Anugerah Juara Lagu (AJL 26) telah melabuhkan tirainya tanpa mencalar episod kontroversi yang begitu sinonim dengan penganjurannya. Menepati ramalan ramai, lagu Awan Nano telah diangkat sebagai juara edisi ke-26. Bersaing dengan barisan lagu-lagu yang berkualiti dan popular sepanjang tahun lepas, lagu ciptaan tersebut dilihat memang layak bergelar juara dan memenuhi semua kriteria sebagai pakej lagu terbaik. Selain pernah menjadi Lagu Terbaik (Keseluruhan) dan Lagu Terbaik Malaysia dalam Anugerah Planet Muzik tahun 2011, karya hebat ciptaan komposer tersohor, Datuk M.Nasir dan lirik oleh Budi Hekayat telah diperkuatkan dengan kemantapan dan kemerduan suara Hafiz yang juga muncul sebagai pemenang bagi kategori Vokal Terbaik…
Menyaingi rapat sudah tentunya lagu yang menjadi siulan ramai, Beribu Sesalan di tempat kedua hasil ciptaan Kevin Chin dan Tinta yang dialunkan dengan impak yang begitu tinggi oleh 3 Suara – Jac, Ning Baizura dan Shila Amzah. Lagu balada yang mempunyai komposisi muzik yang melankolik ini dipersembahkan oleh trio tersebut dengan begitu cemerlang.
Manakala tempat ketiga dimenangi oleh lagu Karma yang dibawakan dengan begitu bertenaga oleh Faizal Tahir. Lagu tersebut hasil ciptaan bersama Audi Mok dan Faizal Tahir. Seperti diduga Faizal Tahir akan tampil dengan gimmick yang berbeza, kali ini persembahannya diiringi oleh semarak api yang membara.
Bagi kategori Persembahan Terbaik diungguli oleh Alyah menerusi lagu Kisah Hati yang dipersembahkan dengan begitu dramatik dengan mengetengahkan konsep ‘babydoll’ dan diakhiri dengan kemunculan khas aktor, Remy Ishak cukup menggamatkan Stadium Bukit Jalil semalam. Keunikan persembahan Alyah dalam AJL 26 boleh dianggap sebagai persembahan yang pasti menjadi ingatan dalam sejarah penganjuran AJL.
Di samping anugerah utama, pihak penganjur turut mengumumkan Anugerah Juara Mobile bagi lagu yang paling banyak dimuat turun yang telah dimenangi oleh lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim.
Sementara itu, persembahan pembukaan telah AJL 26 dijayakan oleh gandingan 3 ikon penghibur negara iaitu Raja Pop – Jamal Abdillah (Senandung Semalam), Raja Rock – Awie (Bujang Senang) dan Ratu Jazz – Datuk Sheila Majid (Warna) cukup untuk memanaskan suasana pertandingan. Manakala bagi segmen interlude menampilkan konsep persembahan Tribute to Sudirman Hj Arshad menerusi rangkaian lagu Basikal Tua, Balik Kampung, Chow Kit Road dan Salam Terakhir yang membangkit nostalgia.
Dalam pada itu, AJL 26 yang mengangkat elemen air sebagai temanya mencipta kelainan dan menjadi pemangkin kreativiti artis yang bertanding. Majlis yang telah diacarakan oleh gandingan pengacara Faizal Ismail dan Cheryl Samad itu turut diadili oleh barisan juri profesional yang diketuai oleh Azmeer. Diharap AJL akan terus menjadi pencetus kepada penghasilan karya yang berkualiti dan bermutu tinggi di kalangan karyawan seni tempatan khususnya generasi muda yang berinspirasi dalam bidang muzik pada masa akan datang.
Tahniah kepada semua pemenang, sehingga berjumpa lagi di edisi ke-27 tahun hadapan.
PapaRASI membawakan lagu Awan Nano oleh Hafiz yang muncul Juara dan Vokal Terbaik dalam AJL 26.
No comments:
Post a Comment