imran@hmetro.com.my
PENAMPILAN sangat ringkas Mohd Hafiz Mohd Suip ketika menyampaikan lagu Awan Nano pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Ahad lalu, menjadi bualan ramai.
Selain memberikan persembahan vokal mantap, kemunculannya di pentas AJL26 pada malam itu berjaya menarik perhatian ramai, apatah lagi ia sangat berbeza dengan penampilan penyanyi lain yang penuh glamor.
Pada malam penuh bersejarah itu, juara program realiti TV Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu hanya memakai kemeja-T, berseluar sukan dan berkaki ayam. Hafiz tidak perlu berbelanja besar untuk penampilannya, tetapi Awan Nano menang besar apabila diumumkan juara dan membolot RM35,000.
Kemunculan penyanyi 1980-an, Herman Tino yang dikatakan punya persamaan rambut dengan bintang kelahiran Kuching, Sarawak ini memberi tarikan kepada persembahan Hafiz hingga menang Vokal Terbaik dan membawa pulang hadiah RM10,000.
Sedutan klip video Herman menampar Hafiz ketika pembukaan persembahan turut memberi drama menarik kepada persembahannya.
Apa dilakukan Hafiz di pentas AJL26 yang disiarkan secara langsung di TV3 dan mencatat jumlah penonton 6.3 juta turut mengingatkan peminat kepada persembahan dilakukan Ning Baizura sewaktu bertanding menerusi lagu Awan Yang Terpilu kerana konsep sama.
Penyanyi bersuara soprano itu hanya berbaju kurung kain kapas dan berkain batik menyanyi di atas tikar jerami.
Hafiz yang ditemui sebaik diumumkan juara AJL26 berkata, dia tampil sedemikian kerana mahu menampilkan kelangsungan daripada klip video lagu Awan Nano yang dihasilkan sebelum ini.
“Ia ibarat penyudah kepada jalan cerita klip video dibuat. Disebabkan itu juga, saya menampilkan Herman dalam persembahan ini kerana seperti diketahui umum, dalam klip video terbabit dia menjadi bapa saya. Tidak sangka pula apa yang saya gayakan turut diperkatakan,” katanya.
Kata Hafiz, idea membawa konsep klip video di pentas AJL26 datang hasil perbincangan dengan pihak pengurusannya, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB).
Perkara sama turut dilakukan Hafiz tahun lalu dan turut memenangi Vokal Terbaik melalui lagu Noktah Cinta.
“Saya bersyukur kerana usaha selama ini membuahkan hasil. Usaha saya menjalani latihan vokal selama sebulan bagi memastikan persembahan ditampilkan di AJL26 benar-benar mantap tidak sia-sia.
“Walaupun pernah memenangi anugerah sama tahun lalu, ia tidak bermakna saya yakin memenanginya tahun ini. Lagipun kalau kita lihat calon lain, kebanyakannya jauh lebih hebat dan berpengalaman daripada saya.
“Begitupun, terima kasih kepada juri kerana memilih dan menghargai bakat saya,” katanya.
Waktu sama, jelas Hafiz, dia bertuah kerana pencipta lagu Awan Nano, Datuk M Nasir dan Herman banyak memberikan nasihat sebelum dia tampil di pentas.
Katanya, perkara itu sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa gemuruh dan tampil menyanyi dengan lebih yakin.
Selepas keluar AF, Hafiz yang kini popular dengan lagu tema Ombak Rindu duet dengan Adira masih belajar vokal dengan guru vokal, Syafizawati Sharif dan dua minggu sebelum AJL lebih giat berlatih vokal dan hampir setiap hari ke kelas vokal.
Tidak cukup dengan itu, Hafiz juga berlatih persembahan dan penghayatan dengan pengarah kreatif, Izwan.
Source : www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment