Thursday, January 14, 2010

Suka duka 3 penyanyi

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

BAKAT program realiti mencari bakat penyanyi sering mendapat perhatian dan meraih populariti dalam tempoh singkat. Ketika program masih berlangsung, mereka sudah mempunyai peminat.

Buktinya, tiga penyanyi yang mencipta nama menerusi program Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) iaitu juara, Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz), kedua, Khairil Azam Pilus (Aril) dan ketiga, Afiq Akim Ahmad (Akim), cukup bertuah apabila mendapat kepercayaan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) untuk mengembangkan karier seni.

Hafiz mencatat pencapaian menerusi kemunculan album solo, Masih Jelas yang berada di pasaran pada 14 Julai tahun lalu, berpeluang menjadi pelakon suara untuk filem popular kegemaran kanak-kanak, Ben 10 Alien Swarm yang ditayangkan menerusi Astro saluran Cartoon Network (saluran 616) pada 28 November lalu. Pada Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) yang baru berlalu, Hafiz bersama Akim turut berjuang bersama penyanyi senior menerusi Masih Jelas dan Bengang. Begitu juga Aril menceburi bidang lakonan bersama Akim menerusi drama bersiri, Kau & Aku yang turut dibintangi juara AF5, Mila sebagai pelakon utama.

Meneruskan perjuangan seni, mereka bertiga kini diberi tanggungjawab baru menjayakan program realiti TV baru, Roket! Destinasi: Bintang yang akan bersiaran tujuh episod bermula 22 Januari ini.

Program terbitan Ten On Ten Pictures, anak syarikat Enfiniti Productions Sdn Bhd dengan kerjasama Astro ini, menampilkan perjalanan tiga penyanyi ini sebelum mencapai populariti bergelar artis. Memberi tarikan, kemuncak program ini menyaksikan mereka mengadakan persembahan bertaraf konsert di Borneo Rainforest @ Sunway, pada 31 Januari ini, jam 8.30 malam.
Pengarah Urusan Enfiniti Productions Sdn Bhd, Datin Seri Tiara Jacquelina menyatakan, program ini turut memaparkan di sebalik tabir mengenai cabaran yang dilalui tiga peserta dalam membuat persiapan sebelum persembahan besar ini diadakan.

"elbagai cabaran meliputi latihan, perancangan dan persediaan yang dilakukan mereka untuk persembahan ini. Semuanya dikongsi bersama penonton. Menerusi program ini, mereka belajar memperbaiki mutu vokal dan aspek lain yang diperlukan untuk memberi persembahan menarik.

"Turut berkongsi pengalaman, Stephen Rahman-Hughes bersama koreografer, Pat Ibrahim dan penyanyi, Juliza Adzlizan membuat kemunculan istimewa dalam program ini sebagai tenaga pengajar. Mereka akan memberi tunjuk ajar dari aspek praktikal mengenai persediaan yang diperlukan dalam menjayakan persembahan dengan lancar.

"Apa yang dipelajari tiga penyanyi ini tetap mempunyai kelainan daripada pendedahan menerusi AF7 sendiri. Kali ini, fokus mereka adalah konsert lalu mereka perlu berlatih bersungguh-sungguh," katanya.

Kata Tiara, tiga penyanyi ini diberi peluang berbincang bersama kru produksi yang terbabit dalam konsert ini untuk menetapkan konsep dan lagu yang mereka mahukan. Menerusi penerbitan program dan penganjuran konsert ini, Tiara percaya ia mampu meningkatkan imej dan karier mereka pada masa depan. Konsert ini menjadi kemuncak pada program berkenaan dan dijangka berlangsung selama 90 minit. Program sebanyak tujuh episod pula disiarkan menerusi saluran Astro Ria (saluran 104) bermula 22 Januari ini iaitu setiap Jumaat jam 9.30 malam.

Hafiz, 19, menyatakan program ini memberi peluang padanya mencabar diri membawa lagu berbeza termasuk lagu baru pada persembahan kali ini. Walaupun ia cuma dianggap persembahan biasa, dia akui persiapan rapi perlu dilakukan.

"Saya juga berdebar menantikan persembahan ini dan mahukan ia berjaya menarik perhatian ramai. Saya percaya persembahan ini memberi peluang pada saya untuk mempertingkat prestasi diri menjadi penghibur yang lebih berjaya," katanya.

Aril pula menganggap, pembabitannya dalam program ini menjadi satu penghargaan atas kepercayaan yang diberikan AESB. Ini turut memberi pengalaman berharga kepadanya dalam mengasah bakat nyanyian.

"rogram ini suatu yang menarik untuk ditonton kerana ia memaparkan realiti yang kami lalui sebelum konsert ini diadakan. Ini juga menjadi percubaan kami selepas AF7 berakhir. "Buat masa ini, enam episod sudah dirakam. Kami berharap program ini memberi pendedahan baru pada diri sendiri dan ia turut menjadi pencapaian baru pada perjalanan karier kami," katanya.

source : Harian Metro 14 Januari 2010

No comments:

Related Posts with Thumbnails