Thursday, November 18, 2010

Lebih 1,000 Hadiri Showcase KDA2 Di Alam Sentral


Foto oleh Mazlan Photography

SHAH ALAM, 16NOV 2010: Seperti yang dijangka, showcase drama bersiri Kau Dan Aku 2 (KDA2) yang diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Sabtu lalu telah mendapat sambutan yang paling gempak daripada peminat setia program terbitan Astro ini.

Apa tidaknya, lebih daripada 1,000 peminat telah membanjiri ruang legar di tengah-tengah Plaza Alam Sentral tersebut hanya semata-mata untuk bertemu dengan selebriti kesayangan mereka dan pada masa yang sama menonton persembahan yang bukan saja melibatkan pelakon KDA2 tetapi turut menampilkan selebriti dari program yang bersiaran di Astro Ria seperti program Akademi Fantasia (AF) dan Mari Menari (MM).

Apa yang pasti, acara pembukaan yang dimulakan oleh portal murai.com.my bersama radio Era FM pada jam 12 tengah hari turut mendapat sambutan yang cukup meriah apabila penyampai Riuh Pagi Era iaitu Ray dan Haniff telah berganding bahu bersama hos Aksi Murai serta editor murai.com.my iaitu Ajieb dengan memberikan pelbagai hadiah menarik menerusi beberapa aktiviti yang dikendalikan pada waktu itu.

Sebaik saja tamat segmen tersebut, acara yang dihoskan oleh Farish Aziz ini telah digamatkan lagi dengan persembahan dari bintang AF8 yang terdiri daripada Maulana, Anum, Iwan dan Ema. Pada sesi ini, penonton berpeluang bermain permainan balut tisu bersama keempat-empat bintang AF8 ini.

Selepas berehat selama sejam, pentas digegarkan pula dengan kedatagan 9 peserta MM yang menunjukkan sedikit intro persembahan mereka yang akan dipertonton secara langsung pada malam itu juga. Ia bertambah kecoh apabila segmen ini, hos MM iaitu Awal Ashaari dan Lisa Surihani sendiri yang mengendalikannya.

Seterusnya, penonton yang semakin sesak sehingga mencecah lebih 1,000 orang menjadi histeria apabila kesemua bintang KDA2 terutama sekali trio AF7 iaitu Hafiz, Aril dan Akim muncul di pentas. Persembahan mereka dimulakan dengan persembahan lagu tema baru KDA2 iaitu Kau Ku Temu. Menerusi lagu ini, 3 jejaka tampan ini menari dan menyanyi bersama heroin baru KDA2, Anith.

Selain mereka berempat, pelakon lain yang turut sama memeriahkan showcase pada petang itu adalah Amar, Ika Nabila, Tony Eusof, Sabrina Ali, Anita Baharom, Khaty Fauziah, Puteri Fateen dan Zulkifli Zain. Apa yang pasti, peminat yang setia dari pagi menunggu mendapat peluang bergambar dan menerima tandatangan ekslusif dari pelakon KDA2.

Selain itu, mereka juga diberikan poskad dan album eksklusif KDA2 yang menampilkan kesemua lagu-lagu baru nyanyian Akim, Aril, Hafiz dan Anith. Selesai saja slot KDA2, penonton dihiburkan pula dengan persembahan dari Mawi, Ain dan Maulana.

Bagaimanapun, banyak peminat kecewa kerana penantian untuk menyaksikan persembahan Shahir tidak kesampaian apabila tempat Shahir digantikan Maulana yang telah menyanyikan lagu Kebahagian Dalam Perpisahan. Sebelum segmen AF, peminat terlebih dulu berpeluang beramah mesra dengan pelakon-pelakon dari drama Ponti Anak Remaja.

Source : www.murai.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails