Wednesday, January 6, 2010

myMetro 6-1-10 : Sembilan lagu terhangat dalam satu album

Sembilan lagu terhangat dalam satu album
Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

SEKIRANYA mutu pelakon terletak pada keberkesanan lakonannya, kekuatan penyanyi pula tertumpu pada pemilihan lagu sesuai untuk dinyanyikan mereka.

Disebabkan itulah, sesetengah penyanyi amat mementingkan pemilihan lagu agar bersesuaian dengan kapasiti vokal mereka kerana kalau tersilap pilih, akhirnya boleh memberi kesan terutama buat pendatang baru. Justeru, satu perkara membanggakan apabila diberitahu single nyanyian lapan artis di bawah naungan Astro Entertaiment Sdn Bhd (AESB) iaitu Mawi, Mila, Stacy, Hafiz, Aril, Akim, Yazid dan Isma meraih perhatian pendengar stesen radio tempatan. Malah, kerana kekuatan lagu nyanyian mereka itulah akhirnya berjaya menduduki carta tertinggi Era sepanjang 2009 dan bertahan lama walaupun pelbagai lagu baru datang bersilih ganti.

Ini terbukti apabila lagu Masih Jelas, nyanyian Hafiz berada dalam senarai carta radio Era selama 29 minggu, diikuti 'Bengang' (Akim) juga 29 minggu berturut-turut. Manakala lagu nyanyian Stacy, Pakai Buang berada selama 16 minggu berturut-turut diikuti Sujud nyanyian Mawi yang juga tampil hebat apabila berjaya bertahan selama lebih 14 minggu di carta. Juara Akademi Fantasia (AF) musim kelima, Mila tidak kurang hebatnya apabila lagu Jika Kau Ubah Fikiran berjaya menduduki carta radio Era selama 10 minggu berturut-turut sementara kolaborasi duet antara Stacy dan Adam ternyata menjadi apabila Menggegar Dunia berada selama tujuh minggu berturut-turut. Menatap Matamu pula dendangan Aril turut mendapat sambutan hangat pendengar Era. Sementara itu, Berbicara nyanyian Isma dan Sugul (Yazid) mula mendapat perhatian serta tidak mustahil akan turut menjejaki tangga carta.

Berdasarkan pada kejayaan dan permintaan tinggi daripada pendengar terhadap lagu berkenaan, AESB tampil dengan album kompilasi berjudul 'ERA Muzik Hits Terkini, yang memuatkan sembilan lagu terhangat itu. Malah, sebagai bonus, turut diselitkan lagu nyanyian Anita Sarawak berjudul Maafkan, khas untuk peminat.

Hafiz, 19, yang ditemui selepas majlis pelancaran album di Laundry Bar, The Curve, Damansara, baru-baru ini, berkata dia tidak pernah menyangka lagu Masih Jelas memberi rezeki tidak terhingga kepadanya sebagai seorang penyanyi baru. "Saya bersyukur kerana lagu Masih Jelas bukan saja tersenarai dalam carta radio Era dan bertahan selama beberapa minggu berturut-turut, malah ia mara ke pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu ke 24 (AJL24). Jujur, saya tidak pernah sangka dan amat terkejut dengan kekuatan lagu ini. "Lagipun, orang kata sukar pendatang baru meraih perhatian peminat jika tidak disertai lagu kuat dan saya amat berterima kasih kepada abang Aidit Alfian dan Ad Samad kerana memberikan lagu itu kepada saya. "Bagi saya, lagu Masih Jelas sememangnya 'berhantu' kerana berupaya menarik perhatian pendengar. Kalau dikatakan kemenangan sebagai juara AF membantu lagu Masih Jelas meningkat naik, saya rasa tidak. "Kekuatan lagu Masih Jelas terletak pada lirik dan penghayatan emosi terhadap melodi disampaikan. Tanpa lirik dan melodi yang kuat, saya tidak rasa lagu ini mampu memberi kejayaan sebegini," katanya yang akan cuba menggubah dan menulis lirik pada single barunya nanti.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Penolong Pengurus Program Era, Rizal Sahimy, Naib Pengerusi Pemasaran Pengisian (Content Marketing), Aditya Thakur dan lapan artis yang terbabit dalam album kompilasi itu.

Mengakui pada awalnya kurang selesa mendendangkan lagu Menatap Matamu, kini Aril, 24, boleh berbangga apabila lagu itu pernah mengungguli juara cara Era selama tiga minggu berturut-turut. "Saya akui awalnya kurang selesa tapi tidaklah sampai tahap jijik, tetapi jujurnya genre lagu itu memang lari daripada identiti Aril kerana saya lebih suka konsep 'urban rock'.

"Bagaimanapun, itu tidak bermaksud saya memperlekehkan karya orang, malah bersyukur dan amat berterima kasih kerana memberikan lagu itu kepada saya. Saya tahu ada yang mengeji apabila saya menyanyikan lagu itu, tetapi berbangga apabila mengetahui Menatap Matamu mendapat sambutan hangat di laman sesawang Youtube, apabila dilayari lebih 300,000 orang.

"Memang terkejut dan saya tahu lagu ini didengar semua golongan kerana melodinya yang 'easy listening' dan sesiapa saja mudah menyanyikannya. Malah, ada wartawan memberitahu saya nampak comel apabila menyanyikan lagu ini. Kata mereka, dengan karakter Aril yang macam ini, menampakkan sesuatu kelainan pada diri saya apabila menyanyikan lagu Menatap Matamu," katanya.

Bagi Stacy, 19, pula, pernah terfikir sama ada lagu Pakai Buang boleh diminati ramai atau tidak kerana ada mengandungi bahasa Sabah dalam lirik berkenaan. Malah, awalnya dia berasa kelakar apabila pertama kali terdengar judulnya, Pakai Buang.

"Gembira sangat apabila lagu ini bertahan lama dalam carta dan mara ke pertandingan akhir AJL24. Bagi saya kekuatan lagu ini terletak pada judul yang unik dan melodinya yang sangat menarik. Jujur daripada saya, antara semua single, lagu Pakai Buang yang paling disukai. Bukan single lain tidak bagus, tetapi Pakai Buang paling memenuhi cita rasa saya," katanya. Sementara itu, Isma, 31, bersyukur dengan kelahiran album 'ERA Muzik Hits Terkini' kerana secara tidak langsung membuktikan yang karier seninya tidak terhenti sekerat jalan selepas keluar dari AF7.

"Alhamdulillah, selepas habis Sehati Berdansa, keluar pula album kompilasi. Biarpun bukan album penuh saya, sedikit sebanyak ada sesuatu untuk saya berikan kepada peminat. "Saya yakin lagu Berbicara akan mendapat tempat di carta radio tempatan kerana ia lahir atas permintaan peminat. Sebelum ini, single pertama saya, Bisikan Godaan, agak rancak. Peminat tanya bila saya akan keluarkan single lagu berbentuk balada dan kerana itu lahirlah Berbicara. "Memang menjadi impian setiap penyanyi untuk memiliki album sendiri. Jadi, dengan adanya album kompilasi ini saya bersyukur kerana itu satu permulaan sebelum album penuh," katanya.

Album ini sudah berada di pasaran sejak 28 Disember lalu dan hanya berharga RM21.90. Malah, peminat juga diberikan tujuh klip muzik video secara percuma. Selain itu, peminat juga berpeluang memuat turun nada dering lagu kompilasi di lama web Maxis, Digi dan Celcom.

No comments:

Related Posts with Thumbnails