Thursday, November 25, 2010

Solo lawan berkumpulan

Oleh Farihad Shalla Mahmud
2010/11/25

AJL25 janjikan persaingan lebih sengit di kalangan generasi muda

EVOLUSI dalam aliran muzik nyata memberi impak cukup besar dalam senarai finalis Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL 25) apabila pertandingan akhir yang akan berlangsung pada Januari depan bakal menyaksikan persaingan sengit.

Sengit kerana ia membabitkan perlawanan antara antara penyanyi yang boleh mencipta lagu dan menulis seni kata dengan penyanyi yang hanya menyampaikan lagu daripada komposer lain.
Daripada 14 lagu yang mara ke pertandingan akhir seperti yang diumumkan pengacara Faizal Ismail dan Cheryl Samad sewaktu peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke 25 minggu ketiga malam kelmarin, sembilan daripadanya dihasilkan oleh finalis itu sendiri.

Aliran ini mula menguasai industri muzik apabila generasi muda masa kini lebih terdedah dengan perkembangan muzik "gerakan bawah tanah" sebelum mereka secara beransur-ansur menyertai muzik arus perdana.

Buktinya, kumpulan Hujan, Yuna, Meet Uncle Hussain, Bunkface, adalah antara yang terlebih dulu membina nama sebagai artis indie sebelum mereka berada di kemuncak dan sekali gus berdiri sebaris dengan penyanyi atau kumpulan muzik arus perdana yang lain.

Mereka ini lebih selesa mencipta lagu dan menulis seni kata kerana lebih memahami apa yang lebih menepati selera pendengar sekali gus untuk kepuasan diri sendiri. Tidak dinafikan, sejak kebelakangan ini, mereka yang dikurniakan kelebihan ini sering mendapat pengiktirafan dalam pelbagai majlis anugerah berskala mega.

Yuna antara penyanyi dan komposer yang menyerlah apabila meraih kemenangan besar dalam Anugerah Industri Muzik ke-17 pada Mei lalu.

Justeru dengan tercetusnya fenomena seperti ini, apakah ia akan menyempitkan peluang untuk penyanyi yang hanya menyanyikan lagu komposer lain untuk sama-sama merebut gelaran juara AJL 25? Ketika diajukan pertanyaan ini kepada finalis terbabit, mereka sepakat menyatakan kelebihan itu bukanlah satu ancaman buat mereka.

Bagi Shahir yang terpilih ke peringkat akhir menerusi lagu ciptaan Edry Abdul Halim berjudul Kebahagiaan Dalam Perpisahan berkata, walaupun memasuki AJL 25 bukan atas tiket komposer, namun ia tetap memberikan cabaran besar buatnya.

"Apapun keadaannya, pada saya ia tetap cabaran besar kerana kami memikul tanggungjawab untuk menyempurnakan amanah yang diberikan oleh komposer yang kami nyanyikan lagunya. Sebagai penyanyi, tugas kami harus menyampaikan lagu itu dengan baik,” katanya.

Turut bersetuju dengan pandangan itu ialah Hafiz yang tahun lalu berjaya menembusi tembok AJL menerusi lagu Masih Jelas. Baginya, tidak ada beza soal penghayatan antara penyanyi yang mencipta lagu sendiri atau sebaliknya.

"Kalau soal penghayatan yang dipersoalkan, saya rasa kami juga tidak ada masalah kerana sebelum merakamkan sesebuah lagu itu, kita terlebih dulu membuat kaji selidik mengenai jalan cerita lagu terbabit dan apakah bentuk penghayatan yang sesuai supaya pendengar mudah untuk memahami mesej yang hendak disampaikan oleh sesebuah lagu itu," katanya.


Walaupun tahun lalu AJL menampilkan ramai finalis yang mampu mencipta lagu sendiri namun gelaran juara tetap berpihak kepada penyanyi yang menyampaikan lagu komposer lain iaitu Aizat, yang mendendangkan lagu Pergi hasil ciptaan Pete Teo.

Reformasi yang berlaku terhadap AJL 25 bukan saja menampilkan lebih ramai penyanyi yang juga komposer tetapi turut menampilkan lebih banyak kumpulan muzik. Tahun ini terdapat lapan kumpulan muzik yang bukan saja berentap sesama sendiri tetapi juga bersama lima penyanyi solo lain.

Mengulas perkembangan ini, penerbit AJL 25, Ahmad Shaifullizam Arshad atau Gbam menyifatkan ia bagai satu kitaran semula AJL sewaktu era 90-an.

"Ini bukanlah perkara baru kerana pada era 90-an, AJL pernah dikuasai oleh kumpulan rock kapak. Saya teruja apabila banyak kumpulan muzik dalam AJL kali ini. Ia memberikan cabaran baru buat dari segi produksi itu sendiri. Mungkin kita menyaksikan kumpulan muzik ini beraksi 'back to back', satu perkara yang kita jarang lakukan," katanya yang turut menerbitkan AJL 24 tahun lalu.

Finalis 'siaran ulangan'?

MELIHAT kepada barisan finalis yang terpilih ke peringkat akhir, tidak dinafikan kebanyakannya adalah wajah yang sama menghiasi AJL 24. Apakah industri muzik begitu ketandusan bakat baru sehingga mereka yang ada ini terpaksa berjuang memerah idea dan keringat semata-mata untuk mengisi kekosongan ini.

Ke mana perginya bakat baru yang pelbagai program realiti sebelum ini? Apakah mereka ini tidak diberi ruang ataupun bintang yang dicipta itu sebenarnya kaca dan bukannya permata.

Mengulas lanjut perkara itu, Pengurus Besar, Pembangunan Kandungan & Industri, PrimeWorks Studios, Azhar Borhan yang juga Ketua Juri menjelaskan, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana selain menjadi pilihan peminat, lagu ciptaan mereka mempunyai kelainan dan tersendiri.

"Saya tidak mengatakan lagu yang tidak dapat masuk ke AJL 25 itu tidak layak, tetapi lagu mereka ini (yang berjaya) menepati cita rasa muzik masa kini. Lagu inilah yang mereka mahu dengar,"katanya.

Ditanya apakah AJL 25 sebenarnya dikhususkan untuk genarasi muda apabila kebanyakan lagu yang dipertandingkan hanya memfokuskan lagu yang bersesuaian dengan cita rasa golongan itu, Gbam tidak melihat perkara itu sedemikian.

"Saya tak anggap AJL 25 untuk golongan muda saja. Pada saya semua orang boleh menerima dan layan lagu yang bakal dipertandingkan tanpa mengira usia," ujarnya optimis.

Source : bharian.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails