Saturday, January 16, 2010
Hafiz @ Kosmo Online, 16th Jan 2010
Saya tidak menangis - Hafiz
Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my
WALAUPUN hampir seminggu sudah Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL 24) melabuhkan tirainya, namun masih ada cerita yang tersembunyi di sebalik majlis berprestij itu.
Khabar yang sampai kepada Kosmo! dengarnya pelantun suara lagu Masih Jelas, Hafiz atau Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 20, menangis di Stadium Putra Bukit Jalil Ahad lepas.
Tetapi jangan silap Hafiz menitiskan air mata bukan disebabkan dia gagal meraih sebarang kemenangan dalam AJL 24 sebaliknya sebelum majlis itu berlangsung dia dikhabarkan tidak dibenarkan masuk ke dalam stadium.
Benar atau tidak hanya Hafiz sahaja yang tahu kerana cerita ini pun datangnya daripada sumber boleh dipercayai kerana berada di tempat kejadian.
Selain kisah Hafiz menangis, sepanjang tahun 2009 Hafiz yang telah muncul dengan single keduanya berjudul Noktah Cinta juga tidak dapat lari daripada gosip panas yang membabitkan dirinya. Antaranya dia dikatakan mempunyai masalah disiplin kerana sering datang lewat pada majlis yang melibatkan dirinya.
Lebih parah lagi, Hafiz juga dirujuk sebagai artis lelaki muda yang gemar bersosial dan mengambil minuman beralkohol tanpa segan silu. Mendengar semua perkhabaran itu Hafiz ternyata terkejut besar tetapi dia tidak pula menidakkan sesetengah khabar angin tersebut.
Untuk mengetahui kesahihan khabar angin tersebut ikuti temu bual Kosmo! bersamanya baru-baru ini.
Kosmo!: Bagaimana perasaan bila selesai membuat persembahan di AJL 24?
HAFIZ: Lega, walaupun tidak menang saya bersyukur kerana nama tercalon sehingga ke final. Ini satu pengalaman yang baru kerana yang bersaing semua hebat-hebat belaka.
Ada khabar angin yang mengatakan Hafiz menangis di luar stadium kerana tidak dibenarkan masuk betul ke?
Mana ada saya menangis. Memang benar ketika itu saya dilarang masuk ke dalam stadium kerana pas saya hilang. Seingat saya dalam pukul 6.30 petang dan ketika itu saya sudah terlewat untuk membuat latihan terakhir. Saya faham tugas pengawal keselamatan tetapi selepas 15 minit akhirnya saya dibenarkan masuk. Memang kelakarlah orang yang kata saya menangis hanya kerana hal itu.
Kalau begitu, bagaimana hal menangis itu boleh timbul?
Entahlah saya pun tidak tahu. Memanglah saya risau kerana sudah terlewat untuk sesi latihan terakhir tetapi saya memang tidak akan menangis kerana saya bukannya budak-budak lagi.
Maknanya Hafiz selalu terlewat ke mana-mana majlis?
Tidaklah selalu lewat. Kalau terlewat lima minit itu adalah tidaklah sampai sejam atau dua jam.
Tetapi nama Hafiz sering dilabel sebagai artis baru yang mempunyai masalah disiplin iaitu sering lewat. Komen?
Buat masa ini saya tidak ada masalah disiplin seperti yang dikatakan. Setakat hari ini tidak ada lagi orang maki hamun saya kerana lewat. Saya mengaku pernah lewat kerana kesesakan lalu lintas tetapi rasanya pihak Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) tidak pernah memarahi saya kerana masalah disiplin.
Mungkin masalah disiplin timbul disebabkan Hafiz sering dilihat berseorangan dalam mana-mana majlis dan tidak bijak membawa diri?
Sebenarnya mulai tahun 2009 AESB telah mempraktikkan artis mereka bergerak sendiri. Cuma yang untuk majlis besar seperti promosi dan jadual saya masih diuruskan mereka. Jika mahu ke mana-mana majlis dan lokasi saya bergerak sendiri. Saya rasa itu bagus supaya saya lebih berdikari. Mungkin sebab itu orang nampak saya nampak macam seorang diri sahaja tetapi kadangkala ada juga pengurus daripada AESB yang akan ikut.
Gosip paling panas mendakwa kononnya Hafiz suka bersosial dan minum minuman beralkohol. Benarkah begitu?
Siapa yang bawa mulut macam tu! Saya dididik oleh mak bapa dengan baik tentang agama. Saya tidak pernah buat benda yang salah dari sisi agama.
Biasalah orang selalunya tidak senang bila tengok kita senang. Orang akan mengata macam-macam untuk jatuhkan kita. Mulut orang mana boleh tutup. Saya mengaku saya juga macam remaja yang lain ada pergi bersosial tetapi tidaklah sampai minum alkohol. Saya masih tahu apa yang halal dan haram.
Maknanya Hafiz selalu pergi ke kelab-kelab untuk bersosial?
Bersosial saya, hanya di kedai mamak (ketawa). Kalau pergi kelab kerana ada persembahan dan urusan kerja. Saya sedar dugaan menjadi artis dalam usia muda ini sangat besar sebab itu saya selalu ingatkan diri kenapa saya datang ke Kuala Lumpur.
Saya bukannya datang Kuala Lumpur untuk bersuka-ria sebaliknya bekerja dan meluaskan lagi bakat seni yang ada dalam diri. Sebagai artis saya sedar banyak mata memandang, telinga mendengar dan mulut yang bercakap, saya harus jaga reputasi. saya tidak akan lakukan perkara yang buang masa dan merosakkan masa depan sendiri.
Source : Kosmo Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Dato' CT pon tak dibagi masuk parking vip sbb kete tadak sticker vip.. apadehal..
Post a Comment