Wednesday, January 6, 2010

ERA FM Satukan Bintang Popular AF



Teks oleh Syafiqah Jalal & Razif Rosdi

KUALA LUMPUR, 6 JANUARI 2009: Kerancakan dunia hiburan tanah air dengan kemaraan bintang-bintang Akademi Fantasia (AF) berterusan lagi.

Bertempat di Laundry Bar, The Curves, Mutiara Damansara, Astro Entertainment Sdn Bhd(AESB) dengan kerjasama ERA FM telah melancarkan album ERA Muzik Hits Terkini yang membariskan lagu-lagu popular dendangan bintang AF seperti Stacy, Mawi, Hafiz, Mila, Aril, Yazid, Isma dan Akim.

Album tersebut mengandungi kompilasi 10 lagu terhangat yang pernah menjadi juara Carta ERA. Ia turut menampilkan single terbaru dari Yazid berjudul Sugul dan single baru dari Isma bertajuk Berbicara hasil nukilan suaminya, Zul 2 By 2.

Tambah istimewa, album ini turut memuatkan suara Kak Nita. Album yang sudah pun berada di pasaran dan turut mengandungi video muzik daripada Akim, Hafiz, Mawi, Mila, Aril dan Stacy.

Berucap pada pelancaran album itu, Rizal Sahimy yang mewakili ERA FM, berkata penerbitan album ini didedikasikan khas buat penyokong bintang-bintang AF dengan memiliki lagu-lagu terbaik serta pernah menjuarai carta ERA sepanjang 2009.

"Selain album ini, ERA juga akan menghangatkan tahun 2010 dengan pelbagai program menarik. Melalui segmen Riuh Pagi Era, kami telah membuat siaran luar ERA di sekolah terpilih sekitar lembah Klang. Era juga telah menukarkan Burn yang sebelum ini bersama Adi di slot petang ke pagi dan memperkenalkan D Almanshoor yang mengelolakan segmen 1-4 petang," jelas Rizal.

Apa yang nyata, album ini turut memuatkan 3 lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu 24 (AJL24) iaitu Pakai Buang (Stacy), Masih Jelas (Hafiz) dan Bengang (Akim).

Album ini telah mula berada di pasaran sejak 28 Disember 2009 dengan harga RM21.90 sahaja. Ia diedarkan oleh Warner Music Malaysia. Para peminat juga berpeluang memuat turunkan nada dering lagu-lagu kompilasi ini di laman web Maxis, Digi atau Celcom.

No comments:

Related Posts with Thumbnails