Berlatarkan suasana sebuah kampung di Teluk Anson (kini dikenali sebagai Teluk Intan), Perak sekitar era 70-an, TMK memaparkan perjalanan hidup tiga sekawan ini sejak kecil sehingga dewasa serta melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan mereka.
Melihat lakonan tiga pelakon muda ini iaitu Hafiz AF7 sebagai Rahman, Eric Lin (Cheong) dan Michael Rao (Amish), pasti membuat sesetengah penonton mengimbas kembali persahabatan yang pernah dibina tidak mengira kaum terutamanya ketika alam persekolahan dahulu.
Walau berbeza agama dan bangsa, semangat setiakawan antara mereka begitu tinggi dan persahabatan mereka tulus, menolak segala perbezaan yang wujud antara mereka.
Mula dipentaskan 18 hingga 27 Jun ini di Istana Budaya (IB), mesej yang disampaikan oleh TMK amat mudah, perpaduan tidak mengira bangsa serta menampilkan semangat dan visi sebenar konsep 1Malaysia.
Pengarahnya, Ho Ling Huay berkata, TMKmenampilkan semangat dan visi sebenar konsep 1Malaysia iaitu semua bangsa di Malaysia hidup dalam suasana aman dan harmoni serta bersatu-padu.
"Konsep 1Malaysia sebenarnya telah lama ada dalam masyarakat kita, sejak dahulu.
Setahu saya persahabatan berbeza kaum lebih tulus.
"Sekarang mungkin sedikit berkurangan akibat peredaran masa dan kesibukan dengan pembangunan yang sekali gus memudarkan semangat persahabatan tidak mengira kaum ini.
"Sebab itu saya mengambil latar belakang masa sekitar tahun 1970-an kerana berdasarkan penceritaan orang lama zaman itu semua bersahabat baik dan tiada jurang antara mereka.
"Saya percaya TMKakan memberikan impak yang besar kepada penonton yang hadir nanti," ujarnya sewaktu ditemui di sesi latihan pementasan TMK di Istana Budaya baru-baru ini.
Menurut Ho, Teluk Intan di pilih sebagai latar tempat kerana negeri Perak sememangnya terkenal dengan negeri yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Menariknya lagi ujar Ho, konsep 1Malaysia ini bukan sahaja berlaku di dalam skrip dan di pentas sahaja, bhkan ia turut dirasa sehingga di belakang pentas.
Dia melahirkan rasa teruja mengarahkan teater ini kerana menurut Ho semua pelakon dan krew sangat bersemangat dengan produksi ini.
Pelakon-pelakon lain yang turut menjayakan teater ini ialah Nas Adila yang memegang watak sebagai Ayu, Amy Wang (Chun Moi), Datuk Jalaluddin Hassan (Pak Hasan), Lim Cheng Hock (Chin SR), Sukania Venugopal (Nenek Naini) serta didokong lebih 50 orang pelakon tambahan lain pelbagai bangsa.
Diterbitkan untuk pementasan selama 90 minit, TMKmenggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara di samping bahasa Melayu, Cina dan India mengikut kesesuaian setiap babak.
Mengulas tentang kebanyakan watak utama dalam teater ini yang masih hijau dalam bidang teater, Ho meluahkan rasa puas hati kerana baginya mereka semua mempunyai bakat yang masih boleh digilap dan mempunyai semangat yang tinggi.
TMK yang diterbitkan oleh Musical On Stage Productions. Mereka yang berminat untuk menonton boleh mendapatkan tiket-tiket berharga berharga RM38, RM88, RM108 dan RM288.
No comments:
Post a Comment