Sunday, February 12, 2012

Biar macam Sudirman

Oleh RUDY IMRAN SHAMSUDIN
imran@hmetro.com.my



INSAN paling bangga dengan kejayaan diraih penyanyi muda semakin mencipta nama, Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz, sudah tentu ibu bapanya, Mohd Suip Mohd Suut (Suip), 50, dan Halizawati Mohd Salleh (Haliza), 47.
Ibarat pepatah, sejuk perut ibu mengandung, begitulah bangganya Suip dan Haliza apabila anak bujang mereka yang baru mencecah usia 22 tahun berjaya memahat namanya antara terbaik dalam industri muzik tempatan.


Lagu didendangkan, Awan Nano muncul juara di majlis Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 29 Januari lalu.

Bukan itu saja, bakat Hafiz yang mula dicungkil menerusi rancangan realiti TV popular, Akademi Fantasia turut diakui hebat oleh mereka yang berpengalaman dalam industri muzik, dan memenangi anugerah Vokal Terbaik untuk dua tahun berturut-turut di majlis sama menjadi bukti.


Begitupun sebagai bapa, Suip yang ditemui di majlis kesyukuran atas kejayaan diraih Hafiz di AJL26 yang berlangsung di Hotel Hilton Kuala Lumpur baru-baru ini, dia menjelaskan, kejayaan anaknya hari ini berkat sokongan orang keliling, terutama pihak pengurusannya, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) dan rakan media.



“Sebagai bapa, tiada apa yang saya minta selain kejayaan akan berterusan. Begitupun, saya selalu katakan kepadanya, selain usaha, segala yang diperoleh atas izin Allah. Jangan kejayaan diraih ini membuatkan dia lalai dan leka sampai lupa asal usul,” katanya.

Mengimbas malam itu, sebagai ibu dan bapa, mereka tidak meletak harapan tinggi Hafiz akan meraih kejayaan besar.

“Kami berada di stadium pada waktu itu. Namun kami tidak dapat mendengar Hafiz menyanyi dengan jelas kerana bergema dengan jeritan peminat. Cuma dalam hati saya yakin dia boleh menyanyikan lagu Awan Nano dengan baik.

“Untuk menyatakan anak saya akan menang, tidak sama sekali kerana saingan hebat. Hafiz masih baru dalam industri seni tempatan. Saingan datang daripada mereka yang jauh berpengalaman.

“Naluri kami sebagai ayah dan ibu tetap mendoakan yang terbaik untuknya. Ternyata Allah memberikan Hafiz berkongsi rezeki bersama Datuk M Nasir dan Budi Hekayat. Kami bersyukur atas kejayaan ini,” katanya.


Menangani anak mudanya yang berdepan dunia seni yang penuh dengan dugaan dan cabaran, kata Suib, dia selalu mengingatkannya akan tujuan asal dia menjadi penyanyi dan kejar cita-cita sehingga benar-benar berjaya.


“Hafiz anak yang patuh dan pandai berdikari. Perkara itu membuatkan kami tidak pernah rasa bimbang. Begitupun, saya dan ibunya selalu memastikan kami tahu apa yang berlaku. Sering juga kami ke Kuala Lumpur untuk melawatnya. Waktu sama, ahli keluarga lain menetap di sini turut memerhatikan Hafiz.


“Bila berjauhan, kami sentiasa menghubungi satu sama lain. Untuk mengawal hidup Hafiz sepenuhnya, tidak boleh juga kerana dia sudah dewasa. Kalau ada perkara tidak berkenan di hati, kami selalu ingatkan. Hendak dipukul, dia sudah besar,” katanya.


Mengenai gosip penyanyi daripada Kuching, Sarawak itu, sebagai ibu, Haliza sentiasa mengingatkan anaknya, kalau berkawan, biar berpada-pada.


Jangan terlalu mengikut kawan jika membawa kepada keburukan, sebaik-baiknya kawan ke arah kebaikan.


“Gosip dia bercinta dan putus cinta saya anggap perkara biasa. Anak muda pada usianya, sudah tentu berkawan. Saya sentiasa bersikap terbuka, terutama membabitkan soal teman wanita,” katanya.


Berdepan situasi itu, kata Haliza, sebelum Hafiz terjun ke dunia glamor lagi dia sudah bersedia dan pendedahan diterima sebelum ini banyak membantu.


“Saya sebelum ini sering membaca akhbar dan majalah. Sudah tahu dan masak gosip adalah mainan dunia artis. Sebagai orang dikenali, saya percaya Hafiz tidak boleh lari daripada semua ini. Saya percaya dia mampu menanganinya dengan baik,” katanya.


Dia lebih senang jika Hafiz berkawan dulu dan tidak terlalu memikirkan soal teman hidup, kerana anaknya masih muda dan banyak lagi perkara perlu dikejarkan.


Dia tidak mahu Hafiz keciciran mengejar apa yang sepatutnya. Apabila tiba masa, dia yakin anaknya bertemu jodoh sesuai.


Mengenai harapan mereka terhadap Hafiz dan kerjaya dipilih, kata Haliza, tiada apa yang diharapkan selain anaknya berjaya mencapai cita-citanya dengan menjadi penghibur disegani seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan Datuk Siti Nurhaliza.


Menerusi bakat dimiliki Hafiz, dia mengharapkan anaknya bukan saja berjaya untuk diri sendiri, tetapi menyumbang kepada industri muzik dan juga negara.

Source : www.hmetro.com.my


No comments:

Related Posts with Thumbnails