Friday, January 8, 2010

Debaran empat sang juara

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar HARUN OSMAN



SESI fotografi yang menggabungkan empat juara dari tiga program realiti berbeza ini berjalan dengan lancar sekali.

Apa yang menariknya, inilah kali pertama Stacy (juara Akademi Fantasia 6), Hafiz (juara Akademi Fantasia 7), Tomok (juara One In A Million 3) dan Black (juara Mentor 3) disatukan sementelah mereka juga merupakan artis yang bakal berentap untuk merebut kejuaraan pada Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) pada 10 Januari ini.
Suasana yang pada mulanya sedikit lesu secara tiba-tiba bertukar menjadi ceria dengan keletah mereka yang saling usik-mengusik antara satu sama lain.

Malah, mereka juga tidak lokek untuk berkongsi pendapat masing-masing tentang penglibatan mereka untuk AJL24 yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil nanti.

Apa yang lebih mengujakan bagi keempat-empat anak muda ini apabila dapat menggayakan koleksi terbaru Levi's iaitu Levi's Modern Vintage Collection yang baru sahaja dipasarkan.

Kerana itu juga, mereka ternyata lebih bersemangat untuk memberikan gaya yang menarik apabila kamera mula dibidik oleh jurukamera.
Pada masa yang sama, Hits berkongsi perasaan dan persiapan Stacy, Hafiz, Tomok dan Black dalam menghadapi AJL24 acara anugerah yang cukup berprestij terbitan TV3 itu.



Emosi Hafiz tercabar

LAGU Masih Jelas memang benar-benar membawa tuah buat Hafiz kerana lagu berhantu itu telah melonjakkan lagi popularitinya selepas bergelar juara AF7.

Kolaborasi komposer dan penulis lirik, Aidit Alfian serta Ad Samad untuk lagu indah itu juga melayakkan Hafiz mara ke peringkat AJL buat pertama kalinya.

Mengakui sudah bersedia 70 peratus, apa yang tinggal untuk Hafiz kini adalah untuk memperkemaskan lagi koreografi yang akan dipersembahkan malam itu nanti.

Biarpun merupakan sebuah lagu balada, tetapi Hafiz memberitahu, konsep persembahannya nanti umpama sebuah penceritaan yang dipersembahkan setiap rangkap lagu.

Apatah lagi, koreografer terkenal, Pat Ibrahim diberi tanggungjawab untuk mencorakkan konsep persembahan Hafiz menerusi lagu Masih Jelas.

"Saya benar-benar teruja dan tidak sabar untuk beraksi di AJL kerana saya mahu mempamerkan sebuah persembahan yang mampu diingati oleh peminat setia saya.

"Selain menumpukan aspek vokal, saya mahu memastikan persembahan saya pada malam itu nanti akan meninggalkan kenangan manis buat audiens," ujar empunya nama penuh Mohd. Hafiz Mohd. Suip ini bersungguh.

Giat menjalani latihan vokal dan tarian secara intensif setiap hari, artis naungan Enfiniti Productions ini lebih bimbang jika penyampaiannya pada malam itu nanti tidak sampai kepada penonton.

Apatah lagi, lagu Masih Jelas juga bagi Hafiz bukanlah sebuah karya yang mudah untuk dinyanyikan kerana julat (range) nada kuncinya yang bermula dari rendah bertukar kepada tinggi.

Sambil menyifatkan lagu Masih Jelas sebagai sebuah karya yang sarat dengan emosi, pemuda berusia 19 tahun ini cuba sedaya-upaya memberikan penghayatan yang maksimum untuk persembahannya.

"Jadi, saya harus fikirkan kisah cinta lama saya untuk menjadikan penyampaian saya lebih bermakna nanti," ujarnya sambil ketawa kecil sambil menamakan Faizal Tahir dan Misha Omar sebagai pesaing yang cukup hebat.

No comments:

Related Posts with Thumbnails